Syabu kristal jadi ‘kegemaran’

Suatu masa dahulu, penagih-penagih dadah di Malaysia terperangkap dalam cengkaman heroin. Hari ini, mereka beralih kepada syabu.

Syabu, atau methamphetamine (meth) adalah bahan terlarang yang kedua paling banyak digunakan di seluruh dunia selepas ganja (marijuana).

Dadah jenis ganja yang berasaskan tumbuhan.
Imej dari: ©Shutterstock/ Stephen Orsillo

Malah, trend terkini mendapati ramai penagih dadah, terutamanya di Malaysia, telah beralih daripada dadah yang berasaskan tumbuhan kepada dadah jenis sintetik, iaitu syabu kristal (crystal meth). Kalau dahulu syabu dibawa masuk dari negara luar, kini sudah terdapat banyak makmal yang ditubuhkan secara haram dalam negara bagi memproses dadah yang membunuh ini.

Ketagihan syabu meningkat dari tahun ke tahun

Sebelum ini, negara berdepan dengan krisis ketagihan heroin, tetapi setelah ia cuba ditangani dengan tegas sehingga jumlah pengguna heroin (dan morfin) berkurang dari 75.09% pada tahun 2013 ke 37.91% pada tahun 2017, muncul pula masalah yang lebih besar dan membimbangkan, iaitu ketagihan syabu.

Menurut laporan daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah pengguna syabu kristal mencecah 10,419 orang pada 2017, manakala syabu pil merekodkan jumlah pengguna seramai 4,366 orang.

Syabu kristal merekodkan jumlah penagih yang paling tinggi.
Data dari: Maklumat Dadah 2017 AADK

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila hasil serbuan pihak polis mendapati nilai rampasan dadah jenis syabu mencecah RM110.779 juta dalam tahun yang sama.

Mungkinkah kejatuhan heroin berpunca daripada kebangkitan syabu?

Penangan syabu lebih kuat berbanding dadah-dadah lain
Dadah jenis heroin adalah antara dadah yang membunuh.
Imej dari: Drug Abuse

Menurut Dr. Paul Earley, doktor pakar ketagihan di Georgia, syabu kristal mengaktifkan kesan yang lebih cepat berbanding jenis-jenis dadah yang lain. Syabu membanjiri otak dengan hormon dopamin, menjadikan si pengguna seolah-olah berada dalam alam euforia serta mendapat tenaga yang luar biasa.

Syabu kristal hanya mengambil masa tiga sehingga lima minit untuk mula memberi kesan, manakala pil boleh memakan masa antara 15 ke 20 minit. Walau bagaimana pun, dengan penangan yang lebih hebat dan pantas, kesan buruk yang diterima juga lebih cepat berlaku dan berkali-kali ganda lebih merosakkan.

Jika dibandingkan dengan pengguna heroin yang masih boleh mengekalkan pengambilan asalkan dosnya tepat, pengguna syabu akan mengalami kemerosotan fizikal yang pantas, seperti gigi rongak, kekurangan berat badan yang berlebihan, dan kerosakan kulit.

Penagih wanita memilih syabu kerana kecantikan

Permintaan terhadap syabu meningkat beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi ia sudah menjadi musuh dalam selimut sejak lama dahulu. Menurut satu kajian yang dijalankan di Sabah pada 2007, penagih wanita di Sabah didapati memilih syabu kerana kecantikan dan untuk menguruskan badan.

Selain itu, syabu menjadi ‘kegemaran’ kerana ia mudah didapati dan harganya yang lebih murah berbanding dadah-dadah lain seperti ganja dan heroin. Lebih membimbangkan, pada hari ini, murid-murid sekolah dengan mudah boleh mendapatkan bekalan syabu kristal dalam bentuk pek dengan harga serendah RM10.

Jenayah lain turut sama meningkat

Seperti yang orang ramai tahu, dadah dan jenayah sangat berkait rapat. Apabila seseorang itu khayal dengan dadah, sukar untuknya mengawal tindak-tanduk sendiri. Malah, si penagih juga akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menampung ‘tabiat’ mereka ini, sehingga ada yang memilih untuk terlibat dalam jenayah seperti mencuri, meragut, dan memecah masuk rumah.

Mengikut laporan Bernama, permintaan terhadap syabu kini semakin meningkat di kawasan-kawasan Felda. Walaupun harganya tetap juga tinggi, itu tidak menghalang penagih daripada berusaha mendapatkannya, sekali gus menjadikan kadar jenayah di kawasan-kawasan ini semakin memburuk.

Syabu kristal, dadah yang membunuh.
Imej dari: thought.co
Tidak mudah untuk ‘bersih’ daripada syabu

Apabila seseorang penagih berhenti mengambil syabu, kekosongan hidup yang dirasai sebelum ketagihan syabu akan datang semula serta-merta. Ada yang berasakan seperti tubuh dilapah bintang sehingga memaksa mereka untuk mencari dadah itu semula, dan ada juga yang kemurungan sehingga timbul rasa ingin membunuh diri.

Memanglah seronok ketika kesan dadah masih mempengaruhi fungsi tubuh badan, tetapi sehabisnya ia, hanya sengsara yang akan menanti.

Syabu, heroin, ganja, atau apa sahaja jenis dadah sekali pun, janganlah dekatinya walau hanya untuk suka-suka.

Want More Story From Us?