Tak peduli tentang undang-undang?

Selayaknya sebuah negara, Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi. Tetapi yang ‘kecil’ sering sahaja dipandang ringan.

Larangan merokok di dalam kedai makan dan restoran telah diperkenal sejak awal 2019, tetapi pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati masih ramai yang angkuh dan memilih untuk merokok di tempat awam dengan alasan mereka tidak sedar akan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan.

Dalam pada pihak berkuasa cuba mengetatkan undang-undang dengan mengenakan denda ke atas para perokok yang tidak bertanggungjawab ini, undang-undang lain seperti pengasingan sampah, pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang kenderaan, dan letak kereta berganda (double parking) juga antara yang sering kali terabai.

Apati masyarakat

Tidak kiralah berapa banyak undang-undang yang dilaksanakan, sekiranya masyarakat terus mengekalkan sikap tidak endah, semuanya akan menjadi sia-sia.

Apati (apathy) atau kurang minat terhadap sesuatu isu yang seharusnya diberi perhatian adalah antara sebab mengapa banyak undang-undang yang dirangka kerajaan hanya dipandang sepi.

Wujudnya apati ini adalah kerana kurangnya penguatkuasaan (enforcement) dan pelaksanaan (execution). Sebagai contoh, rakyat Malaysia masih tidak mengasingkan sisa pepejal (bahan buangan atau sampah) mengikut kategori boleh dikompos atau tidak boleh dikompos walaupun undang-undang tersebut telah diperkenal sejak tahun 2015. Oleh sebab mereka yang melanggar undang-undang ini tidak pernah dikenakan hukuman, ramai beranggapan bahawa mereka juga tidak akan didenda sekiranya gagal mematuhi undang-undang tersebut.

Orang ramai juga tiada kesedaran

Selain kurang penguatkuasaan, orang ramai memilih untuk tidak mengasingkan sampah kerana tiada kesedaran yang cukup untuk berbuat demikian. Ini kerana terdapat jurang yang besar antara pendidikan dan usia, di mana mereka yang lebih dewasa sukar untuk menerima idea pengasingan sampah yang sebelum ini dianggap tidak penting.

Mereka juga tidak tahu saluran yang betul untuk membuang sampah serta prosedur yang perlu diikut.

Di samping itu, mentaliti bahawa penumpang di belakang kenderaan tidak akan menerima kesan buruk apabila kemalangan berlaku telah lama tertanam dalam fikiran orang ramai, seterusnya menjadikan jumlah mereka yang memakai tali pinggang keledar belakang cuma di angka 5% pada tahun 2018.

Tempoh penangguhan yang terlalu panjang?

Sebelum undang-undang larangan merokok di restoran dikuatkuasakan, tempoh penangguhan (grace period) dipanjangkan selama enam bulan untuk memberi masa kepada perokok dididik dan diberi kesedaran. Tetapi malangnya, tempoh yang diberikan itu nyata membuat mereka lupa akan undang-undang sebenar.

Apabila sesuatu tempoh penangguhan tamat, orang awam dengan mudah boleh menggunakan alasan tidak sedar akan penguatkuasaan apabila ditangkap melakukan kesalahan.

Hukuman lebih berat diperlukan

Satu lagi contoh yang boleh dilihat ialah kesalahan membuang sampah merata-rata (littering) yang sering dipandang ringan. Walaupun jelas perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang, sambutan malam tahun baru 2020 meninggalkan 9,000kg sampah yang mengambil masa lapan jam untuk dibersihkan. Meski pun telah dinasihatkan untuk membawa plastik sampah sendiri andainya tong yang disediakan tidak mencukupi, ramai yang masih tidak peduli.

Walau bagaimana pun, usaha dalam memerangi perokok yang masih merokok di restoran baru-baru ini menunjukkan perubahan yang lebih positif dalam pelaksanaan undang-undang, itu pun selepas 605 notis dengan nilai kompaun RM144,450 telah dikeluarkan.

Secara ringkasnya, masyakarat akan lebih peduli dan berusaha untuk mematuhi undang-undang dengan adanya hukuman yang lebih berat.

Want More Story From Us?