Untuk lepasan SPM mendapat tempat di universiti pernah menjadi suatu kejayaan besar yang menjadi kebanggan besar namun, dengan lambakan institusi pengajian tinggi, ia mungkin bukan lagi suatu pencapaian.
Tahun demi tahun berganti, semakin ramai lepasan SPM berjaya menempatkan diri di institusi pengajian tinggi. Contohnya pada tahun 2017, hampir 400,000 pelajar perempuan ada berdaftar di universiti awam di samping lebih 272,000 pelajar lelaki.
Melihat pada nombor-nombor ini, tidak hairanlah Malaysia dikatakan mempunyai pemegang ijazah sarjana muda teramai di serantau Asia.
Sesetengah orang mungkin menganggap ini sebagai suatu pencapaian yang harus dibanggakan, tetapi malangnya, dengan jumlah graduan yang bertambah, muncul pula masalah lain.
Jumlah universiti melebihi jumlah pelajar yang sebenarnya layak
Bilangan universiti, sama ada awam atau swasta, juga sentiasa bertambah dari tahun ke tahun. Menurut Study Malaysia, kini terdapat 20 buah universiti awam, 53 buah universiti swasta, enam buah kampus cawangan universiti asing, 403 buah kolej swasta, 30 buah politeknik, dan 73 buah kolej komuniti di Malaysia.
Institusi-institusi ini menghasilkan ramai graduan setiap tahun, tetapi sayangnya, tidak semua mereka mempunyai kelayakan gred tinggi.
Hal ini demikian kerana jumlah institusi pengajian melebihi jumlah pelajar yang baru menamatkan persekolahan dengan keputusan SPM yang cemerlang. Oleh itu, institusi pengajian, terutama sekali badan-badan swasta yang juga mempunyai matlamat untuk meraih keuntungan dari segi kewangan, perlu bertanding untuk menarik minat bakal-bakal pelajar menyertai institusi mereka.
Syarat kemasukan direndahkan supaya ramai yang layak, seterusnya membawa kepada lambakan pelajar universiti yang tidak kompeten. Lebih buruk lagi, ini juga menjadi penyebab pelajar-pelajar tersebut menamatkan pengajian sebagai graduan bergred rendah.
Apabila graduan yang dihasilkan sudah terlalu ramai, ditambah lagi dengan kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam industri, risiko pengangguran akan semakin meningkat.
Banyak universiti menawarkan jurusan tidak menjanjikan masa depan
Selain terlalu banyak pilihan universiti, mahasiswa juga berdepan dengan satu lagi krisis iaitu universiti-universiti yang menawarkan jurusan ijazah sarjana muda yang dianggap sesetengah orang sebagai ‘tidak berguna’ (atau ‘tidak laku’).
Jurusan-jurusan ‘tidak berguna’ diertikan sebagai jurusan-jurusan yang menyukarkan peluang para pelajar untuk mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka tamat pengajian.
Antara jurusan yang sering disebut-sebut sebagai ‘tidak berguna’ ialah kulinari, komunikasi dan media massa, serta kursus yang berkait dengan kesenian dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang memilih untuk menuntut jurusan-jurusan ini biasanya dilabel “kelas rendah”, walhal ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan mereka untuk memohon sejak awal lagi.
Pokok pangkal permalasahan ini boleh berpunca daripada kurangnya pengetahuan para pelajar tentang jurusan yang dipilih sebelum mereka membuat keputusan untuk memohon dan seterusnya mendaftar setelah diterima. Orang tua sanggup berhabis duit membayar yuran yang mahal demi menempatkan anak mereka di universiti, tanpa pengetahuan yang mendalam tentang ke mana hala yang bakal dituju selepas tamat pengajian nanti.
Ketika pemilihan dibuat, yang dapat terlihat pada mata kasar hanyalah faktor-faktor positif tentang sesuatu jurusan. Peluang pekerjaan, bidang lain yang boleh diceburi, dan peringkat seterusnya tidak dijelaskan secara terperinci.
Justeru, tidak mustahil ada yang menyesal di pertengahan pengajian, dan mungkin ada juga yang sedar apa yang dipelajari tidak berbaloi dengan hutang yang mengikat masa depan mereka apabila sijil yang diperoleh tidak mampu menempah tiket ke alam pekerjaan.
Pun begitu, melihat dari sisi yang berbeza, jurusan ‘tidak berguna’ masih boleh membuka laluan ke arah kejayaan, asalkan para graduan bijak menggunakan peluang yang ada untuk mengubah status ijazah ‘tidak berguna’ kepada sesuatu yang berpotensi tinggi.
Untuk memastikan graduan-graduan yang dihasilkan universiti-universiti mempunyai kelayakan gred tinggi, persaingan yang sihat perlu diwujudkan di peringkat awal. Antara usaha yang boleh dilaksanakan ialah mengurangkan jumlah institusi pengajian tinggi, mengetatkan syarat kemasukan, dan hanya menawarkan jurusan-jurusan yang menjanjikan masa depan yang cerah buat bakal graduan.
Dengan ini, harapnya, graduan-graduan yang dihasilkan berkelayakan lebih tinggi dan layak mengisi jawatan berkemahiran tinggi yang ada sebaik sahaja mereka tamat pengajian.