Penipuan Macau (Macau Scam): Menipu demi berbilion ringgit

Sejak diketahui umum bahawa suspek disebalik penipuan Macau atau Macau scam telah diberkas oleh pihak berkuasa, semakin ramai yang mengambil perhatian terhadap kes ini.

Ditambah pula dengan penularan sebuah video di media sosial yang menunjukkan pasangan suspek utama mengadakan parti mewah di sebuah kelab, mereka juga didakwa mengetuai aktiviti ‘mencuci’ wang yang membabitkan beberapa selebriti dan ahli perniagaan.

Penipuan Macau ini bukanlah perkara baharu di negara, malah sindiket ini telah lama bergiat aktif sehingga mengakibatkan ramai mangsanya mengalami kerugian yang besar.

Mangsa yang terkena

Sindiket penipuan telekomunikasi ini berasal dari China dan Taiwan dimana pelaku menggunakan talian tempatan dan antarabangsa, terutamanya dari Hong Kong dan kini telah tersebar seluruh Asia termasuk Malaysia.

Penipuan Macau ini telah berjaya mencuri berbilion ringgit setiap tahun daripada beribu rakyat Malaysia yang mudah terpedaya dengan penipu (scammers), tidak kira umur dan pangkat kerana mereka juga telah menganiaya orang muda termasuk golongan profesional seperti guru, peguam, pegawai bank dan doktor.

Antara mangsa penipuan Macau ini ialah seorang pengurus agensi perbankan berumur 50 tahun, yang telah mengalami kerugian hampir RM2 juta dan juga seorang guru berumur 49 tahun yang mengalami kerugian lebih RM1.1 juta.

Kedua-dua mangsa tersebut terpedaya apabila ahli penipuan Macau menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes langgar lari dan jenayah pengubahan wang haram.

Kelicikan ahli penipuan Macau dengan menipu mangsa-mangsa tersebut telah mengakibatkan mereka untuk memindahkan wang simpanan mereka dan membuat pinjaman peribadi untuk dimasukkan ke dalam akaun yang diberi oleh suspek, kononnya bagi tujuan siasatan.

Modus operandi penipuan Macau

Taktik yang digunakan oleh penipu Macau terhadap mangsa adalah spoofing. Taktik itu menggunakan platform Voice Over Internet Protocol (VoIP) yang mana ahli penipuan Macau boleh meletakkan sebarang nombor telefon dan memperdaya mangsa bahawa nombor telefon tertera di skrin mereka adalah dari jabatan rasmi.

Taktik spoofing ini kebiasaannya digunakan apabila ahli penipuan Macau menyamar sebagai polis, agensi kerajaan, atau pegawai bank.

Penipuan Macau ini juga menggunakan modus operandi lain seperti cabutan bertuah (lucky draw) dan tipu culik untuk meminta wang tebusan. 

Punca terpedaya dengan penipuan telekomunikasi

Menerusi Harian Metro, Pakar Kriminologi dan Psikologi, Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan mangsa penipuan Macau tidak menyedari mereka diperdaya.

Antaranya adalah kerana kewibawaan dan kesahihan yang ditunjukkan oleh penipu dengan menggunakan aspek tindak balas viseral yang membuatkan mangsa bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu seperti pemerasan, tekanan, keserakahan, kelalaian, kenaifan, dan paksaan.

Cara seperti ini akan menimbulkan rasa was-was, panik, dan keinginan terhadap mangsa untuk membela diri atau mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang, ditambah pula penipu menyamar sebagai pegawai yang mempunyai autoriti.

Lindungi diri daripada panggilan palsu

Untuk tidak terkena jeratan sindiket ini, eloklah mengambil langkah berjaga-jaga. Antaranya:

  1. Jangan panik apabila mendapat panggilan yang musykil.
  2. Jangan ikut arahan pemanggil tanpa menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terlebuh dahulu.
  3. Jangan hubungi semula nombor telefon pemanggil. Sebaliknya, dapatkan nombor telefon instusi atau syarikat yang sah untuk pengesahan.
  4. Jangan sesekali dedahan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit  kepada orang yang tidak dikenali tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu dari polis or institusi tersebut.
  5. Jangan terpedaya dengan tipu helah dalang pemanggil palsu.
  6. Belajar tentang penipuan telekomunikasi seperti di portal Bank Negara Malaysia untuk memahami dengan lebih lanjut tentang sindiket ini.

Penipuan Macau ini bukanlah satu-satunya penipuan panggilan yang ada malah, kegiatan sebegini telah berleluasa di seluruh dunia dan matlamat mereka adalah sama, iaitu untuk mendapatkan wang dengan cara mudah melalui penipuan.

Oleh itu, amatlah penting untuk semua berhati-hati dalam memberi maklumat peribadi terutama di era penuh teknologi ini, agar tidak menjadi mangsa seterusnya dalam mana-mana sindiket penipuan kini.

Want More Story From Us?