Sisi gelap dunia seni

Selebriti datang dan pergi, yang membezakan mereka ialah sejauh mana kareer yang dibina mampu menutup perjalanan seni mereka.

Aliff Aziz menjuarai program nyanyian Anugerah (Singapura) pada tahun 2007 sekali gus melancarkan kareer nyanyian beliau. Lagu Sayang Sayang pernah menjadi siulan ramai anak muda sehingga menaikkan nama Aliff Aziz di pentas hiburan Malaysia.

12 tahun berlalu, kini nama Aliff Aziz telah dicemari dengan bermacam-macam kontroversi, termasuklah kes hubungan sulit dengan beberapa pelakon wanita yang membawa kepada perceraian dengan isteri beliau, pencurian wang, dan yang terbaru, terlibat dalam pergaduhan ketika beliau dipercayai mabuk.

Aliff Aziz hanyalah satu daripada banyak lagi nama selebriti terkenal dalam industri hiburan tanah air yang mengalami kejatuhan dan terpalit kisah-kisah buruk, atau ‘fall from grace’. Antara yang lainnya ialah Fathia Latiff yang dulu banyak membintangi drama-drama di kaca TV tidak lagi ditawarkan berlakon, Iqram Dinzly yang diisytiharkan muflis selepas pernah meraih populariti menerusi kareer lakonannya, serta ramai lagi yang telah merasai sepak terajang dunia hiburan seperti ketagihan dadah dan kecederaan mental.

Kebanyakan mereka ini mengecapi populariti hanya untuk disingkirkan apabila kareer tidak lagi menjanjikan kejayaan.

Sifat semulajadi dunia hiburan yang kompetitif

Kejayaan (success) boleh diterjemahkan dengan pelbagai definisi, tetapi di pentas hiburan, ia bermaksud mempunyai reputasi baik dan imej yang disukai ramai, kekayaan, serta keupayaan untuk kekal relevan merentasi dekad. Namun perjalanan mencapai kejayaan ini bukanlah mudah kerana banyak halangan yang perlu ditempuh seseorang selebriti, antaranya bersaing dengan bakat-bakat lain.

Haluan mengejar populariti dan kekayaan menjadikan mereka seperti hamba dunia yang hanya memberi mereka harta duniawi (extrinsic goals) dan bukannya rohani (intrinsic goals). Kajian mendapati mereka yang mengejar matlamat rohani seperti pembangunan diri, hubungan antara individu, dan usaha membantu komuniti lebih mencerung mendapat kebahagiaan berbanding mereka yang hanya fokus kepada hal duniawi,

Terlalu asyik mengejar kejayaan boleh buat mereka lupa akan keluarga dan sahabat. Hubungan yang renggang menyukarkan mereka untuk mencari tempat mengadu apabila kareer seni menjadi semakin mencabar. Nilai populariti yang dikecapi tidak akan mampu menyamai nilai seorang sahabat yang ada di sisi saat mental tidak lagi kuat mengharungi semuanya. Apabila tiada bahu yang boleh dipinjam, hidup dalam populariti boleh menjadi sangat sunyi.

Orang awam ialah penentu sama ada kareer seseorang selebriti akan bertahan, justeru memastikan imej yang dibawa terus diterima boleh memberikan tekanan kepada selebriti tersebut. Lalu apabila populariti meningkat naik, ketenangan hidup sukar dicapai, semakin mudah untuk mereka terjerumus ke laluan yang salah.

Dengan populariti, ada harga yang perlu dibayar

Menurut New Republic, ada beberapa peringkat dalam menangani populariti. Bermula dengan perasaan dihargai apabila disukai ramai, seterusnya ketagihan, penerimaan, sehingga akhirnya seseorang selebriti melalui fasa ‘kehilangan diri sendiri’.

Dikejar lensa kamera di setiap waktu dan tempat, dikritik kerana satu kesilapan kecil, dan yang paling memberi tekanan, harapan (expectation) setiap mata yang memandang menjadi lebih tinggi dari masa ke masa.

Apabila ini berlaku, perhatian yang diberikan terasa terlalu mencengkam (overwhelming) sehingga mampu membuat seseorang itu berasa seperti hilang kawalan terhadap hidupnya sendiri dan tiada lagi kebebasan memilih.

There’s only so much scrutiny a human being can handle – akan tiba di suatu tahap di mana perhatian, tumpuan, dan penelitian terhadap seseorang tidak lagi mampu ditanggung. Lantas, mereka akan mencari ‘jalan keluar’.

Populariti tidak menjamin kejayaan, akan tetapi masih ramai yang impikan kehidupan penuh glamor dan dikenali ramai. Buktinya boleh dilihat melalui kelahiran penyanyi-penyanyi baru yang masih mentah serta keterujaan peserta-peserta menyertai program-program pertandingan nyanyian untuk melonjakkan nama mereka. Ramai yang tidak sedar akan sisi buruk dunia seni.

Ini bukanlah bertujuan untuk menyatakan secara tidak langsung bahawa mereka semua akan terbabas daripada landasan yang betul apabila tiba masanya nanti, cuma perlulah diingat: populariti boleh membawa kesenangan hidup, tetapi ia juga boleh membinasakan andai tersilap langkah.

Want More Story From Us?