Perkahwinan satu eksploitasi ke atas kanak-kanak

Topik perkahwinan kanak-kanak sangat sensitif untuk dibincangkan secara terbuka di Malaysia. Lebih menyedihkan, masih ada pihak yang tidak memandangnya sebagai satu masalah sosial yang perlu dibendung.

Perkahwinan kanak-kanak (child marriage) sudah begitu lama tertanam dalam budaya sosial masyarakat, sehinggakan ia dianggap sebagai suatu praktis yang telah dinormalisasikan dalam kehidupan harian.

Hakikat pahitnya, perkahwinan kanak-kanak ialah suatu isu yang sangat berat dan tiba masanya ia dipandang dengan lebih serius.

Secara umumnya, umur layak berkahwin ialah 18 tahun

Mengikut undang-undang Kanun Keseksaan dan Syariah Malaysia, usia layak berkahwin bagi lelaki Muslim ialah 18 tahun, manakala bagi perempuan Muslim, mereka dibenarkan berkahwin seawal usia 16 tahun. Untuk lelaki dan perempuan yang bukan Muslim pula, mereka dibenarkan berkahwin pada usia 18 tahun.

Pun begitu, remaja perempuan Muslim berumur bawah 16 tahun dibenarkan berkahwin dengan kelulusan Mahkamah Syariah.

Imej dari: Malay Mail

Sayangnya, usaha mereka yang memperjuang undang-undang baru untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi ‘mangsa’ perkahwinan bertemu hampa apabila tujuh negeri di Malaysia memilih untuk tidak bersetuju untuk menetapkan had umur layak berkahwin kepada 18 tahun. Negeri-negeri ini termasuklah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah, dan Kelantan.

Perkahwinan kanak-kanak dilihat sebagai pilihan

Pada tahun 2013, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dipaksa mengahwini seorang lelaki berusia 40 tahun dengan kebenaran Mahkamah Syariah. Yang menyedihkan, lelaki yang sama juga bertanggungjawab ke atas jenayah rogol terhadap kanak-kanak tersebut.

Walaupun lelaki itu kini sedang menjalani hukuman di penjara setelah disabitkan kesalahan, jelaslah bahawa perkahwinan kanak-kanak merupakan suatu pilihan atau penyelesaian kepada jenayah seksual ke atas mana-mana kanak-kanak.

Disuruh berkahwin untuk menutup malu

Dalam komuniti konservatif di Malaysia, apabila seseorang kanak-kanak perempuan terlibat dalam jenayah seksual seperti rogol atau sumbang mahram (incest), ia dianggap sebagai memalukan. Maruah keluarga akan tercemar, apatah lagi apabila kanak-kanak itu sendiri terjebak dalam aktiviti seksual luar perkahwinan (sexually active teenagers) dan lebih teruk lagi, sehingga menyebabkan kehamilan.

Apabila situasi ini berlaku, penyelesaiannya cuma satu: perkahwinan.

Ramai ibu bapa yang lebih mementingkan nama baik keluarga dan aib yang dibawa anak mereka berbanding kebajikan anak itu sendiri sehingga sanggup mengahwinkan anak mereka kepada mana-mana lelaki yang sudi. Atau lebih teruk lagi, si pelaku jenayah.

Kesan psikologi dan fizikal perkahwinan kanak-kanak

Banyak kajian telah dijalankan berkaitan perkahwinan kanak-kanak, dan setiap satunya mendapati bahawa praktis ini memberi kesan yang mendalam terhadap psikologi dan fizikal kanak-kanak.

Perkahwinan di usia muda boleh menghadkan perkembangan pendidikan kerana mereka terpaksa meninggalkan sekolah demi tanggungjawab kepada pasangan, seterusnya memutuskan hubungan dengan kenalan seangkatan yang mendorong kepada pembantutan perkembangan peribadi. ‘Mangsa’ juga lebih terdedah kepada penyakit menular seksual (sexually transmitted diseases), risiko komplikasi kehamilan, dan kelahiran yang boleh menyebabkan kematian.

Tetapi jelas sekali tiada yang betul-betul peduli akan hal ini kerana perkahwinan kanak-kanak terus juga berlaku.

Imej dari; Malay Mail
Kurangnya pendidikan dan kesedaran

Satu lagi faktor yang menggalakkan perkahwinan kanak-kanak ialah kurangnya pendidikan dan kesedaran bukan cuma dalam kalangan ibu bapa, tetapi juga kanak-kanak itu sendiri.

Pada tahun 2018, negara dikejutkan dengan satu kes perkahwinan yang melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak berusia 11 tahun. Lebih membuatkan rakyat Malaysia marah, lelaki berkenaan telah pun mempunyai dua orang isteri sebelum mengambil keputusan untuk menikahi kanak-kanak perempuan yang juga merupakan rakan sepermainan anaknya sendiri.

Apabila tiada pendidikan, kanak-kanak mudah dieksploitasi

Antara alasan yang dikemukakan sebagai justifikasi tindakan itu ialah untuk membantu keluarga yang hidup dalam kemiskinan. Tambahan pula, kanak-kanak yang dikahwini itu tidak bersekolah. Oleh sebab itulah ibu bapanya menerima lamaran lelaki tersebut dan membenarkan anak mereka berkahwin di usia yang sangat muda.

Ramai aktivis tampil bersuara, dan rata-ratanya cuba menegakkan hak kanak-kanak yang tidak berpendidikan yang telah dieksploitasi oleh keluarga dan suaminya sendiri.

Dalam kes seperti ini, peranan ibu bapa dalam menyedari risiko perkahwinan kanak-kanak sangat diperlukan demi melindungi anak mereka, namun yang berlaku adalah sebaliknya kerana kurangnya pendidikan.

Ke arah pengharaman perkahwinan kanak-kanak

Demi menghentikan gejala perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, banyak aspek yang perlu diambil kira. Antaranya mengubah persepsi orang ramai bahawa perkahwinan ialah jawapan kepada permasalahan yang melibatkan kanak-kanak, memperkenal pendidikan seks yang menyeluruh supaya kanak-kanak lebih memahami segala akvitivi yang berkaitan seks dan seksual, serta keinginan politik yang kuat dan tegas dalam melaksanakan undang-undang.

Kanak-kanak berhak membesar dengan sihat dan diberi pilihan untuk berkahwin setelah pendidikan dikecapi, bukannya dikuasai dan dieksploitasi oleh mereka yang hanya mementingkan nafsu.

Want More Story From Us?