Penjarakan sosial: senjata melawan COVID-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu supaya rakyat Malaysia duduk di rumah dan mematuhi perintah kawalan pergerakan yang telah dikuatkuasakan. Tetapi sayangnya, masih ada yang ingkar dan tidak mengamalkan penjarakan sosial dengan betul.

Penjarakan sosial (social distancing) ialah tindakan menjarakkan diri sesama individu sekurang-kurangnya enam kaki dan daripada kumpulan orang ramai, serta mengelakkan diri daripada perhimpunan besar-besaran – suatu langkah pencegahan wabak COVID-19 yang disarankan oleh World Health Organization (WHO), di samping mempraktikkan kuarantin dan pengasingan diri.

COVID-19 merebak melalui titisan cecair, oleh sebab itulah orang ramai dinasihatkan menjarakkan diri antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan. Tetapi mengenali rakyat Malaysia yang sukakan aktiviti berkumpul beramai-ramai, mampukah penjarakan sosial membantu membendung penularan pandemik COVID-19 ini?

Perintah kawalan pergerakan – usaha kerajaan untuk penjarakan sosial

Penjarakan sosial bukan hanya merangkumi tindakan menjarakkan diri dengan orang lain, tetapi juga dengan membatalkan majlis keramaian, menutup sekolah-sekolah dan mana-mana pusat pembelajaran, bekerja dari rumah, dan mengurangkan akvititi di luar rumah. Maka kerajaan Malaysia telah pun menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 sebagai usaha untuk memastikan masyarakat mematuhi syarat-syarat penjarakan sosial.

Sayangnya, masih ada antara rakyat yang ingkar dengan perintah ini dan tegar melakukan aktiviti-aktiviti yang menuntut orang ramai berkumpul di sesuatu tempat.

Sikap rakyat Malaysia yang suka meramaikan sesuatu majlis

Ia bukan lagi suatu perkara yang mengejutkan bahawa rakyat Malaysia sangat mencintai makanan. Di setiap majlis yang diadakan, sama ada kenduri perkahwinan, rumah terbuka di musim perayaan, dan majlis ringkas antara keluarga, pelbagai jenis makanan pasti disediakan.

Belum lagi dibahaskan tentang pasar malam di setiap ceruk negeri, bazaar Ramadan, dan gerai-gerai di jalanan. Pendek kata, di mana ada makanan, di situlah ramai orang berkumpul, seterusnya menambahkan risiko penyebaran virus sesuatu penyakit.

Yang terbaru dan paling banyak mengundang kemarahan orang ramai ialah ijtimak tabligh di Majlis Sri Petaling, Kuala Lumpur yang berlangsung dari 27 Februari sehingga 1 Mac dan dihadiri 16,000 peserta. Ini kerana peserta yang menyertai tabligh berkenaan telah terdedah kepada wabak COVID-19 dan menyebarkannya kepada ramai lagi yang lain, menjadikan kes meningkat secara mendadak sehingga melebihi angka 700 (setakat 19 Mac 2020).

Mengamalkan sikap ‘tidak kisah’

Satu lagi sebab mengapa perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sukar untuk dipatuhi sepenuhnya ialah sikap ‘tidak kisah’ yang diamalkan sesetengah masyarakat. Mentaliti yang dipegang bahawa wabak COVID-19 tidak seteruk yang digembar-gemburkan dan kepercayaan bahawa mereka tidak akan dijangkiti menambahkan kesukaran untuk membendung pandemik ini.

Di samping itu, terdapat juga majikan organisasi yang angkuh tidak membenarkan para pekerja bekerja dari rumah, sekali gus meletakkan keselamatan para pekerja dalam risiko yang tinggi. Begitu juga dengan mereka yang membuat rancangan untuk pulang ke kampung, kerana mereka yakin mereka bebas virus walaupun telah terbukti bahawa individu yang lebih berusia lebih mudah dijangkiti dan berisiko untuk dibawa maut.

Bagi sesetengah Muslim pula, masih ada yang percaya bahawa solat berjemaah di masjid tidak seharusnya dihalang kerana ibadah dan doa adalah cara yang paling tepat untuk mengakhiri COVID-19. Mereka lupa ajaran Islam bahawa Allah SWT tidak akan membantu mereka sekiranya mereka tidak berusaha untuk membantu diri mereka sendiri.

Jangan hanya tahu menyalahkan, sebaliknya bersatu membendung COVID-19

COVID-19 berasal dari Wuhan, China yang telah meragut lebih 3,000 nyawa, tetapi China juga antara negara yang mencatatkan penurunan kes dan kadar kesembuhan yang tinggi dalam jangka masa yang singkat.

Pada awalnya, penduduk dunia antara yang lantang menyalahkan China, tetapi kini mereka juga perlu mencontohi rakyat China yang patuh dengan arahan kerajaan dalam usaha membasmi COVID-19.

Justeru, rakyat Malaysia perlu berhenti menuding jari, sebaliknya bersatu untuk mematahkan kitaran penularan wabak COVID-19 ini. Patuhi arahan, jaga kebersihan, dan jarakkan diri daripada orang lain untuk kebaikan mereka dan juga diri sendiri.

Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi penjarakan sosial adalah antara senjata yang paling ampuh untuk melawan COVID-19.

Want More Story From Us?