Sejarah lalu persiapkan Malaysia

Virus COVID-19 ini bukanlah virus berbahaya pertama yang melanda negara, bahkan Malaysia pernah mempunyai pengalaman dalam menghadapi situasi sebegini.

Meskipun jumlah kes COVID-19 meningkat hari demi hari, jumlah mereka yang telah pulih juga meningkat. Sehingga 30 Mac 2020, terdapat 479 pesakit telah sembuh dari virus pandemik ini dengan jumlah kes kesuluruhan 2,626. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mampu untuk menangani virus ini.

Virus Nipah Membuka Mata

Kemampuan Malaysia untuk menangani virus berbahaya ini bukanlah hadir tanpa sebarang usaha dan penyelidikan. Oleh sebab sejarah dan pengalaman lalu, ini memberi ruang untuk mereka memperbaik kekurangan yang dihadapi dulu.

Pekerja ladang babi menolak haiwan tersebut ke dalam sebuah kubur besar di Nipah pada tahun 1999 untuk menghentikan penularan wabak.
Imej dari: Andy Wong/ AP

Pada tahun 1999, Malaysia telah didatangi virus Nipah yang membawa jumlah kes keseluruhan sebanyak 265 dan 105 kematian. Virus ini adalah salah satu virus yang berbahaya kerana ia menyerang otak pesakit sehingga membawa kepada kelumpuhan atau koma dan maut.

Virus Nipah yang meragut nyawa hampir 70 peratus pesakit ini memberi kesedaran kepada negara bahawa  pentingnya merujuk pakar professional seperti saintis dan doktor kesihatan dalam menentukan penyebab sesuatu wabak.

Hal ini kerana ketika wabak virus Nipah melanda negara, kerajaan pada awalnya mengumumkan kepada rakyat bahawa penyakit ini datangnya daripada nyamuk. Ini telah mengakibatkan kelewatan kerajaan untuk bertindak dengan lebih awal.

Pentingnya penyelidikan terperinci tentang sesuatu wabak

Seorang saintis, Dr. Kaw Bing Chua kemudiannya berjaya menyakinkan kerajaan setelah melakukan penyelidikan, dan beliau mengatakan bahawa virus Nipah ini berpunca daripada babi. Setelah mengetahui punca sebenar, kerajaan tanpa membuang masa, mengarahkan angkatan tentera untuk menghapuskan setiap ladang babi di negara.

Virus Nipah ini mungkin dapat dibendung dengan lebih awal dan kadar kematian juga tidak akan tinggi jika kerajaan pada waktu dulu melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum mengumumkan kepada rakyat.

Walaubagaimanapun, situasi ini telah membuka mata kerajaan untuk menjadi lebih efisien dalam membendung wabak di negara.

Serupa Seperti SARS

Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) adalah salah satu virus yang hampir serupa dengan COVID-19. Malaysia juga berpengalaman dalam menangani wabak ini.

SARS yang telah melanda dunia pada tahun 2002 ini mempunyai jumlah keseluruhan sebanyak 8 000 kes di 29 negara, dengan Malaysia mempunyai lima kes dan dua kematian.

Meskipun jumlah kes di Malaysia sedikit tetapi kadar kematian penyakit SARS di negara adalah 40 peratus.Walaupun begitu, usaha kerajaan untuk membendung wabak SARS pada ketika itu adalah lebih kurang sama dengan masa kini iaitu melakukan sekatan kepada pelancong daripada China, Taiwan, Hong Kong dan Vietnam.

Tetapi seminggu setelah sekatan itu dilakukan, ia menjadi longgar apabila mereka dari China dan Vietnam hanya perlu menunjukkan surat kesihatan yang mengatakan mereka bebas dari SARS untuk memasuki Malaysia.

Melihat situasi kini, kerajaan masih lagi bertegas dengan tidak memberi kemasukan kepada mana-mana pelancong luar untuk memasuki negara demi mengelakkan penyebaran COVID-19 daripada berleluasa.

Mendapat Pengiktirafan oleh WHO

Malaysia sememangnya mempunyai pengalaman dalam mengendali wabak yang telah melanda negara. Pengalaman yang dihadapi dulu sudah semestinya berguna untuk masa hadapan.

Hari ini, wabak COVID-19 pula perlu dihadapi. Sehingga kini, Malaysia masih lagi dalam keadaan terkawal dalam mengendali wabak ini sehinggakan telah mendapat pujian daripda World Health Organisation (WHO).

Organisasi itu telah mengatakan bahawa kepantasan dan ketulusan kerajaan dalam memberi dan menyampai maklumat di media sosial dan laman web Kementerian Kesihatan tentang wabak ini kepada rakyat patut dipuji.

Cara Malaysia menangani wabak memberi kesedaran kepada rakyat

Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui apa yang telah berlaku di negara kerana ini akan memberi mereka kesedaran untuk lebih berhati-hati dan juga mengurangkan panik.

Oleh itu, rakyat seharusnya bersyukur kerana Malaysia telah mempunyai persiapan untuk menghadapi wabak yang melanda negara. Rakyat juga boleh membantu negara dengan memastikan mereka mengikut perintah yang diumumkan oleh kerajaan. Bagi mengendali sesuatu wabak, bukan sahaja pihak kerajaan tetapi kerjasama dari seluruh rakyat amatlah diperlukan.  

Want More Story From Us?