Dengan keadaan semasa yang semakin meruncingkan seluruh dunia dengan kemunculan virus COVID-19 ini, beberapa industri perlu menghentikan operasi mereka. Namun, penularan virus ini tidak dapat menghalang orang ramai dari menggunakan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 untuk mengenalpasti, memantau, meramal dan mendiagnosis sesuatu penyakit termasuk COVID-19.
Pelbagai inisiatif diambil oleh pelbagai pihak bagi mencari cara untuk melawan virus COVID-19 yang kini telah meragut nyawa orang ramai seluruh dunia. Kini terdapat lebih daripada 350,000 kes coronavirus disahkan di seluruh dunia.
Melalui perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0), orang ramai mengharapkan ia bukan sahaja menjadi pendorong kepada sektor teknologi sahaja tetapi juga membantu dalam menangani isu yang sedang dihadapi ini iaitu untuk melawan COVID-19.
Korea Selatan lawan Covid-19 dengan teknologi Industri 4.0
Korea Selatan beberapa minggu lalu mencatatkan jumlah pesakit COVID-19 yang naik mendadak. Mereka segera bertindak bagi mengatasi masalah ini dan berjaya melawan COVID-19 ini dengan teknologi negara mereka.
Korea Selatan bertindak mengawal keadaan COVID-19 di sana dengan menggunakan analisis Data Raya (Big Data), sistem amaran awal Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence/ AI), dan metodologi pemerhatian yang intensif.
Sebagai contoh, apabila seorang pesakit disahkan positif COVID-19, sistem AI akan menghantar maklumat penuh tentang pesakit tersebut kepada mereka yang tinggal berdekatan termasuklah maklumat perjalanan, peta laluan yang digunakan, dan lokasi aktiviti sepanjang dua minggu sebelumnya. Hal ini penting untuk orang ramai yang mungkin mempunyai kontak rapat dengan pesakit tersebut untuk melakukan kuarantin atau segera mendapatkan bantuan perubatan.
Secara tidak langsung, tindakan ini dapat memutuskan rangkaian jangkitan dengan lebih cepat, serta memberikan rawatan kepada mereka yang memerlukan sebelum keadaan kesihatan bertambah teruk sekali gus mengurangkan risiko kematian.
China semakin sembuh, Big Data memainkan peranan
Big Data tidak mampu mempengaruhi keputusan orang ramai, tetapi penggunaannya mampu memberikan maklumat yang tepat dan pantas. Justeru, Big Data mempunyai peranan penting dalam membantu pihak berkuasa membuat keputusan dengan lebih efektik dalam masa yang singkat.
Inilah cara yang digunakan oleh negara China ketika virus COVID-19 meragut nyawa demi nyawa. Data dikumpul dari semua platform supaya ia boleh disebarkan kepada orang ramai dengan mudah.
Contohnya, jika ada seseorang pulang dari kawasan yang dijangkiti COVID-19, sistem akan terus merekodkan sejarah perjalanan dan suhu badan individu tersebut supaya mereka yang tinggal berdekatan akan sedar tentang keadaan semasa dan segera mengambil langkah berjaga-jaga.
Mampukah Malaysia mengikut jejak langkah China dan Korea Selatan?
Perkembangan teknologi di Malaysia seperti yang diketahui umum tidaklah sepantas dan sehebat di China dan Korea Selatan, tetapi tidak bermakna tiada usaha yang boleh dilakukan untuk negara melangkah lebih jauh ke hadapan.
Sebuah portal diberi nama ‘outbreak’ dibina bagi membantu orang ramai memantau situasi terkini dan kawasan yang terjejas dengan COVID-19 supaya mereka yang tinggal di kawasan tersebut boleh mengambil langkah berjaga-jaga yang lebih efektif. Di sinilah, peranan orang ramai diambil kira dalam usaha untuk mengekang wabak COVID-19 daripada terus menular.
Selain teknologi, sikap orang ramai juga memainkan peranan
Saintis seluruh dunia sedang dalam usaha untuk menggunakan segala kemungkinan yang ada untuk melawan virus ini. Beberapa firma bio-teknologi telah mencipta ubat yang mensasarkan penyakit COVID-19, namun penghasilan ubat secara tradisinya telah terbukti sebagai proses yang agak perlahan berdasarkan percubaan dan kesilapan. Ujian klinikal juga perlu diambil dan sering kali mengambil masa berbulan-bulan.
Oleh itu, orang ramai juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka daripada membiarkan virus ini daripada terus menular. Teknologi mungkin boleh membantu, tetapi jika orang ramai terus mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri, sistem sehebat AI dan Big Data juga tidak akan mampu mengubati wabak COVID-19 yang telah menyakiti seluruh dunia.