Sekolah tahfiz sememangnya pilihan yang baik untuk ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan Islam yang menyeluruh, tetapi bukan semua sekolah mampu menjamin keselamatan dan kebajikan anak-anak ini.
Ketika asas pembelajaran sekolah tahfiz mula digerakkan secara formal pada tahun 1966, tujuannya murni, iaitu untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin lebih mengenali Islam dengan mendalami pendidikan al-Quran.
Tetapi zaman sudah jauh berubah, dan sekolah tahfiz wujud pada hari ini bukan cuma untuk penduduk Muslim Malaysia mempelajari agama mereka, sebaliknya sebagai ‘pusat pemulihan akhlak’ untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah disiplin atau mereka yang dicop ‘budak-budak nakal’.
Perbuatan ini jelas salah, dan ada banyak faktor yang boleh digunakan untuk menyokong pernyataan ini.
Kesan jangka panjang ke atas mental kanak-kanak
Dalam pemikiran ibu bapa yang menghantar anak-anak yang bermasalah ke sekolah tahfiz, pendidikan agama yang diajar di sekolah tersebut mampu membentuk sikap anak-anak mereka menjadi lebih baik. Segala salah laku dan setiap kekecohan yang pernah ditimbulkan sebelum ini diharapkan dapat dipulih dengan ‘keajaiban’ pembelajaran di sekolah tahfiz.
Malangnya, perbuatan ini sebenarnya seperti menyisihkan kanak-kanak ini yang seterusnya membuat mereka memendam perasaan seperti terasa diri tidak diperlukan, marah, dan benci terhadap ibu bapa mereka sendiri. Akibatnya, lebih banyak masalah disiplin yang akan berlaku di sekolah sebagai tanda pemberontakan sehingga menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan murid-murid yang lain dan juga guru-guru.
Lebih teruk lagi, ada kemungkinan untuk kanak-kanak ini menjadikan murid-murid lain sebagai sasaran buli, seperti yang berlaku dalam kes kematian seorang pelajar tahfiz baru-baru ini yang dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu.
Masalah ini juga mungkin bakal berlarutan untuk jangka masa yang panjang, sekali gus meninggalkan parut kekal dalam diri kanak-kanak ini sehingga mereka dewasa.
Institusi tahfiz akan kehilangan hormat daripada masyarakat
Sekolah tahfiz dahulu dipandang tinggi kerana nilai-nilai Islamik yang diterapkan ke dalam diri setiap pelajarnya. Tetapi sejak berita-berita buruk yang sering dikaitkan dengan sekolah tahfiz semakin banyak mengisi dada akhbar, nama baik sekolah tahfiz sudah mula tercemar.
Apatah lagi dengan ‘trend’ ibu bapa yang menjadikan sekolah tahfiz sebagai ‘tapak buangan’ anak-anak yang tidak mendengar kata serta ‘ketaksuban’ mereka menghantar anak-anak ke sekolah yang telah tercela dengan kes-kes serangan seksual, sekolah tahfiz kini berdepan dengan kemungkinan serius yang ia akan terus mengundang cemuhan daripada orang ramai.
Permintaan terhadap sekolah tahfiz semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun itu tidak bermakna para ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka ke mana-mana sahaja sekolah yang ada tanpa memeriksa latar belakang dan kredibilitinya terlebih dahulu. Apatah lagi dengan penambahan sekolah tahfiz yang tidak berdaftar bagaikan cendawan selepas hujan, amatlah penting untuk memilih yang terbaik supaya tidak berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Niat untuk memberi pendidikan Islam yang terbaik untuk anak-anak tidak salah, tetapi kepekaan ibu bapa dalam menilai keselamatan, kebajikan, dan kegembiraan anak-anak mereka sendiri jauh lebih penting daripada itu.
Tuntasnya, sekolah tahfiz bukan pusat pemulihan untuk kegagalan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.