Isu golongan tidak bernegara (statelessness) di Sabah sudah lama terbiar tidak berpenghujung. Sehingga hari ini, jalan penyelesaiannya masih samar.
Realiti hari ini, hak dan kebebasan tidak terletak pada diri seseorang individu sebagai manusia, sebaliknya ia bergantung kepada status kewarganegaraan.
Di kepulauan negeri di bawah bayu, situasi ini diibaratkan seperti satu sumpahan yang meletakkan para penduduk Pulau Berhala dalam ketidakpastian untuk selama-lamanya.
Mengikut rekod rasmi, terdapat lebih kurang 800,000 penduduk tidak bernegara (stateless), atau mereka yang tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Malaysia. Ada beberapa situasi yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak bernegara, seperti kehilangan dokumen kelahiran, orang asli yang kurang pengetahuan tentang cara mendapatkan kerakyatan, dan yang paling hangat didebatkan, imigran yang berasal dari negara-negara jiran dan telah menetap di Sabah.
Sejarah kemasukan imigran ke Sabah
Pada sekitar 1970-an dan 1980-an, peperangan tercetus antara Filipina dan pasukan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (Moro National Liberation Front). Tragedi berdarah tersebut merebak sehingga ke beberapa kawasan di Sabah termasuklah Lahad Datu, Semporna, dan Sandakan, seterusnya memaksa ramai rakyat Filipina melarikan diri ke Pulau Berhala yang terletak kira-kira 5km dari bandar Sandakan.
Tempat yang dituju ialah kem tahanan tinggalan tentera Jepun yang menakluki Sandakan pada tahun 1942, serta pernah menjadi kawasan kurungan penduduk di situ di bawah penguasaan Jepun. Pelarian Filipina ini berteduh di kem tersebut, sebelum mula menjadikan Pulau Berhala sebagai rumah mereka semakin tahun berinjak.
Kehadiran mereka di tanah Sabah tidak pernah diakui kerajaan Malaysia, oleh sebab itulah generasi demi generasi yang dilahirkan kemudiannya terperangkap dalam status tidak sah, iaitu tidak bernegara atau stateless.
Tiada hak-hak seorang warganegara
Pendidikan, penjagaan kesihatan, dan semua hak dan kebebasan yang dinikmati warganegara Malaysia secara tidak langsung dinafikan untuk mereka yang tidak bernegara ini. Walaupun generasi baru dilahirkan dan dibesarkan di Sabah, di mata undang-undang, mereka bukan rakyat yang sah.
Oleh yang demikian, mereka terpaksa hidup dalam kedaifan. Selain kaum Bajau Laut yang bergantung hidup kepada hidupan marin, anak-anak kecil belajar mencari wang dengan mengutip botol-botol plastik, papan kayu, dan lembaran logam untuk dijual. Yang dewasa bekerja secara haram.
Pendidikan dan penjagaan kesihatan yang dinafikan
Sekiranya jatuh sakit, tiada hospital yang akan menawarkan tahanan wad, dan kos yang perlu dibayar berkali-kali ganda lebih mahal berbanding bayaran untuk seorang warganegara. Ada sekolah dibina atas dasar perikemanusian dan tidak mengikut piawaian pembejalaran di sekolah-sekolah kerajaan. Malah, pembelajaran mereka ringkas berpandukan asas 3M, iaitu membaca, menulis, dan mengira.
Tiada sijil yang melayakkan mereka untuk ke universiti, dan tiada jaminan kerjaya di masa hadapan.
Rakyat Malaysia juga tidak menerima
Mereka yang tidak bernegara bukan cuma tidak diperakui di sisi undang-undang, tetapi juga dianggap dan dilayan seperti orang asing di bumi tempat mereka dilahirkan. Di mata rakyat Malaysia yang lain, mereka cuma imigran dari negara luar yang telah lama bermastautin secara haram di negara ini.
Memandangkan kebanyakan golongan tidak bernegara di Sabah berdarah Filipina dan Indonesia, mereka tidak layak diberi kewarganegaraan. Tidak kiralah selama mana pun mereka telah tinggal di Malaysia – di tempat yang mereka panggil kampung halaman.
Walau bagaimana pun, melihatkan kedaifan hidup mereka, tidak salah sekiranya mereka diberi peluang untuk mengubah nasib. Sama seperti manusia yang lain, mereka juga ada hak-hak asasi. Tak perlu menjadi seorang warganegara untuk memberi mereka hak-hak ini, seorang manusia berhati perut sudah lebih daripada cukup.