‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ adalah antara pepatah yang sesuai dengan situasi rakyat Malaysia sejak beberapa hari yang lalu.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia masih lagi negara yang harmoni dan aman apabila rakyatnya saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.
Kenyataan mengejutkan
Sifat bantu membantu dan bertimbang rasa antara rakyat ini dapat dilihat dengan jelas berikutan pengumuman mengejutkan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menjejaskan ramai pihak terutama para pelajar institut pengajian tinggi (IPT)
Kenyataan yang dikeluarkan pada saat akhir itu menyeru pihak universiti supaya menangguhkan kemasukan dan pendaftaran pelajar pada bulan Oktober walhal, kenyataan tersebut dikeluarkan pada 2 Oktober 2020 pada jam lebih kurang 1.30 petang.
Ketika itu, ramai pelajar telah pun berada di universiti dan ada juga yang sedang dalam perjalanan ke universiti.
Perkara ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia yang mengatakan bahawa pihak KPT sepatutnya membuat kenyataan tersebut sebelum bulan Oktober bermula. Pihak KPT juga tidak menjelaskan dengan terperinci tentang langkah seterusnya yang patut di ambil oleh pihak universiti dan pelajar IPT melainkan memberitahu bahawa sesi pendaftaran dan pembelajaran dibuat secara dalam talian (online).
Rakyat bersatu
Mengenangkan situasi para pelajar yang terkesan dengan pengumuman drastik itu, ramai yang menawarkan pertolongan untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik terutama daripada segi kewangan dan pengangkutan.
Dengan menggunakan tanda pagar (hashtag) #RakyatJagaRakyat dan #SiswaJagaSiswa di laman media sosial seperti Twitter, ramai rakyat dan juga badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Meminta maaf
Melihat rakyat menghamburkan kemarahan kepada pihak KPT yang membuat kenyataan pada saat akhir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, memohon maaf terhadap kesulitan dihadapi pelajar dan keluarga dalam isu berkenaan.
Menurut beliau, cadangan dibuat setelah angka kes COVID-19 naik mendadak sejak beberapa hari lalu yang berada di luar jangkaan pihak KPT.
Beliau juga menegaskan bahawa pelajar yang sudah berada di kawasan kampus, untuk kekal di kampus dan memberitahu bahawa syarikat-syarikat penerbangan juga bersetuju untuk menjadual semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020.
Bukan kali pertama
Namun, situasi ini bukanlah terjadi buat kali pertama. Pada awal tahun ini, ketika negara masih dalam fasa memahami situasi pandemik ini, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pertama yang bermula pada 18 Mac 2020.
Waktu itu, maklumat yang diberikan oleh pihak KPT mengelirukan banyak pihak terutama pelajar IPT yang tidak tahu sama ada mereka boleh pulang ke kediaman masing-masing ataupun tidak dan maklumat yang diberikan juga diubah beberapa kali pada saat akhir.
Walaubagaimanapun, ramai memahami kerana situasi tersebut belum lagi pernah terjadi dalam negara dan untuk memastikan semua pergerakkan lancar dalam tempoh PKP yang baru sahaja dilaksanakan.
Harap lebih bersedia
Akan tetapi, untuk situasi yang serupa terjadi buat kali kedua, memberi gambaran kepada rakyat bahawa pihak KPT tidak bersedia .
Memang tidak dapat dinafikan bahawa tiada siapa dapat menjangka kes pandemik COVID-19 di negara akan meningkat dengan drastik namun, ini tidak bermakna pengumuman penting seperti ini patut dilakukan pada saat-saat akhir.
Tidak semua bernasib baik terutama daripada segi kewangan dan kemudahan untuk bertindak dalam situasi mengejutkan ini. Diharapkan situasi yang telah berlaku dua kali ini, tidak akan berulang lagi dan pihak KPT dapat lebih bersedia pada masa akan datang.