Pilihan dalam melahirkan

Kadar kesuburan terus menurun setiap tahun. Adakah ini bakal membawa kesan negatif, atau pun sebenarnya positif?

Di negara-negara luar seperti Australia, Kanada, dan Singapura, punca penurunan kadar kesuburan (fertility rate) dikatakan berkait rapat dengan penambahan jumlah wanita di alam pekerjaan. Berbekalkan pendidikan yang lebih tinggi berbanding seabad yang lalu juga peluang pekerjaan yang lebih meluas, keputusan untuk mendirikan keluarga dan melahirkan anak sering kali ditangguh demi mengejar impian.

Kadar kesuburan global semakin menurun sejak 1960-an.
Imej dari: Visual Capitalist/ Business Insider

Tetapi di Malaysia, penurunan kadar kesuburan lebih banyak berpunca dari kos sara hidup yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ramai wanita bersama pasangan mereka memilih kualiti berbanding kuantiti, kerana membesarkan seorang anak yang sempurna dari segi pendidikan dan kebajikan jauh lebih baik berbanding menjaga lima orang anak yang terabai tanpa perhatian yang cukup.

Penurunan kadar kesuburan mengikut negeri (2015 – 2016).
Imej dari: DOSM

Menurut laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan berada pada 1.8 bayi untuk setiap wanita berumur antara 18 sehingga 45 pada 2018. Angka tersebut menurun dari 1.9 pada tahun sebelumnya.

Terdapat dua perspektif dalam menangani perihal ini, iaitu antara baik dan buruknya kesan penurunan jumlah penduduk di masa hadapan.

Paras penggantian yang rendah

Isu negatif utama yang dibangkitkan ialah paras penggantian (replacement rate/ level) – iaitu jumlah bayi yang dilahirkan seorang wanita yang boleh mengganti wanita itu dan juga pasangannya beberapa tahun dari sekarang. Pada masa ini, kadar kesuburan 1.8 berada jauh di bawah paras penggantian 2.1, menunjukkan bahawa jumlah penduduk hari ini melebihi jumlah penduduk generasi akan datang.

Apabila ini berlaku, ia bakal memberikan kesan buruk kepada pembangunan ekonomi. Bilangan anak muda memasuki alam pekerjaan tidak akan mampu menyamai jumlah pekerja yang bersara, oleh itu perkembangan sesuatu perniagaan akan terganggu.

Sementara itu, dalam institusi keluarga, generasi lama iaitu mereka yang berpangkat datuk dan nenek akan menjadi lebih ramai jumlahnya berbanding bilangan generasi baru iaitu cucu mereka. Keturunan sesebuah keluarga juga tidak akan boleh dipertahan untuk generasi seterusnya, di samping kekurangan anak-anak muda untuk menjaga kebajikan mereka yang sudah lanjut usia.

Dari segi kehijauan alam sekitar pula, ada baiknya

Melihat dari sudut pandangan yang lain pula, penurunan kadar kesuburan sebenarnya memberi impak yang positif kepada alam sekitar, terutamanya perubahan iklim (climate change).

Kajian dari Sweden mendapati salah satu cara untuk menyelamatkan planet Bumi daripada perubahan iklim ialah dengan mengurangkan kadar kelahiran bayi dalam sesebuah keluarga. Ini kerana kekurangan seorang bayi mampu mengurangkan 58 tan pengeluaran karbon yang memanaskan Bumi setiap tahun.

Sehubungan dengan generasi akan datang di alam pekerjaan, mungkin penurunan kadar kesuburan bukanlah suatu masalah yang besar untuk jangka masa panjang, lebih-lebih lagi apabila melihatkan kadar pengangguran terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda pada hari ini.

Sementelah dunia semakin beranjak ke arah pemodenan, penggunaan Artificial Intelligence dan program berasaskan robotik dalam sesuatu bidang bakal mengambil alih. Seraya itu, permintaan terhadap pekerja-pekerja untuk mengisi kekosongan mereka yang telah bersara akan turut sama berkurang.

Walau bagaimana pun, overpopulation (terlalu ramai penduduk) adalah antara permasalahan yang perlu ditangani untuk memastikan masa hadapan yang lebih stabil. Ia boleh mengurangkan kemiskinan, kebuluran, dan juga memberi peluang kepada planet Bumi bertahan untuk lebih lama lagi.

Bukankah penurunan kadar kesuburan ini adalah antara jalan terbaik untuk mencapai semua ini?

Want More Story From Us?