Dalam kala kebanyakan industri berada di ambang kejatuhan, industri penghantaran atau kurier adalah antara yang penting dan menjadi permintaan ramai dalam pandemik Covid-19 ini.
Namun, penularan satu video beberapa hari lalu, yang mempamerkan sikap pekerja sebuah syarikat kurier di negara telah membangkitkan kebimbangan orang ramai, terutama pada mereka yang menggunakan kurier tersebut.
Namun, tidak lama sejak penularan video tersebut, pihak syarikat itu telah tampil untuk memohon maaf dan mendedahkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan pegawai jabatan.
Protes penghantar surat
Walaubagaimanapun, tindakan para pekerja mereka yang mogok dengan melemparkan barang milik pelanggan bukanlah satu mogok yang ‘bijaksana’. Perbuatan tersebut boleh diibaratkan salahkan nyamuk, kelambu yang dibakarnya.
Malah, mogok berkaitan syarikat penghantaran atau kurier ini bukanlah tidak pernah terjadi di dunia. Pada tahun 1970, Amerika Syarikat (AS) mengalami satu peristiwa yang mana para pekerja penghantar surat mengadakan mogok sehingga menyebabkan negara tersebut mengumumkan darurat.
Perbezaan peratusan kenaikan gaji
Pada ketika itu, beberapa para pekerja pos AS merasakan gaji yang diberi adalah teramat rendah, dengan suasana tempat kerja yang tidak kondusif dan tidak lengkap. Presiden American Postal Worker Union (APWU) Moe Biller, menyifatkan keadaan pejabat pos Manhattan, New York sebagai ‘penjara’, kotor, terlalu panas untuk musim panas dan terlalu sejuk untuk musim sejuk.
Mengambil kira perkara-perkara tersebut, persatuan pos telah mencuba untuk berunding dengan Kongress bagi mendapatkan gaji yang lebih tinggi dan keadaan tempat kerja yang lebih baik namun, usaha tersebut adalah sia-sia.
Namun, pada awal 1970an, diumumkan Kongress menerima kenaikan gaji sebanyak 41 peratus manakala pekerja pos pula hanya menerima 5.4 peratus kenaikan gaji, menyebabkan bermulanya peristiwa mogok pekerja pos AS.
Bantahan terbesar
Para penghantar surat New York yang tidak berpuas hati dengan perkara tersebut, telah menyatakan hasrat mereka untuk melakukan protes kepada persatuan National Association of Letter Carriers pada 17 Mac 1970 tetapi ditolak kerana menurut pemimpin persatuan itu,adalah salah disisi undang-undang untuk para pekerja perseketuan mengadakan protes.
Namun, Vincent Sombrotto merangkap ketua kumpulan pekerja pro-protes, menentang keputusan persatuan itu dan memutuskan untuk tidak bekerja pada keesokan harinya. Meskipun kumpulan yang diketuai Sombrotto tidak mendapat sebarang sokongan rasmi namun, mereka tetap menerima sokongan daripada para penghantar surat di kawasan-kawasan lain.
Seramai 210 000 pekerja Jabatan Pejabat Pos Amerika Syarikat menyertai protes tersebut dan ianya merupakan bantahan terbesar yang dibuat oleh pekerja-pekerja perseketuan sehingga mendatangkan kesusahan yang besar kepada negara.
Pada ketika itu, dikatakan penghantar surat menghantar sebanyak 270 juta surat sehari dan dengan keadaan para pekerjanya yang mogok, dokumen penting untuk kerajaan, kewangan dan lain-lain industri tidak diproses dan kekal tidak bersentuh di jabatan pos.
Darurat diumumkan
Melihat situasi sistem pos Amerika Syarikat yang semakin melumpuh dan menyebabkan kejatuhan pasaran saham, Presiden Nixon mula mengambil tindakan dengan mengumumkan darurat dan menyeru sebanyak 24 ribu tentera untuk menghantar surat-surat yang tergendala itu.
Protes itu berjalan selama lapan hari dan akhirnya ditamatkan apabila pihak kerajaan persekutuan memberi jaminan bahawa kenaikan gaji yang lebih memuaskan akan diberi. Tiada seorang pun pekerja diberhentikan setelah protes itu tamat dan Presiden Nixon terus mengadakan berbincang dengan para pemimpin persatuan pos.
Menjadi pertubuhan bebas
Kesan daripada protes tersebut, Jabatan Pejabat Pos AS telah menjadi sebuah pertubuhan bebas dari badan eksekutif dengan nama U.S Postal Service. Empat persatuan utama (National Association of Letter Carriers, American Postal Workers Union, National Postal Mail Handlers Union, National Rural Letter Carriers Association) telah menerima hak sepenuhnya untuk berunding mengenai gaji, faedah dan keadaan kerja namun, mereka masih tidak dibenarkan untuk berprotes.
Melihat pada apa yang telah terjadi pada AS dulu, memberi gambaran bahawa pekerjaan penghantaran ini adalah penting, bukan sahaja untuk rakyatnya tetapi untuk keamanan dan kestabilan negara juga.
Tindakan pekerja yang melemparkan barang pelangan sebagai tanda protes itu mungkin tidak patut dilakukan namun, diharapkan pihak kerajaan dapat ambil peduli sebab mereka melakukan protes sebegitu, sebelum tercetusnya perkara yang serupa berlaku di AS dulu.