Baru-baru ini, negara digemparkan dengan berita seorang pelajar Malaysia mendapat tajaan biasiswa daripada NASA (National Aeronautics and Space Administration). Namun apabila terbukti berita itu tidak benar, ia membuka mata rakyat Malaysia bahawa Internet adalah tempat berlakunya banyak penipuan.
Kisah ‘biasiswa NASA’ bermula setelah Muhammad Azhar Ali berkongsi beberapa tangkapan layar di laman Twitternya dengan menyatakan perasaan tidak percaya bahawa dia berjaya mengalahkan lebih dari 3 juta peserta dalam “Cabaran Nasa Artemis 2020”.
Dengan skor 96.77%, Azhar Ali mendakwa dia menerima e-mel dari seorang pegawai tinggi dari NASA, yang menawarkannya biasiswa menerusi gabungan dengan Universiti Nasional Singapura (NUS). Namun setelah Azhar menerima banyak pujian dan ucapan tahniah, termasuk lah dari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, ‘penipuan’ biasiswa itu akhirnya terbongkar.
Kisah Azhar Ali bukanlah penipuan pertama di Malaysia
Pada zaman teknologi masa kini, maklumat, sama ada sahih atau tidak, mudah tersebar hanya dengan menekan butang ‘kongsi’. Apabila sesuatu maklumat sudah diterima oleh orang ramai, mereka cenderung untuk percaya walaupun tanpa bukti yang kukuh.
Jualan murah di mana-mana platform pembelian dalam talian, menang hadiah, dan peminjaman wang adalah antara penipuan yang biasa dilaporkan berlaku di Internet. Malah di Malaysia, cerita-cerita penipuan ‘luar biasa’ sudah banyak kali menarik perhatian masyarakat sehinggakan ia menjadi bahan bualan yang berlanjutan selama bertahun-tahun lamanya.
‘Tuan Muda Pahang’ melawat PLKN
Satu kes penipuan pernah melibatkan institusi beraja di mana seorang pelajar pintar menyamar sebagai “Tuan Muda”. Dia mengaku sebagai anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Remaja itu juga menghantar surat rasmi palsu atas nama Tengku Puan Pahang ke Kem PLKN Cahaya Gemilang memaklumkan beliau akan mengadakan lawatan ke kem berkenaan. Ekoran itu, Ketua Pengarah JLKN sendiri datang ke Pahang untuk mengiringinya yang memakai baju PLKN dengan tertera nama “Tuan Muda”.
Lebih hebat lagi, dia juga menjalankan satu acara pengurniaan pingat kepada peserta-peserta PLKN. Apabila penipuannya terbongkar, pelajar itu kemudiannya diminta untuk membuat permohonan maaf, berbuat akujanji, dan mendapatkan rawatan kaunseling.
Curi 1 sen sampai jadi jutawan
Peribahasa “sikit-sikit lama jadi bukit” boleh dikatakan benar jika melihat kepada kisah seorang lelaki yang bekerja di sebuah bank bernama Aman Shah Ahmad. Dia belajar selok belok perbankan menggunakan komputer dan menggunakannya untuk melakukan kecurian dengan memindahkan satu sen dari setiap akaun pelanggan ke akaunnya sendiri dan semuanya dilakukan dengan mereka satu program palsu tanpa diketahui oleh pihak Bank Negara sendiri.
Mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta mewah, Aman Shah menggunakan duit yang dicurinya untuk membeli 6 buah kereta mewah import sehingga mendapat perhatian media untuk ditemu bual. Bekas majikannya yang melihat rancangan tersebut terkejut dengan kemewahan yang dimiliki pekerjanya itu yang bergaji hanya RM1,800.
Majikannya mengarahkan jabatan audit untuk memeriksa segala transaksi di bawah nama pekerja tersebut dan mendapati yang dia memang mencuri wang sebanyak RM4.1 juta daripada akaun-akaun pelanggan.
Gadis dakwa ‘diculik’ rupa-rupanya lari ikut teman lelaki
Awal tahun 2012, seorang gadis berusia 15 tahun menghubungi ibu bapanya untuk memaklumkan bahawa dia diculik oleh dua lelaki dan seorang wanita ketika keluar membeli kad prayabar. Namun hasil siasatan polis mendapati bahawa dia sebenarnya melarikan diri dari rumah untuk tinggal bersama teman lelakinya yang berusia 26 tahun kerana tekanan perasaan.
Ketika berita penculikan itu mula tersebar, rakyat yang prihatin turut sama bersimpati dan mengirim doa untuknya dan keluarga. Tetapi setelah pihak polis mengesahkan bahawa ia cuma satu penipuan, gadis itu mengundang amarah dari pelbagai pihak.
Kisah-kisah ini bukan sahaja menjadi pengajaran kepada mereka yang menipu, kerana sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Tetapi orang ramai juga harus mengambil iktibar untuk tidak sewenang-wenangnya percaya dengan setiap apa yang dipersembah di Internet.
Apabila tertipu, bukan cuma masa dan tenaga yang dibazirkan, tetapi mungkin juga wang ringgit yang tidak akan dapat diperoleh semula.