‘Orang kampung’ lebih ramai anak?

Membesarkan seorang anak pada hari ini bukanlah satu tanggungjawab yang ringan. Justeru, menetap di kawasan luar bandar adalah antara cara yang boleh meringankan beban.

Kadar migrasi populasi luar bandar ke bandar (rural to urban) pada tahun 2018 ialah 4.8%. Mereka yang memutuskan untuk berpindah adalah kerana sebab-sebab seperti tuntutan kerjaya, tanggungjawab kepada keluarga, dan faktor alam sekitar.

Jika dibandingkan dengan kadar migrasi bandar ke luar bandar, kadarnya mencecah 19.5%. Ini bermakna lebih ramai penduduk bandar yang berpindah ke luar bandar berbanding sebaliknya. Pun begitu, jumlah populasi di bandar masih lagi melebihi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Populasi kawasan bandar (urban) dianggarkan mencecah 70% menjelang 2020.
Imej dari: Research Gate

Apa yang menghairankan ialah saiz isi rumah di luar bandar lebih tinggi berbanding di kawasan bandar, iaitu 4.70 orang serumah. Sementara saiz isi rumah di kawasan bandar menurun dari 4.06 orang pada 2017 ke 4.03 orang pada 2018.

Trend ini juga dapat dilihat di negara-negara luar

Secara umumnya, kadar kesuburan lebih tinggi di pekan-pekan kecil dan di kawasan-kawasan luar bandar, seperti yang direkodkan di banyak negara luar termasuklah Amerika Syarikat, Perancis, dan Rusia.

Kadar kesuburan di Malaysia dilaporkan berada pada tahap terendah, iaitu 1.8 bayi bagi seorang wanita berusia 18 sehingga 45 tahun. Selain itu, terdapat juga persepsi bahawa golongan wanita yang memutuskan untuk melahirkan dan membesarkan anak pula lebih cenderung untuk tinggal di kawasan luar bandar.

Tahap pendidikan mempengaruhi keputusan untuk melahirkan anak

Di kebanyakan negara luar, tahap pendidikan boleh mempengaruhi keputusan untuk melahirkan dan membesarkan anak di masa depan. Mereka yang berpelajaran tinggi lebih cenderung untuk melahirkan jumlah anak yang kurang berbanding mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi (sehingga tamat sekolah menengah).

Oleh sebab mereka yang berpelajaran tinggi biasanya menetap di kawasan kota kerana tuntutan kerjaya, kadar kesuburan di kawasan ini lebih rendah berbanding di luar bandar.

Di samping itu, kawasan bandar juga merekodkan jumlah pelajar universiti yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan kadar kesuburannya kurang berbanding luar bandar.

Kos sara hidup yang lebih rendah di kawasan luar bandar

Faktor ekonomi sentiasa memainkan peranan penting dalam institusi kekeluargaan. Bermula dari rancangan perkahwinan sehinggalah membesarkan anak-anak, isu wang pasti menjadi tumpuan utama. Buat mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, kos sara hidup yang lebih rendah menjadikan pengalaman membesarkan anak-anak kurang mencabar.

Kekurangan pusat membeli-belah yang besar dengan bermacam-macam jenis alat permainan dan daya tarikan untuk kanak-kanak, dan jarak yang lebih dekat untuk menyertai mana-mana aktiviti sosial atau kurikulum tambahan juga antara faktor yang mendorong pasangan berkahwin di luar bandar untuk mempunyai lebih ramai anak.

Tambahan pula, ada juga pasangan yang berpindah dari bandar ke luar bandar semata-mata untuk memberi kehidupan yang lebih selesa untuk anak-anak mereka, sekali gus menjadikan saiz isi rumah di luar bandar lebih besar.

Kawasan luar bandar tempat terbaik untuk membesarkan anak?

Faktor-faktor ini jika disatukan akan menyumbang kepada jumlah kadar kesuburan yang lebih tinggi di kawasan luar bandar.

Dengan kadar 1.8 bayi bagi seorang wanita, jelaslah bahawa kebanyakan ibu muda hari ini lebih memilih untuk membesarkan seorang bayi dengan perhatian dan keperluan yang cukup berbanding tiga atau lebih orang bayi yang akhirnya akan terabai.

Maka untuk mengelakkan ini berlaku, menetap di kawasan luar bandar adalah jalan terbaik untuk memastikan anak-anak mereka membesar dengan sempurna.

Want More Story From Us?