Kuasa untuk wanita

Dahulu, wanita dianggap tidak layak mendapat kuasa dalam pentadbiran negara, Tetapi pencapaian golongan wanita di seluruh dunia kini telah membuka mata banyak pihak, bahawa wanita juga mampu menjadi pemimpin yang disegani.

Kepemimpinan seorang wanita pada hari ini tidak lagi dipandang sebagai sesuatu yang baharu jika dibandingkan dengan sejarah pemerintahan dekad-dekad yang lalu, kerana wanita lebih berani bertanding merebut tempat mereka dalam kuasa mentadbir sesebuah negara.

Sayangnya, ia seperti sudah menjadi ‘persetujuan’ bersama bahawa wanita lebih beremosi dan tidak rasional dalam membuat sesuatu keputusan, malah selalu dianggap tidak layak menjadi seorang ketua.

Tetapi, fakta dan senario yang boleh dilihat di seluruh dunia telah lama bersedia untuk mematahkan ‘mitos’ ini.

Wanita mampu mengalih undi, sekali gus menentukan pemimpin yang berkuasa

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), 50.58% daripada pengundi berdaftar adalah wanita, dan jumlah keseluruhan pengundi wanita yang keluar mengundi pada 9 Mei 2018 mencecah angka 82.32%. Dalam erti kata lainnya, wanita mempunyai peranan yang sangat besar dalam menentukan parti yang layak memenangi pilihan raya, sekali gus membentuk kerajaan yang menggalas tanggungjawab kepada rakyat.

Namun pentingnya pengundi wanita menjangkaui perlantikan menteri dan pengalihan kuasa.

Hari ini, wanita di seluruh dunia lebih berani memperjuang hak-hak mereka yang selama ini diabaikan. Ditambah lagi dengan fitrah seorang wanita yang prihatin terhadap pelbagai isu mendesak seperti kesihatan, alam sekitar, kebajikan pekerja dan komuniti secara menyeluruh, undian mereka akan diberikan kepada calon-calon yang diyakini dapat mencurahkan bakti kepada isu-isu ini, serta dalam masa yang sama memastikan suara mereka didengari.

Penglibatan wanita dalam pemerintahan sebanyak 30%

Malaysia mempunyai reputasi yang baik dari segi perbezaan antara jantina dalam kesihatan, kadar kematian, dan pendidikan, tetapi penglibatan wanita dalam politik agak rendah. Justeru, sejak Mei 2018, pemimpin wanita diberi ruang sebanyak 30% untuk terlibat dalam urusan pentadbiran negara.

Hal ini kerana sejak dahulu lagi, sukar untuk golongan wanita mendapat perlantikan jawatan dalam urusan pentadbiran negara, lantas mereka yang berani bertanding dan memenangi kerusi adalah terdiri daripada golongan wanita yang benar-benar layak, malah lebih berintegriti, bijaksana, dan kompeten jika dibandingkan dengan calon lelaki yang sememangnya sinonim sebagai pemimpin dan dapat memenangi undian dengan mudah.

Oleh itu, perlu diingat bahawa 30% tersebut tidak mewakili jumlah pemimpin wanita yang layak, kerana kalau dinilai daripada segi kelayakan, maka jumlah pemimpin wanita pasti akan melebih jumlah pemimpin lelaki. Sebaliknya, 30% ini adalah pengiktirafan kepada wanita yang layak memegang kuasa dalam pentadbiran – suatu pengiktirafan yang telah lama tertunggak.

Wanita “beremosi” – mungkin ini yang dunia perlukan

Tidak dinafikan bahawa wanita lebih cenderung membuat sesuatu keputusan berdasarkan emosi, tetapi karakter ini tidak seharusnya dianggap sebagai penghalang dalam kuasa pemerintahan. Oleh sebab wanita menggunakan emosilah, mereka mempunyai belas kasihan yang lebih mendalam dalam menangani masalah.

Di samping itu, pemimpin wanita juga lebih menghargai keseimbangan kerja dan kehidupan, mempunyai kecerdasan emosi dan empati yang tinggi, serta naluri untuk memelihara dan memupuk sesuatu situasi (nurturing).

Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud pemimpin wanita lebih berkaliber berbanding pemimpin lelaki, kerana fitrah seorang lelaki sebagai ketua dan kebolehan dalam memimpin semestinya tidak boleh disanggah. Tetapi sekiranya 30% pemimpin wanita mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik, tidak salah memberi lebih banyak peluang supaya keadilan dan keseimbangan dapat dicapai.

Bukankah wanita masa hadapan negara, jika tidak dunia?

“No country can ever truly flourish if it stifles the potential of its women and deprives itself of the contributions of half of its citizens.” — Michelle Obama

Want More Story From Us?