Ramai wanita muda dalam komuniti hari ini terlampau ghairah dalam mengejar kecantikan, kerana di mata masyarakat, berkulit gelap bermaksud ‘hodoh’.
‘Kecantikan tidak dinilai berdasarkan warna kulit’, ‘kecantikan dalaman lebih penting berbanding luaran’, ‘beauty lies in the eye of the beholder’ – itulah antara kata-kata yang sering dilontarkan kepada para wanita yang mengejar kecantikan supaya mereka belajar menanam keyakinan ini serta menerima diri mereka seadanya.
Tiada salahnya semua kata-kata ini, tetapi jika berpijak di bumi nyata, hakikat yang pahit untuk ditelan ialah ke mana-mana sahaja wanita-wanita ini pergi, wajah yang menawan tetap juga mendapat keutamaan dan layanan terbaik daripada masyarakat sekeliling.
Cara mereka mendefinisikan seorang wanita cantik ialah: yang berkulit putih (cerah).
Obsesi kulit cerah (fair-skinned obsession) sangat tebal dalam komuniti Melayu di Malaysia, dan ia sebenarnya merebak jauh sehingga ke seluruh Asia.
Yang cerah dianggap cantik, yang gelap dipandang buruk
Gadis-gadis Melayu, atau lebih tepat lagi semua gadis di Asia, dibesarkan dengan stereotaip yang ditetapkan piawaian sosial (social standard) bahawa mereka yang berkulit cerah jauh lebih cantik berbanding mereka yang berkulit gelap.
Mentaliti sebegini ternyata sudah terlalu lama tertanam dalam tradisi kaum Melayu. Masakan tidak, ia sudah pun berlaku di peringkat hidup yang terawal iaitu ketika seseorang individu masih berada dalam kandungan. Para wanita hamil disogok dengan petua untuk minum air soya supaya anak yang dikandung dilahirkan dengan kulit cerah dan membesar menjadi cantik.
Malah, sebaik sahaja seorang bayi dilahirkan, saudara-mara sudah mula membanding-bandingkan warna kulit bayi tersebut dengan ahli keluarga yang lain.
Lebih menguatkan lagi kepercayaan ini, satu laporan yang dibuat mendapati tiga suku daripada kaum lelaki di Malaysia berpendapat bahawa pasangan mereka akan nampak lebih menarik jika mereka mempunyai kulit yang lebih cerah, atau piawaian kecantikan yang dipanggil ‘Eurasian’ atau ‘Pan-Asian’.
Ia sebenarnya suatu obsesi budaya (cultural obsession)
Akar umbi diskriminasi warna kulit berasal dari tinggalan sejarah China, India, dan Jepun, di mana perempuan berkulit cerah selalunya tergolong dalam mereka yang datang dari kekayaan dan kemuliaan. Manakala perempuan berkulit gelap dianggap sebagai hamba yang bekerja di bawah pancaran matahari.
Sebagaimana kisah-kisah dongeng dari Barat mengetengahkan wanita berkulit putih dan gebu sebagai puteri kesayangan ramai seperti Snow White, budaya Asia juga menyamakan golongan ini dengan kecantikan feminin, kelebihan sesuatu kaum dalam masyarakat umum, dan juga kuasa. Mereka punya status, pendapatan hidup, dan prospek perkahwinan yang lebih tinggi.
Oleh sebab dibesarkan dalam komuniti yang teguh memegang definisi ‘cantik’ mengikut warna kulit inilah, ramai wanita bergelut dengan ‘desakan sosial’ untuk mengubah warna kulit mereka, sehinggakan ada yang sanggup mengambil risiko membahayakan kesihatan.
Ghairah dalam memutihkan kulit
Pelunturan (bleaching), suntikan (injection), dan pengelupasan bahan kimia (chemical peel) ialah antara teknik yang dilakukan untuk mendapatkan kulit yang lebih cerah. Krim yang mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri juga terkadang tidak terkawal. Dalam masyarakat kaum Melayu hari ini, whitening drip atau suntikan vitamin C lebih menjadi pilihan mereka.
Lumrah manusia yang sukakan kecantikan sanggup mengenepikan risiko yang mungkin ada asalkan kulit yang gelap dapat dicerahkan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak meluluskan mana-mana produk pengelupasan kulit (skin peeling) atau cecair vitamin C untuk dijual, malah mengharamkan mana-mana doktor atau jururawat berlesen untuk memberi suntikan ini kepada mana-mana pelanggan. Namun itu tidak menghalang mereka yang terlalu dahagakan ‘kecantikan’ untuk tetap melakukannya secara tidak sah.
Tiba masanya persepsi terpesong ini diubah
Obsesi kulit cerah amatlah tidak sihat, tetapi usaha membanteras perlu juga mengambil kira faktor-faktor yang menyumbang kepada obsesis tersebut. Tiba masanya ‘cantik’ tidak didefinisikan berdasarkan warna kulit, sebaliknya perlu memupuk perasaan cintakan diri sendiri (self-love) dalam diri anak-anak muda supaya mereka tidak terjerumus ke jalan pintas melalui mereka yang hanya ingin mengaut keuntungan.
Pertandingan Miss Universe 2019 baru-baru menyaksikan seorang wanita dari Afrika Selatan Zozibini Tunzi memenangi mahkota ratu cantik, sekali gus kemenangan itu diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat tentang erti sebenar kecantikan yang tidak datang dari warna kulit.
Kulit hitam atau gelap tidak bermaksud hodoh.
“Saya dibesarkan di dunia di mana wanita yang berwajah seperti saya, dengan warna kulit dan rambut sebegini, tidak pernah dianggap cantik. Hari ini, tiba masanya ia berubah.” – Zozibini Tunzi, Miss Universe 2019