TV digital: merapat atau menambah jurang?

Perkhidmatan TV digital diperkenal untuk memenuhi visi Kemakmuran Bersama antara semua lapisan masyarakat. Tetapi benarkah kesemua mereka dapat menikmati kebaikan yang dibawa?

Sejak 31 Oktober tahun lalu, TV Digital myFreeview telah mula bersiaran di seluruh Malaysia menggantikan siaran terestrial analog sebagai satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk yang tinggal di bandar, luar bandar, dan subbandar, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga di Asia Tenggara selepas Brunei dan Singapura yang mengambil inisiatif ini.

Tetapi di sebalik pencapaian ini, adakah mereka di kawasan luar bandar atau subbandar, terutamanya warga emas, dapat menikmati manfaat yang ditawarkan?

Bukan semua penduduk sudah bersedia menerima peralihan

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), sebelum TV digital bersiaran sepenuhnya, TV analog hanya akan dihentikan siaran selepas semua penduduk di seluruh negara telah “bersedia untuk menerima peralihan”.

Walau bagaimanapun, masih ada antara penduduk di luar bandar dan subbandar yang kurang pengetahuan tentang cara memasang, mengguna, dan memanfaatkan TV digital. Malah, ada yang langsung tidak dapat menonton TV sejak TV analog mula ditamatkan, terutama sekali bagi warga emas yang tinggal sendiri tanpa ada sesiapa yang boleh membantu.

Resepsi TV yang tidak optimum

Antara isu lain yang dibualkan sejak pengenalan TV Digital myFreeview ialah resepsi yang tidak optimum, iaitu siaran di sesetengah kawasan yang tidak memuaskan walaupun telah dijanjikan kualiti gambar dan audio yang lebih baik berbanding TV analog.

Salah satu sebab ini berlaku ialah penggunaan dekoder yang palsu dan pemasangan antena yang tidak betul. Memang benar bahawa pihak kerajaan menyediakan kotak dekoder secara percuma untuk mereka dari kumpulan B40, tetapi mereka yang tidak layak menerima dekoder percuma cenderung untuk membeli dekoder palsu (tanpa pengesahan KKMM dan SIRIM) yang lebih murah, seterusnya menghadapi masalah selepas pemasangan.

Tidak mustahil masalah ini terjadi kerana rakyat kurang didedahkan dengan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai, serta saluran yang betul untuk diikuti sekiranya ada sebarang masalah timbul.

Benarkah semua rakyat sudah bersedia?

Isu ini berbalik semula kepada pernyataan daripada KKMM, bahawa saluran TV analog hanya akan dihentikan sepenuhnya selepas rakyat di seluruh negara bersedia untuk menerima perubahan dan pembaharuan yang dibawa TV digital. Tetapi seperti yang boleh dilihat, ternyata masih ada yang belum bersedia.

Menukar kembali kepada TV analog pasti akan menimbulkan isu pengunduran semula, dan untuk membawa nama Malaysia ke arah negara maju, ia pastinya bukan satu idea yang boleh diterima.

Oleh itu, demi memenuhi visi Kemakmuran Bersama (shared prosperity), mendidik rakyat dan memberi pendedahan yang lebih terperinci tentang perkhidmatan TV digital ini adalah penting dalam memberi kepuasan yang sama rata dalam kalangan rakyat tanpa mengira kemampuan dan status sosial mereka.

Want More Story From Us?