Rakyat mampu mewujudkan impak positif hanya melalui pemakanan yang elok.
Setiap perkataan pasti ada sinonimnya, begitu juga untuk makanan. Kebiasaannya, majoriti masyarakat tahu dan gemar akan makanan segera, tetapi pasti ramai yang tidak tahu terdapat juga terma ‘makanan lambat’ yang diwujudkan oleh Slow Food Movement, (SFM).
‘Slow Food Movement’ jika diterjemahkan secara ringkas ialah ‘Gerakan Makanan Lambat’. Gerakan ini diwujudkan oleh Carlo Petrini yang berasal dari Itali, pada tahun 1986 dan agenda utama adalah untuk melawan masakan segera dan mengekalkan masakan tradisional dan juga makanan tempatan.
Gerakan ini juga mempunyai slogan tersendiri iaiti ‘good, clean and fair food’ yang bermaksud sesuatu hidangan mestilah bermutu, bersih dan juga adil. Makanan harus memberikan nutrisi dan rasa yang unik, bukan sahaja setakat membuatkan seseorang itu kenyang.
Kebaikan Slow Food Movement
Dengan kewujudan SFM, tradisi dapat dikekalkan. Tradisi yang dimaksudkan ialah seperti makanan tempatan dan contoh yang terdekat ialah masakan kampung. Pada masa kini dengan kadar pemakanan makanan segera yang tinggi, ramai sudah lupa akan rasa keaslian dan keunikan masakan tempatan.
Seterusnya, SFM juga dapat membantu ekonomi tempatan. Pembelian bahan mentah tempatan seperti sayuran dan daging yang segar semestinya dapat meningkatkan pendapatan peladang dan penternak tempatan sekali gus menambahbaik ekosistem dan ekonomi negara.
Kesihatan seseorang juga akan berada di tahap yang elok, hal ini kerana makanan yang dimakan dan dihadam bukan makanan yang diproses. Masakan yang menggunakan bahan segar dan disediakan dengan kaedah elok jauh lebih sihat jika dibandingkan dengan makanan segera seperti yang dapat dilihat di McDonalds dan KFC.
Gerakan Slow Food di Malaysia
Slow Food sudah mula dipraktikkan oleh masyarakat tempatan tetapi pada kadar yang biasa. Pada tahun 2019, satu perjumpaan besar telah berlangsung di Kedah di mana peladang, pengusaha dan aktivis dari seluruh Malaysia berkumpul untuk berkongsi idea tentang perladangan dan bahan organik serta gerakan Slow Food ini.
Di Balik Pulau, Pulau Pinang, terdapat sebuah ladang yang dinamakan Green Acres yang mula diusahakan oleh sepasang suami dan isteri beberapa tahun yang lepas. Di ladang ini, terdapat 500 jenis buah-buahan dan juga rempah ratus tempatan yang ditanam seperti cempedak, betik dan cengkih.
Baru-baru ini pula, seorang pengguna Twitter bernama Nur Aisha yang merupakan graduan sarjana telah berhenti pekerjaan tetap untuk merialisasikan impian beliau untuk berkebun.
Beliau menanam sayuran di laman rumah sendiri dan kebanyakan pos beliau menunjukkan hidangan lazat menggunakan sayuran segar tersebut. Biji benih turut dijual kepada orang lain untuk memulakan proses berkebun ini.
Walaupun hanya berkebun di rumah, hasil yang ditunjukkan oleh beliau sangat menakjubkan kerana sayuran tersebut kelihatan menarik dan menggiurkan. Ini membuktikan bahawa bercucuk tanam sangat mudah untuk dimulakan dan akan memberi pulangan yang baik dari segi hasil.
Gerakan Slow Food harus lebih digalakkan
Ternyata banyak perkara positif boleh dikecapi melalui gerakan Slow Food ini. Gerakan ini bukan hanya memberikan fokus kepada makanan yang dihidang, tetapi juga memberi fokus terhadap segi pemakanan, kesihatan, ekosistem, dan juga ekonomi tempatan.
Masakan tradisional seperti masakan kampung yang menggunakan hasil tempatan juga boleh dikekalkan melalui gerakan ini, sambil itu menambah rezeki mereka yang bercucuk tanam.
Secara keseluruhannya ini adalah usaha yang baik dan harus dipraktikkan oleh seluruh rakyat Malaysia mulai sekarang.