Tiada maaf buat pemandu mabuk?

Kumpulan akvitis hak asasi manusia boleh bersuara dengan mengatakan hukuman mati (capital punishment) ialah pencabulan hak asasi seseorang individu, tetapi bagi mereka yang pernah merasai peritnya kehilangan ahli keluarga kerana seorang pemandu cuai di bawah pengaruh alkohol, hukuman mati adalah yang terbaik demi mencapai keadilan.

Pada tahun 2018, sebanyak 124,620 kes pemanduan mabuk (drink driving) direkodkan di Taiwan, memaksa kerajaan negara tersebut memperkenal undang-undang yang lebih tegas, iaitu hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian di jalan raya.

Di Malaysia pula, berita kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk semakin banyak mengisi dada akhbar sejak kebelakangan ini. Lantas, warga siber mengambil inisiatif untuk meminta kerajaan melaksanakan hukuman yang lebih berat kepada si pelaku, iaitu hukuman mati.

Malaysia memegang rekod ketiga tertinggi kematian di jalan raya. Menurut AskLegal, kajian yang dijalankan pada 2012 mendapati 23.3% pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut berada di bawah pengaruh alkohol.
Imej dari: The Star
Hukuman sekarang terlalu ringan?

Pemandu mabuk 13 kali ganda lebih berpotensi untuk menyebabkan kemalangan berbanding mereka yang memandu dalam keadaan sedar (sober), dan perbuatan ini nyata satu kesalahan di sisi undang-undang.

Secara ringkasnya, hukuman atas pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan mengikut seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 ialah bayaran denda sehingga RM10,000 dan maksimum penjara 12 bulan. Di mata ramai rakyat Malaysia pada hari ini, hukuman ini amatlah ringan bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Netizen meminta hukuman yang lebih berat

Apabila kematian berlaku kerana kesalahan jalan raya, kesan yang menimpa keluarga mangsa sama seperti mereka yang menjadi mangsa pembunuhan. Seorang bapa yang meninggalkan keluarga tanpa pencari nafkah (breadwinner), seorang ibu yang meninggalkan anak yang masih kecil, atau seorang anak yang menjadi harapan keluarga – mereka ini merana kerana kecuaian pemandu yang percaya mereka boleh memandu walau berada bawah pengaruh alkohol.

Oleh itu, warga siber menjadikan Twitter sebagai tempat untuk meluahkan kekecewaan serta menggalakkan kerajaan melaksanakan hukuman yang lebih berat kepada pemandu mabuk, terutama sekali yang menyebabkan kematian.

‘Pembunuhan’ tanpa niat

Di Malaysia, jenayah pembunuhan membawa hukuman gantung sampai mati. Justeru, ramai rakyat berpendapat bahawa pemandu mabuk yang menyebabkan kematian juga sama seperti seorang pembunuh yang layak dihukum gantung.

Walaupun kematian yang disebabkan pemandu mabuk tidak dirancang (not premeditated) dan tidak diniatkan (unintentional) seperti kes bunuh, seseorang pemandu mabuk harus dihukum berat kerana dengan rela meletakkan nyawa diri dan pengguna jalan raya yang lain dalam bahaya meski pun tahu perbuatan memandu bawah pengaruh alkohol boleh mengganggu pemanduan serta mendatangkan kemudaratan.

Dalam erti kata lainnya, kecuaian dan tindakan yang melulu boleh membunuh, maka kesalahan tersebut tidak sepatutnya dihukum hanya dengan membayar denda dan tempoh penjara yang singkat.

Hukuman jenayah dadah lebih berat?

Dari sisi yang lain pula, penyeludupan dadah (drug trafficking) ke Malaysia juga membawa hukuman mati. Oleh sebab dadah dianggap sebagai musuh utama negara, mereka yang terlibat dengan najis dadah ini layak dihukum mati mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sekiranya begitu, kenapa perkara yang sama tidak boleh dikenakan ke atas pemandu mabuk yang sudah jelas membahayakan nyawa orang awam sehingga menyebabkan kematian?

Jika bukan hukuman mati, menambahkan tempoh penjara adalah yang terbaik

Setakat Jun 2018, seramai 1,267 banduan sedang menunggu masa untuk ke tali gantung (death row), yang mana setiap satunya disabitkan dengan kesalahan berbeza-beza, dari pemilikan dadah sehingga ke pembunuhan kejam.

Sebanyak 106 negara telah pun memansuhkan hukuman mati ke atas penjenayah. Malaysia juga pernah melalui fasa perancangan untuk memasuhkan hukuman ini tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan. Sementara mereka yang memperjuang hak asasi manusia menentang keputusan ini, kebanyakan keluarga mangsa pembunuhan menarik nafas lega.

Jika pemandu mabuk yang menyebabkan kematian tidak layak menerima hukuman mati atas dasar perikemanusiaan dan hak asasi manusia, mungkin yang terbaik ialah menambahkan hukuman yang lebih berat, seperti memanjangkan tempoh masa di penjara atau penarikan lesen memandu seumur hidup, agar keadilan buat keluarga mangsa dapat terbela.

Want More Story From Us?