Sekatan dalam menonton filem

Buat penggemar filem, pilihan filem menarik dan bermutu bukanlah suatu persoalan sukar. Namun, bukan semua filem menarik yang ingin ditonton boleh ditonton di pawagam Malaysia.

Setiap tahun, banyak filem yang dihasilkan produksi tempatan mahu pun antarabangsa, tetapi bukan semua filem ini diluluskan untuk tayangan.

Ada yang diberi kelulusan tanpa syarat, kebanyakannya terpaksa ditapis atau dipotong, dan ada juga yang terus disekat tayangannya.

Malaysia adalah negara di mana lebih separuh penduduknya menganut agama Islam, tak lupa juga dengan kaumnya yang pelbagai. Oleh sebab itulah, banyak batasan dan sensitiviti yang perlu dijaga.

Menggugat keharmonian perkauman, keagamaan, dan kebudayaan negara?

Filem-filem yang ditayang haruslah mengikut dasar-dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia.

Terdapat tiga klasifikasi filem mengikut LPF, iaitu U, P13, dan 18. Dari intipati yang memberi pengajaran positif, kepada kandungan yang memerlukan pengawasan ibu bapa, dan seterusnya kandungan unsur seram, ngeri, dan seksual yang tidak berlebihan untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas, setiap filem haruslah tidak mengganggu-gugat keharmonian perkauman, keagamaan, dan kebudayaan rakyat Malaysia.

Akhir-akhir ini, lambakan filem dari negara luar yang mengetengahkan elemen LGBTQ+ sering menjadi sasaran pengharaman oleh LPF, di samping babak grafik berunsurkan seksual dan keganasan yang keterlaluan.  Antara contoh filem yang telah diharamkan tayangannya seperti Love, Simon, Hustlers, dan The Happytime Murders.

Filem yang menyentuh sensitiviti agama Islam turut dilarang, seperti Bilal dan Padmaavat.

Terbaru, filem animasi Abominable disekat tayangannya di Malaysia kerana konflik garisan tuntutan Laut China Selatan antara China dan negara-negara Asia yang lain, termasuk Malaysia.

Bagaimana pula dengan Netflix?

Tidak seperti tayangan filem di panggung wayang, filem-filem dan rancangan-rancangan TV yang disiarkan di perkhidmatan penyiaran atas talian seperti Netflix tidak ditapis. Malah, tidak seperti filem-filem di pawagam yang dikawal LPF, kandungan perkhidmatan atas talian berada dalam kawalan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Netflix tiba di Malaysia pada tahun 2016. Menurut wakil dari perkhidmatan penyiaran atas talian gergasi itu, isi kandungan yang ditayangkan tidak akan ditapis, cuma ia terhad mengikut negara dan kawasan tertentu. Dasar ini masih lagi kekal sehingga kini meskipun ada beberapa pengguna yang telah menzahirkan kebimbangan terhadap kebebasan kandungan Netflix yang semestinya penuh dengan adegan seksual, elemen LGBTQ+, dan juga aksi ganas.

Malah, pengguna-pengguna tegar Netflix mempertahan dasar ini dengan menegaskan bahawa kandungan-kandungan sebegitu tidak akan meninggalkan kesan buruk kerana ia sekadar suatu jenis hiburan.

Jika ada kandungan yang ingin dielak, para pengguna dengan mudah boleh menukar tetapan aplikasi. Klasifikasi filem mengikut umur juga boleh dilihat melalui label-labelnya, seperti 7+, 13+, 16+, dan 18+. Di samping itu, label-label yang lebih jelas seperti violence (keganasan), language (penggunaan bahasa), sex (adegan seksual), substance (penggunaan dadah atau alkohol), dan nudity (ketelanjangan) boleh menjadi kayu pengukur sejauh mana isi kandungannya boleh ditonton.

Adegan ‘keterlaluan’ seperti yang ditayangkan dalam siri Sex Education, Elite, dan Riverdale tidak mungkin akan diluluskan tayangannya di pawagam tempatan, namun para pengguna Netflix bebas menonton tanpa tapisan.

Ketegasan mereka dalam ‘melindungi’ Netflix daripada ‘disentuh’ oleh pihak berkuasa menimbulkan satu persoalan. Jika filem francais Fifty Shades of Grey yang pernah dilarang tayangannya boleh ditonton tanpa sekatan di Netflix, adakah penapisan filem benar-benar diperlukan?

Penggemar filem kini lebih matang

Contoh terkesan boleh dilihat melalui tayangan filem Dukun, yang dulunya pernah diharamkan di pawagam di seluruh Malaysia kerana ia dikatakan menyentuh sensitiviti politik, pengamalan ilmu hitam, dan adegan yang terlampau ngeri.

Sebelas tahun berlalu, Dukun akhirnya menemui penonton. Bahkan, kutipannya yang mencecah RM 6.2 juta dalam masa empat hari tayangan membuka mata banyak pihak bahawa penggemar-penggemar filem Malaysia sudah jauh lebih matang dalam menilai.

Ramai yang semakin mampu membezakan antara situasi kehidupan sebenar dan hiburan semata.

Censorship (penapisan) adalah garisan pertahanan yang pertama untuk menangani ‘serangan’ tidak bermoral ke atas rakyat. Tiada salahnya jika ia terus dipraktikkan, namun jika rakyat sendiri sudah mampu menilai baik dan buruknya sesuatu kandungan filem, mungkin sudah tiba masanya untuk LPF mengkaji semula dasar penapisan filem di Malaysia.

Walaupun benar setiap penonton mempunyai tahap kompas moral yang berbeza-beza, sedikit kepercayaan dan kelonggaran dalam berkarya mungkin mampu membawa industri filem tanah air lebih jauh ke hadapan.

Want More Story From Us?