Usaha menegakkan hak-hak wanita bukanlah suatu usaha yang baharu diperjuangkan, malah telah menjadi fokus utama negara semenjak tercapainya kemerdekaan.
Hari ini, wanita di Malaysia diberikan perlindungan dan bantuan daripada keganasan dan penindasan yang dilakukan ke atas mereka dengan tertubuhnya persatuan-persatuan aktivis wanita di dalam dan luar negara.
Walaupun jelas segala usaha masih belum cukup terutama sekali jika dilihat daripada peningkatan jumlah panggilan ke Talian Kasih oleh wanita dalam tekanan dan kesusahan kerana penderaan domestik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perjuangan mereka yang peduli dalam melawan diskriminasi telah jauh dan kini berada di landasan yang betul.
Wanita dibenarkan mengundi sejak negara mencapai kemerdekaan
Kebanyakan negara memulakan perjuangan hak-hak wanita untuk memberi peluang kepada wanita mengundi ketika pilihan raya, termasuklah di Britain dan Amerika Syarikat. Oleh sebab negara-negara ini berjaya meraih tempat untuk wanita sebagai pengundi, Malaysia atau Malaya selepas zaman penjajahan tidak perlu lagi melalui fasa yang sama.
Wanita Malaysia dibenarkan mengundi sejak negara mengecap kemerdekaan pada tahun 1957. Walau bagaimanapun, wanita sebagai pengundi bukanlah satu-satunya isu yang ada, sebaliknya semakin negara melangkah ke hadapan menuju globalisasi, penindasan dan kekejaman terhadap wanita masih belum menemui tanda-tanda pengakhiran.
‘Sekatan’ dalam pelajaran dan kareer
Diskriminasi terhadap wanita dalam pendidikan tidak menjadi isu yang besar kerana mereka dibenarkan mendaftar di mana-mana sekolah untuk mendapat pendidikan yang cukup. Namun, selepas kemerdekaan, ramai pelajar perempuan mendapat pendidikan hanya setakat sekolah rendah.
Antara faktor yang menyumbang kepada pelajar perempuan tidak meneruskan pelajaran ke sekolah menengah ialah tiada galakan daripada ibu bapa, minat yang kurang, dan jarak antara rumah dan sekolah yang biasanya terletak di kawasan bandar. Di samping itu, faktor kewangan dan ketebalan nilai-nilai budaya juga turut sama memainkan peranan.
Malah, sebelum wanita mula berani mengisi jawatan besar di mana-mana organisasi, mereka sering dianggap sebagai ‘tidak sekuat’ kaum lelaki untuk bekerja dalam bidang yang memerlukan tenaga fizikal, dan ‘tidak layak’ untuk mendapat pendidikan yang tinggi kerana akhirnya tempat mereka di dapur juga.
Lahirnya pertubuhan melindungi hak-hak wanita
Pada tahun 1995, Malaysia menandatangani Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW). Ratifikasi CEDAW menjadi titik permulaan kepada perjuangan menentang diskriminasi ke atas wanita di Malaysia.
Enam tahun kemudian iaitu pada tahun 2001, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akhirnya ditubuhkan dengan diterajui oleh seorang menteri wanita. Dengan lahirnya KPWKM, ditambah lagi dengan sokongan SUHAKAM dan badan bukan kerajaan wanita yang lain, Malaysia bersetuju meminda Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan dengan menjadikan jantina sebagai asas untuk tidak berlakunya sebarang diskriminasi.
Sehubungan itu, gerakan feminisme di Malaysia mula mencuri perhatian. Walaupun feminisme di Malaysia tidak bermula dengan perjuangan untuk memberi hak kepada wanita untuk mengundi seperti di negara-negara lain, pertubuhan seperti All Women’s Action Society (AWAS), Women’s Aid Organisation (WAO), dan Sisters in Islam (SIS) muncul demi mempertahan isu jenayah ke atas wanita, seperti keganasan rumah tangga dan perkahwinan kanak-kanak, serta memperkasa status wanita di mata masyarakat.
Teruskan perjuangan walau banyak halangan
Perjuangan feminisme di Malaysia menerima banyak kritikan, terutama sekali apabila isu agama dan agenda politik dicampur aduk dengan suara wanita yang hanya ingin menegakkan hak-hak mereka. Lebih menyedihkan, perhimpunan wanita yang dilakukan setiap tahun sempena Hari Wanita Sedunia masih dipandang rendah oleh sesetengah pihak.
Namun semua ini bukan penghalang untuk para aktivis meneruskan usaha mereka menegakkan hak-hak wanita dan kanak-kanak perempuan dan melindungi mereka daripada segala bentuk kekejaman. Ini kerana Malaysia sudah melangkah terlalu jauh untuk berpatah balik semula dengan isu remeh yang boleh menggagalkan perjuangan mereka yang peduli dengan nasib wanita.