Menyertai sukan gimnastik bererti beraksi di gelanggang dengan pakaian yang ‘terdedah’, oleh sebab itulah ahli gimnastik perempuan di Terengganu tidak lagi dibenarkan bertanding.
Di saat Farah Ann Hadi mengejar impian untuk meraih emas di Olimpik, ahli-ahli gimnastik dan gimrama wanita di Terengganu terpaksa melupakan minat yang mendalam dan harapan untuk menyinar di pentas sukan Malaysia. Hanya kerana pemakaian yang dikatakan ‘terdedah’ dan penonjolan ‘aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki’, tiada lagi wakil gimnastik wanita dari Terengganu pada SUKMA yang akan datang.
Keputusan kerajaan negeri Terengganu ini boleh diibaratkan seperti penindasan bakat (suppression of talents), tidak dilupakan juga menjadi penghalang mereka yang berpotensi dalam sukan gimnastik untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Latihan dibenarkan, tetapi bukan pertandingan
Menurut Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, sumber yang ada akan digunakan untuk melatih pasukan gimnastik lelaki sepenuhnya, sementara ahli-ahli perempuan masih dibenarkan untuk berlatih tanpa peluang untuk menyertai mana-mana pertandingan.
Andainya mereka masih tegar untuk meneruskan latihan di peringkat professional, pilihan yang ada untuk mereka adalah dengan berulang-alik ke Bukit Jalil untuk berlatih di samping pasukan gimnastik negara. Selain itu, mereka juga digalakkan untuk mencuba nasib di negeri-negeri di luar Terengganu.
Pada dasarnya, cadangan-cadangan ini kelihatan senang dan ringkas, tetapi perlu ditekankan, ia bakal memerlukan penggunaan wang yang banyak.
Berpindah, apatah lagi terpaksa berulang-alik dari Terengganu ke Bukit Jalil untuk sesi latihan, bukan mudah dan semestinya tidak juga murah. Apatah lagi bagi mereka yang datang dari keluarga yang kurang berada, kos akan menjadi masalah terbesar, maka bakat yang ada akan terbuang begitu sahaja.
Agama sebagai alasan semata-mata?
Satu lagi faktor yang mendorong keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk tidak membenarkan atlet wanita menceburi sukan gimnastik dan gimrama adalah kerana ia boleh menjurus ke arah salah laku seksual.
Namun memetik ulasan warganet, yang menyedihkan tentang situasi ini ialah agama digunakan sebagai justifikasi untuk melarang wanita daripada menyertai aktiviti sukan. Ini kerana atlet lelaki tidak pernah disekat penyertaannya meski pun pemakaian mereka tetap juga mendedahkan aurat (bahagian tubuh yang tidak boleh didedahkan mengikut ajaran Islam), seperti sukan berbasikal, renang, dan bina badan.
Persoalannya, kenapa wanita dilarang menyertai acara sukan yang diminati sedangkan atlet lelaki tidak pernah berdepan dengan masalah seperti ini?
Ia berbalik kepada norma sosial yang meletakkan ‘syarat’ bahawa ‘pakaian yang terdedah’ (revealing attire) dan ‘aksi yang menghairahkan’ (indicent moves) tidak boleh digunapakai untuk kaum lelaki. Lebih banyak masa dan tumpuan diberikan untuk menghalang wanita daripada menceburi sukan daripada menyelesaikan masalah yang ada dari akar umbinya, iaitu memulihkan minda-minda para lelaki yang menterjermahkan setiap aksi wanita sebagai tarikan seksual.
Tanpa pemikiran yang dipenuhi imej dan dorongan seksual tentang wanita secara umumnya (bukan sahaja mereka di pentas sukan), bukankah benar salah laku seksual yang ditakuti akan berlaku tidak akan lagi menjadi suatu masalah?
Menurut perspektif ini, agama dijadikan sebagai alasan oleh pihak bertanggungjawab untuk tidak menangani bebanan sosial yang sebenar-benarnya. Yang menjadi mangsa adalah atlet gimnastik berbakat yang dihalang daripada terus mengejar impian mereka.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan Terengganu ada menegaskan bahawa kod tatalaku (code of conduct) yang baharu diperkenalkan akan memastikan pemakaian para atlet lebih mengikut syarat yang ditetapkan oleh shariah pada masa akan datang.
Andainya pembaharuan kod tersebut dapat melindungi kebajikan atlet wanita serta membenarkan mereka mewakili negeri dan juga negara dengan berpakaian yang lebih sopan, mungkin keputusan kerajaan ini tidak akan lagi dipandang sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya suatu usaha murni untuk memastikan tuntutan agama tidak terabai.
Tetapi sekiranya janji yang diberikan hanyalah janji kosong, nasib atlet-atlet wanita negara tidak akan pernah terbela.