Wau merupakan salah satu permainan tradisional di Malaysia yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Sayangnya, rakyat Malaysia pada hari ini sudah semakin kurang menghargainya.
Permainan tradisional wau pernah menjadi hiburan untuk setiap peringkat umur suatu ketika dahulu, lebih-lebih lagi sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai wau, atau layang-layang, mereka sendiri.
Wau sering dimainkan di kawasan perkampungan yang lapang, sehingga ia dianggap sebagai aktiviti ringan yang dapat merapatkan hubungan orang-orang kampong. Pertandingan-pertandingan juga pernah diwujudkan, di mana setiap bentuk keunikan wau dinilai dari segi corak, warna, serta kebolehannya untuk diterbangkan.
Tetapi kini ia semakin dilupakan oleh masyarakat.
Kononnya dianggap sebagai ketinggalan zaman
Masyarakat hari ini, terutama sekali generasi muda, lebih menyukai budaya barat yang menepati citarasa dan trend mereka. Selain cara mereka mengenakan pakaian, aktiviti-aktiviti yang dilakukan ketika masa terluang juga jelas menunjukkan pengaruh hidup yang lebih ke arah barat.
Oleh itu, mereka lebih menyukai permainan video, arked, permainan papan (board game), atau aktiviti sukan lasak seperti bola sepak/ futsal, mendaki bukit, menyertai gimnasium, dan badminton. Hal ini membuatkan masyarakat lupa akan kewujudan permainan tradisional di negara ini dan semakin meninggalkan wau di belakang.
Generasi muda juga lebih memilih permainan yang mudah. Contohnya, permainan aplikasi telefon pintar mereka. Sementara wau memerlukan masa untuk mencari kawasan yang berangin dan lapang, permainan di telefon memerlukan masa kurang daripada 30 saat untuk sedia dimainkan. Justeru, wau dianggap lebih rumit.
Peralatan wau yang diperlukan susah dicari dan mahal
Proses pembuatan wau sebenarnya agak kompleks, dan ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Bukan semua orang mempunyai bakat untuk membuat wau, dan bagi yang berkemahiran pula, ia memerlukan masa yang panjang dan kos yang tinggi.
Cara penyediaan wau dimulakan dengan mencari rangka, melukis, mewarna dan menghias. Untuk membuat rangkanya, batang pokok yang diperlukan harus diambil daripada pokok buluh duri. Setiap batang yang ada pula mesti dipilih terlebih dahulu agar ia tidak mudah patah.
Seterusnya, badannya dilukis dan dihias. Wau yang sudah siap dibuat harus diimbangkan agar ia boleh terbang dengan sempurna. Walau bagaimana pun, peralatan yang diperlukan ini agak susah dicari, sementelah wau sukar didapati pada hari ini kecuali di kawasan-kawasan kampung.
Oleh sebab pembuat wau sudah jarang ditemui, ada yang memilih untuk membeli wau yang sudah siap. Tetapi harga yang agak mahal menjadikan permainan moden yang lain lebih menarik perhatian orang ramai.
Kekurangan penganjuran pertandingan wau
Jika diperhatikan, setiap tahun akan ada penganjuran pertandingan permainan video seperti Mobile Legend, PUBG, dan DotA kerana generasi muda lebih memilih permainan sebegini berbanding aktiviti-aktiviti yang memerlukan tenaga fizikal. Mereka boleh meluangkan masa bersama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dan berpeluang meraih hadiah yang bernilai.
Lebih banyak pertandingan permainan video diadakan, lebih ramai pengikut yang akan dikumpul. Malangnya, situasi yang sama tidak dapat dilihat dalam senario permainan tradisional di Malaysia, oleh sebab itulah wau, serta permainan-permainan yang lain seperti congkak, batu seremban, dan gasing tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat negara ini biar pun permainan-permainan ini sebenarnya warisan mereka.
Generasi muda kurang pengetahuan tentang permainan tradisional dan keseronokan yang dijanjikan, jadi mereka memilih untuk tidak bermain.
Wau sepatutnya lebih dihargai sebagai permainan tradisional
Walaupun pelbagai permainan yang lebih eksklusif direka pada zaman sekarang, wau tidak sepatutnya dilupakan sewenang-wenangnya. Ia bukan sejenis permainan tradisional semata-mata, tetapi juga harta yang cukup berharga kerana statusnya sebagai warisan budaya rakyat Malaysia.
Oleh itu, semua pihak haruslah bersama-sama memupuk semula sikap menghargai permainan tradisional meski pun pelbagai permainan baharu yang lain muncul saban hari pada era moden ini.