Pandemik pembelian panik

Farmasi dan kedai serbaneka sudah banyak kehabisan stok barangan, terutama sekali topeng muka dan pembersih tangan kerana pembelian panik. Dalam usaha melawan wabak COVID-19, adakah ini jalan penyelesaiannya?

Sejak beberapa kes COVID-19 pertama dilaporkan media, sebahagian rakyat Malaysia sepakat ‘menyerbu’ farmasi-farmasi dan kedai-kedai serbaneka untuk membeli topeng bedah (surgical mask) dan pembersih tangan (hand sanitizer). Dalam masa beberapa minggu sahaja, rak-rak di kedai-kedai ini mula kosong dan kehabisan stok.

Inilah yang dinamakan fenomena pembelian panik – di mana orang ramai membuat keputusan untuk mengumpul stok barang-barang keperluan dalam masa yang sama kerana bimbang akan bencana yang bakal menimpa.

Liputan meluas tentang COVID-19 menakutkan orang ramai

Punca utama berlaku pembelian panik ialah liputan jangkitan wabak COVID-19 yang meluas di seluruh dunia. Tidak salah media memainkan peranan untuk melaporkan berita sahih tentang situasi terkini wabak COVID-19, tetapi apabila terlalu banyak berita yang dibaca dalam satu hari, ia boleh mewujudkan perasaan takut dalam diri orang ramai.

Lebih-lebih lagi bagi yang banyak menghabiskan masa di media sosial, ditambah pula dengan berita-berita palsu yang turut sama tersebar, persepsi realiti mereka akan mudah dipengaruhi, sekali gus mencipta gambaran yang jauh lebih buruk dalam fikiran berbanding situasi sebenar.

Setiap kali berita terkini tentang COVID-19 terpampang di mana-mana media, ia diibaratkan seperti peringatan bahawa mereka juga boleh dijangkiti bila-bila masa.

 Percaya bahawa pembelian panik boleh mengawal keadaan

Apabila orang ramai mula cemas dengan situasi yang semakin memburuk, mereka akan mengambil jalan pintas untuk mencari jalan penyelesaian, iaitu dengan membeli apa sahaja barangan yang mungkin diperlukan apabila bencana yang ditakuti benar-benar terjadi. Hal ini kerana mengumpul stok barangan keperluan memberi mereka jaminan bahawa semuanya masih berada dalam kawalan.

Di samping itu, ada juga sesetengah orang yang mula membeli barang dengan panik kerana terpengaruh dengan tindakan orang lain. Oleh sebab tidak mahu ketinggalan dan bimbang sekiranya barangan kehabisan stok ketika mereka benar-benar memerlukannya nanti, mereka terus memutuskan untuk mengosongkan rak-rak di kedai-kedai.

Ketidakpastian akan kemungkinan yang boleh berlaku dan keraguan sama ada mereka dapat bertahan jika COVID-19 memaksa penduduk dunia diperintah berkurung menambahkan lagi panik. Oleh itu, topeng bedah dan pembersih tangan dianggap sebagai penyelesaian masalah.

Kekurangan barang, harga mencanak naik

Terdapat dua kesan pembelian panik yang ketara. Yang pertama, akan berlakunya kekurangan bekalan barangan, contohnya tisu tandas, makanan dalam tin, serta bahan-bahan mentah, sehingga boleh mengganggu kelancaran hidup orang lain.

Manakala yang kedua, harga barangan yang dijual akan mencanak naik kerana permintaan yang tinggi. Mereka yang tidak bertanggungjawab sentiasa menanti peluang untuk bertindak, justeru dengan bermulanya pembelian panik, mereka inilah yang mengaut untung ketika orang ramai terus berada dalam situasi cemas mencari jalan keluar daripada pandemik COVID-19 ini.

Amalkan etika batuk dan menjaga kebersihan dengan betul sudah cukup

Apabila pembelian panik berlaku, manusia cenderung untuk mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri. Keperluan orang lain tidak lagi dipedulikan, asalkan mereka dapat ‘menyelamatkan diri’ daripada wabak COVID-19.

Tanpa mereka sendiri sedar, tindakan sebegini semakin memburukkan keadaan kerana mereka ini lebih menekankan strategi pembelian barangan keperluan dan bukannya teknik pencegahan sebenar yang hanya semudah mencuci tangan.

Want More Story From Us?