“Mangkuk tandas” haiwan sebagai hidangan Aidilfitri

Apabila Aidilftri tiba, makanan-makanan tradisi seperti ketupat, rendang, dan bermacam-macam jenis kuih raya dihidangkan dari rumah ke rumah. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, satu hidangan istimewa yang lain telah mendapat perhatian rakyat Malaysia, iaitu lemang periuk kera.

Secara tradisionalnya, lemang diperbuat daripada beras pulut, santan, dan garam yang dibalut dengan daun pisang sebelum dimasukkan ke dalam batang buluh yang berlubang. Batang buluh tersebut kemudiannya disandarkan pada pagar yang melintang, sementara api terbuka memanggang lemang-lemang itu dari belakang.

Apabila siap dimasak, lemang akan dikeluarkan dari batang buluh dan dipotong kecil-kecil dalam bentuk bulat, sedia dimakan bersama rendang atau serunding di pagi hari raya.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, buluh telah mula digantikan dengan tanaman kendi atau periuk kera untuk rasa yang lebih berlemak dan beraroma, serta tekstur yang lebih lembut. Kelazatan lemang periuk kera dapat dilihat dalam satu episod animasi popular Upin & Ipin pada tahun 2013 yang juga menunjukkan betapa lemang periuk kera lebih mudah dimasak berbanding lemang buluh.

Lemang periuk kera berasal dari Pahang

Lemang periuk kera mula dihasilkan di Pahang dan ia telah didagangkan di seluruh Malaysia sejak 15 tahun yang lalu.

Noorshafry Abdul Malik, juga dikenali sebagai Atan adalah seorang pencinta alam semulajadi. Ketika lawatan ke Taman Negara Endau-Romping, beliau berjumpa seorang doktor tentera yang berkongsi cerita tentang padi liar yang dimasak dalam periuk kera di Borneo.

Cerita itu memberi inspirasi kepada Atan untuk memulakan perniagaan lemang. Selepas bereksperimen dengan bermacam-macam resipi selama tiga bulan, beliau akhirnya menemukan resipi terbaik menggunakan beras pulut dan santan segar, yang kemudiannya dipanggil lemang periuk kera.

Atan mengembangkan perniagaan lemang periuk kera setelah berpindah ke Selangor untuk memberi fokus kepada perniagaan kateringnya pada tahun 2010. Sejak itu, mereka yang tinggal di Lembah Klang sudah menikmati kesedapan lemang periuk kera Atan. Ketika perayaan Aidilfitri tahun lalu, Atan menerima tempahan lebih 200,000 lemang.

Timbul kekhuatiran akan kepupusan periuk kera

Kejayaan Atan menjadi inspirasi kepada ramai peniaga yang lain untuk terjun dalam bidang yang sama. Malah, tertubuh juga kumpulan yang dinamakan Kumpulan Pencari Periuk Kera yang berperanan memburu periuk kera yang tumbuh meliar di hutan-hutan.

Apabila permintaan terhadap lemang periuk kera semakin meningkat dari tahun ke tahun, maka timbul pula isu tentang aktiviti penuaian periuk kera yang keterlaluan sehingga boleh menyebabkan kepupusan tanaman unik ini.

Sejak tahun lalu, ramai aktivis alam semulajadi termasuklah selebriti dan duta River of Life (ROL) Maya Karin sudah aktif membendung permintaan terhadap lemang periuk kera demi menjaga kelestarian tanaman yang telah dikategorikan sebagai terancam ini.

Dikategorikan sebagai ‘least concern’ oleh ICUN

Terdapat 170 spesis tanaman kendi di dunia, 13 daripadanya tumbuh di Semenanjung Malaysia. Spesis yang digunakan dalam pembuatan lemang periuk kera ialah Nepenthes ampullaria.

Taburan spesis Nepenthes ampullaria.
Imej dari: Flora Malesiana

Ketika ini, Nepenthes ampullaria dikategorikan sebagai least concern (paling tindak dikhuatiri) oleh ICUN Red List, sementara sebahagian daripada 12 lagi spesis sudah pun dikategorikan sebagai endangered (terancam).

Nepenthes ampullaria dikategorikan sebagai least concern.
Imej dari: IUCN Red List

Oleh itu, dengan peningkatan permintaan periuk kera terutamanya sekitar musim perayaan, jumlah populasi tumbuhan ini akan berkurang dan dengan mudahnya meletakkan status periuk kera dalam ancaman kepupusan.

Mengancam keharmonian ekosistem

Satu lagi isu yang dibangkitkan ialah penuaian periuk kera yang berlebihan boleh mengancam keharmonian dan kestabilan ekosistem flora dan fauna.

Periuk kera memerangkap serangga dan menyerap nutrien serangga tersebut. Memandangkan tanaman ini biasanya tumbuh di tanah yang kekeringan nutrien, nutrien yang diserap daripada serangga akan dipindahkan ke tanah. Di samping itu, satu kajian mendapati periuk kera juga mendapat nutriennya daripada najis haiwan, seperti kelawar dan tupai yang menggunakan periuk kera sebagai “mangkuk tandas” mereka.

ZoologyMy melalui Twitter telah pun menjelaskan fakta ini sebagai cara untuk menghalang orang ramai daripada menjadikan periuk kera sebagai sumber makanan mereka. Flora dan fauna di hutan bergantung sesama sendiri untuk bertahan hidup dan manusia tidak sepatutnya mengganggu kestabilan kehidupan flora dan fauna ini dengan menuai periuk kera untuk tujuan pembuatan lemang.

Setakat ini, belum ada usaha atau teknologi yang dijalankan untuk mengkomersialkan tanaman periuk kera di Malaysia. Melihatkan betapa kreatifnya penduduk negara ini mencipta pelbagai jenis makanan, tidak mustahil satu hari nanti periuk kera bakal digunakan untuk makanan lain selain lemang, contohnya nasi lemak atau kek cawan.

Jika usaha untuk melindungi tumbuhan karnivor ini gagal, ia mungkin akan pupus dalam masa terdekat. Justeru, buat masa sekarang, lebih baik untuk semua kekal dengan lemang buluh.

Want More Story From Us?