Ramai yang pernah melalui pengalaman berbasikal bersama rakan-rakan sewaktu zaman kanak-kanak. Tetapi apabila basikal itu diubahsuai dengan tujuan perlumbaan di tengah malam, ia bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan.
Malaysia punya pelbagai sub-budaya dalam aspek hidup yang berbeza-beza, termasuklah evolusi genre muzik, raver dan hipster yang pernah menjadi ikutan, juga penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram yang dikenali seluruh negara sebagai mat rempit. Terbaharu, malah ia sebenarnya sudah mendapat perhatian yang meluas pada tahun 2017 dan kembali semula menjadi trend pada hari ini, ialah sub-budaya basikal lajak (mosquito bicycles).
Apa itu sub-budaya basikal lajak? Bayangkan sekumpulan mat rempit berhimpun setelah jarum jam melepasi angka 12 di pinggir jalan sebelum sesuatu perlumbaan dimulakan, cuma bezanya dalam situasi ini, motosikal digantikan dengan basikal. Bukan basikal biasa, sebaliknya basikal yang telah diubahsuai sehingga tahap ia tidak lagi selamat digunakan.
Ironinya, itulah juga antara sebab basikal lajak digilai ramai remaja. Pengendali (handle), rim roda, brek, dan bingkainya diubahsuai supaya mereka dapat melakukan lagak aksi di jalanan seperti gaya Superman. Basikal jadi lebih ringan supaya mudah menuruni bukit, sementara fungsi brek basikal dimatikan secara sengaja untuk meningkatkan aliran adrenalin dalam tubuh mereka.
Sub-budaya basikal lajak dipercayai telah wujud sejak lebih sepuluh tahun yang lalu, tetapi sehingga sekarang masih belum ada jalan penyelesaian yang utuh untuk mengatasinya. Aktiviti tengah malam yang meletakkan nyawa mereka dan nyawa orang sekeliling dalam bahaya menjadi faktor utama ramai yang memandang serong terhadap kegiatan basikal lajak ini.
Kesempitan hidup yang mendorong remaja menceburi basikal lajak
Insiden yang meragut nyawa lapan orang penunggang basikal lajak pada 2017 berlaku di Johor Baru, tetapi gejala ini pernah meraih perhatian penduduk di Kuala Terengganu pada tahun 2001.
Nasiruddin Wan Idrus yang pada ketika itu merupakan ketua operasi Persatuan Lumba Basikal Terengganu berpendapat bahawa kesempitan hidup adalah penyebab para remaja pada ketika itu terjebak dengan basikal lajak.
Nasiruddin yang juga mengumpul mereka dan mula mengatur perlumbaan dengan bantuan dan sokongan daripada pasukan-pasukan lumba basikal tempatan berkata bahawa kebanyakan mereka datang dari keluarga yang susah. Tiada permainan yang hebat-hebat di rumah untuk mengisi masa lapang, lalu mereka memutuskan untuk mencuba basikal lajak sebagai hobi.
Beliau percaya bahawa usaha untuk memahami minat remaja-remaja ini adalah suatu pendekatan yang baik untuk membantu mereka supaya berada di landasan yang betul.
Masalah keluarga juga antara sebabnya
Ramai remaja mencuba basikal lajak kerana minat yang mendalam. Tetapi minat berputik daripada perasaan ingin mencuba.
Selain kesempitan hidup, ia mungkin juga bermula dengan masalah keluarga. Apabila keadaan di rumah tidak lagi mampu memberi ketenangan, para remaja ini akan mula mencari keseronokan di luar rumah yang dapat membawa mereka pergi jauh dari pekikan dan pergaduhan orang tua mereka.
Masa yang ada dihabiskan bersama rakan-rakan yang secara tidak langsung memperkenal dan mempengaruh mereka untuk terjebak dengan basikal lajak. Kurangnya perhatian daripada ibu bapa menjadikan mereka lebih berani untuk melanggar peraturan serta menyelinap keluar dari rumah pada waktu malam dan melalukan lagak aksi di jalan raya.
Ia suatu eskapisme dan pengembaraan yang mencabar yang tidak akan didapati di mana-mana tempat lain.
Berbasikal adalah antara sukan yang dipandang tinggi statusnya di Malaysia, tetapi tidak apabila ia disalahguna sebagai hobi yang berbahaya dan mengganggu gugat ketenangan orang ramai.
Tidak salah untuk membantu, seperti yang sedang dipergiat oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tetapi ia haruslah dilengkapi dengan bimbingan dari segi kemahiran dan juga disiplin secara menyeluruh. Tidak dilupa juga, peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka menterjemah minat dalam sukan berbasikal melalui saluran yang betul.