Mencari bakat atau hiburan semata?

Bermula dari Bintang RTM ke Akademi Fantasia dan terkini Big Stage, skrin televisyen tidak pernah sunyi daripada program-program realiti mencari bakat nyanyian tempatan. Tetapi masihkah ia relevan pada hari ini?

Kisahnya berlaku pada tahun 2005, ketika Astro melancarkan musim ketiga Akademi Fantasia (AF), sebuah rancangan pertandingan nyanyian yang mengetengahkan bakat-bakat muda yang pernah menjadi kegilaan rakyat Malaysia, terutama sekali para remaja yang masih di bangku sekolah. Ia menjadi suatu fenomena, lebih-lebih lagi dengan kejayaan dua musim sebelumnya.

‘Demam’ AF terus merebak dengan kemunculan seorang peserta, Mawi, yang berjaya menawan hati ramai penonton. Ia dipanggil ‘Fenomena Mawi’, yang menyaksikan makcik-makcik (gelaran untuk wanita yang sudah berumur) untuk turut sama menonton dan mengundi Mawi supaya menjadi juara. Mereka memandang Mawi sebagai ‘wira’ baharu di pentas hiburan kerana personalitinya yang mencerminkan imej seorang Muslim, berwajah Melayu asli, dan berbakat besar dalam nyanyian.

Persembahan Mawi di pentas akhir Akademi Fantasia 3.
Video dari: sitinoor YouTube

14 tahun sudah berlalu sejak Mawi menjuarai musim ketiga AF. Selepas kejayaan AF juga lebih banyak program nyanyian lain yang diwujudkan, seperti Malaysian Idol, One in a Million (OIAM), dan Mentor. Tetapi seperti Fenomena Mawi yang susut gelombangnya semakin ia menginjak usia, masihkah program-program nyanyian ini relevan di mata penonton-penonton TV pada hari ini?

Program nyanyian menghasilkan penyanyi berbakat, tetapi bukan pencipta lagu

Progam realiti nyanyian dibuat stesen TV untuk pelbagai peringkat umur. Idola Kecil untuk kanak-kanak, Kilauan Emas untuk mereka yang sudah berusia, dan yang lainnya untuk penyertaan umum.

Yuna pernah menghadiri ujibakat OIAM 2006 tetapi tersingkir di tahap Top 40. Hari ini, beliau menyinar di pentas antarabangsa berbekalkan bakat semulajadi beliau menulis dan menghasilkan lagu, atau dalam erti kata lainnya bahan asli (original materials). Malangnya, Suki Low yang menjuarai program tersebut terus menyepikan diri selepas merekodkan sebuah album di bawah syarikat rakaman Monkey Bone.

Berlainan pula dengan finalis program yang sama, Faizal Tahir, yang semakin menempa nama dalam industri nyanyian kerana bakat mencipta lagu yang ada padanya. Sepanjang kareer beliau selepas OIAM, Faizal telah memenangi beberapa anugerah, juga menubuhkan studio produksi Faithful Music yang mengasah bakat-bakat muda seperti Hanie Soraya, Aziz Harun, dan Harris Baba.

Secara ringkasnya, program nyanyian menjadi pilihan ramai penonton TV kerana hiburan yang disajikan dapat menghilang penat dan lelah di hujung minggu, tetapi pengalaman yang diraih para peserta masih tidak cukup untuk menampung dan melancarkan kareer muzik mereka selepas program itu tamat. Mereka boleh menyanyi ketika bertanding, tetapi mereka menyanyi lagu penyanyi lain (cover performance) dan bukannya lagu ciptaan mereka sendiri.

Oleh sebab itulah ramai peserta program-program nyanyian ini ‘hilang’ sebaik sahaja dinobatkan juara, kecualilah mereka mempunyai bakat untuk menghasilkan bahan asli yang membolehkan mereka untuk terus bertahan dalam industri muzik. Tambahan pula, komposer-komposer terkenal lebih memilih penyanyi-penyanyi yang sudah mempunyai nama sendiri untuk menyanyikan lagu mereka berbanding mempertaruh nasib kepada mereka yang baharu meninggalkan program nyanyian.

Justeru, selagi program nyanyian tidak mengetengahkan bakat mencipta lagu di samping menyanyi, selagi itulah ia tidak akan mampu menghasilkan juara yang berkualiti dan mampu bertahan lama. Tanpa lagu, seorang penyanyi bukan lagi seorang penyanyi.

Penyudahnya, peminat masih memilih rupa berbanding bakat

Suatu hakikat yang sukar ditelan ialah peserta-perserta program nyanyian yang mempunyai rupa yang menarik akan lebih mendapat sokongan dan perhatian penonton berbanding mereka yang hanya bergantung kepada bakat menyanyi semata-mata.

Pada tahun 2011, sebuah rancangan bertajuk Vokal Bukan Sekadar Rupa ditayangkan di TV3, iaitu sebuah program yang mengetengahkan bakat nyanyian tanpa meletakkan fokus pada paras rupa peserta. Ia bertahan selama dua musim, tetapi kedua-dua juaranya tidak mampu membina nama dalam industri. Sama nasibnya dengan Gang Starz, MyStarz LG, dan 3 Juara.

Menjuarai sesebuah pertandingan nyanyian tidak bermakna penyanyi itu adalah seorang penyanyi yang hebat, kerana setiap orang mempunyai definisi ‘hebat’ tersendiri. Melainkan seseorang peserta mempunyai “hook” (kualiti unik atau bakat berharga/ x-factor) yang tiada pada peserta lain yang boleh membawa namanya lebih jauh dalam industri hiburan, maka barulah mereka boleh digelar sebagai seorang penyanyi hebat. Imej yang menarik menjadi bonus.

Sekiranya nyanyian tidak menjanjikan kareer yang cemerlang, dengan bakat yang ada mereka masih mampu mencorak hidup dalam industri, seperti menjadi seorang pelakon, pengacara TV, atau pengarah muzik yang bertugas di belakang tabir.

Program nyanyian suatu masa dahulu pernah meraih jumlah penonton (rating) dan sambutan yang tinggi, tetapi ramai yang telah berpaling tadah kerana bosan dengan lambakan juara yang tidak menjanjikan seni yang indah.

Masih ada rancangan yang mengetengahkan konsep sama tetapi fokus yang berbeza, antaranya Mentor yang diberi nafas baru Mentor Milenia (mentor penyanyi generasi muda seperti Akim Ahmad berbanding Siti Nurhaliza di musim pertama) Big Stage yang mengetengahkan bakat-bakat BBNU (budak baru nak ‘up’) seperti Sarah Suhairi, dan Gegar Vaganza yang memberi platform kepada artis-artis lama yang telah menghilang untuk muncul kembali. Tetapi tiada jaminan bahawa juara-juara yang dihasilkan akan terus kekal dalam industri.

Teknologi kini jauh lebih maju ke hadapan. Untuk itu, bakat-bakat muda yang mempunyai impian untuk berjaya sebagai penyanyi tidak lagi perlu menyertai program-program nyanyian sebegini.

Jika benar mereka punya bakat, memuat naik sebuah video nyanyian lagu sendiri di YouTube dan menularkannya di media sosial sudah cukup untuk memperkenal diri mereka kepada dunia luar.

Want More Story From Us?