Situasi kritikal perkhidmatan awam

Penjawat awam yang mula bekerja pada tahun 2020 mungkin tidak lagi menerima elaun kritikal RM750. Tetapi wajarkah tindakan ini untuk mereka?

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) atau elaun kritikal mula diperkenal pada tahun 1992, bertujuan untuk menarik lebih ramai minat anak muda untuk menceburi perkhidmatan awam, antaranya bidang perubatan, kejuruteraan, dan penerbangan.

Namun, keadaan telah berubah mengikut peredaran zaman, dan elaun kritikal dikatakan tidak lagi relevan.

Tidak relevan kerana lambakan graduan perubatan?

Antara golongan yang menerima kesan yang paling dalam ialah mereka dalam bidang perubatan.

Isu lambakan graduan perubatan masih tiada jalan penyelesaiannya kerana kegagalan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada doktor-doktor muda. Akibatnya, hanya 15,268 permohonan diisi daripada 24,756 jumlah sebenar.

Inilah antara sebab elaun kritikal dikatakan tidak lagi relevan. Tetapi wajarkah kesimpulan ini dibuat tanpa mengambil kira terlebih dahulu masalah lain yang terpaksa dihadapi para doktor pada hari ini, seperti ketidakpastian jawatan tetap selepas tamat tempoh latihan (housemanship) dan gaji bulanan yang rendah?

Doktor terus dibayar rendah

Memang benar bahawa jumlah graduan perubatan pada hari ini melebihi jumlah doktor yang diperlukan di hospital-hospital sehingga mendorong kepada pengangguran, tetapi doktor-doktor yang bekerja keras siang dan malam masih berdepan dengan satu masalah yang sama, iaitu bayaran gaji yang rendah.

Gaji bersih seorang pegawai perubatan UD41 ialah sebanyak RM2,947, yang mana masih rendah jika dibandingkan skop pekerjaan seorang doktor dengan profesion lain. Malah, tahun sebelumnya, seramai 170 orang doktor pakar yang kebanyakannya bergred UD54 meletak jawatan untuk berpindah ke sektor swasta kerana gaji rendah di sektor kerajaan.

Tanpa elaun kritikal yang menyumbang kepada 15% gaji dan 50% gaji bagi sesetengah doktor, jumlah pendapatan sebulan mereka akan semakin berkurang.

Tidak adil bagi penjawat baharu

Situasi ini jelas dianggap tidak adil bagi doktor-doktor muda serta penjawat lain dalam bidang perubatan awam seperti jururawat, ahli farmasi, dan doktor gigi yang baru sahaja menggalas tanggungjawab di hospital-hospital awam bermula 1 Januari 2020.

Tugasan yang berat, tempoh masa bekerja yang panjang, dan jadual yang padat sudah cukup memberi kesan negatif terhadap kebajikan seseorang doktor. Ditambah lagi dengan bayaran yang rendah, ketiadaan elaun kritikal semestinya boleh menambahkan tekanan.

Apabila kemampuan seseorang doktor terjejas, bukankah sistem penjagaan kesihatan (healthcare system) di Malaysia akan turut menerima kesan buruknya?

Dengan tindakan ini, mampukah Malaysia mengejar status negara maju?

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) menyifatkan tindakan menghapuskan elaun kritikal sebagai mengambil langkah ke belakang dalam usaha menuju negara maju 2025.

Pada awalnya, elaun ‘kritikal’ bukan bermaksud situasi perkhidmatan awam yang genting (boleh menimbulkan krisis kerana kekurangan kakitangan) sehingga elaun diperlukan untuk menanganinya, tetapi melihatkan nasib penjawat awam ini yang terus tidak terbela, mungkin memang seharusnya situasi ini dianggap kritikal.

Want More Story From Us?