Kanak-kanak sepatutnya dilindungi daripada anasir-anasir jahat di rumah, tetapi tetap ada segelintir yang dikhianati oleh ibu-bapa sendiri.
Penderaan terhadap kanak-kanak bukanlah satu perkara yang asing di Malaysia. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap tahun sekurang-kurangnya 2000 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan.
Terdapat juga kes di mana penderaan akhirnya menjadi kes pembunuhan. Ini menunjukkan betapa zalimnya sesetengah ibu bapa, penjaga atau pengasuh yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab untuk menjadi pelindung bagi kanak-kanak ini.
Walaupun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil beberapa inisiatif untuk cuba membendung masalah ini, perkara begini bukan mudah untuk ditangani oleh sebab kebanyakan kes biasanya berlaku di sebalik pintu yang tertutup rapat.
Punca utama kanak-kanak didera
Jika dikaji dengan lebih mendalam, terdapat banyak faktor yang mendorong ibu bapa untuk melakukan kekejam terhadap anak mereka sendiri, sama ada penderaan dari segi fizikal dan juga mental.
Antara salah satu faktornya ialah tekanan dan masalah mengawal emosi. Apabila mereka gagal mengawal tekanan dan masalah emosi tersebut, akhirnya segalanya akan diluahkan dengan cara mendera anak masing-masing.
Antara masalah emosi yang mendorong kepada penderaan ialah apabila ibu-bapa terlalu memikirkan perkara yang pernah berlaku pada masa lampau hingga menjejaskan emosi pada masa kini. Sebagai contoh, ibu-bapa yang mendera anak mereka juga pernah didera sewaktu mereka masih kecil.
Apa yang boleh dilakukan?
Adik-beradik ataupun sesiapa sahaja yang berada di tempat kejadian haruslah berkerjasama dalam membuat panggilan dalam usaha menyelamatkan dan membantu mereka yang didera. Tambahan pula, mengikut Akta Kanak-kanak 2001, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak adalah tiga kumpulan yang dipertanggungjawabkan untuk melaporkan dengan segera jika mengesyaki ada kanak-kanak telah didera.
Jiran-jiran pula mungkin boleh tolong mengawasi dan menjenguk sekali-sekala jika terdengar atau terlihat apa-apa kejadian yang mencurigakan, hal ini kerana mereka merupakan orang luar yang terdekat di sekitar kawasan perumahan.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkatkan risiko
Buat waktu ini, Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi mengurangkan kadar penularan wabak COVID-19. Sejak perintah ini dikuatkuasakan, Talian Kasih yang beroperasi di bawah KPWKM menerima jumlah panggilan yang meningkat berkaitan penderaan kanak-kanak.
Dengan ibu-bapa yang mempunyai sifat mendera dan kanak-kanak yang terpaksa berada di rumah sepanjang PKP ini, sudah tentu ini merupakan masa yang sukar bagi mereka yang didera kerana harus berada dalam kawalan pendera sepanjang hari.
Selain itu, masyarakat juga digemparkan dengan kes di Batu Pahat, Johor, yang berlaku semasa PKP dimana seorang kanak-kanak berusia 4 tahun didera oleh sepasang suami dan isteri yang merupakan penjaga hingga menyebabkan kematian. Ini membuktikan bahawa kes penderaan wujud dan patut diambil perhatian.
Usaha harus dipertingkatkan
Akhir kata, rumah sepatutnya menjadi syurga bagi kanak-kanak kerana mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta dan bukan tempat di mana mereka harus berada dalam ketakutan kerana mempunyai ibu bapa atau pengasuh yang mendera.
Pihak berkuasa haruslah mengambil berat tentang isu ini dengan memberikan perhatian penuh terhadap mereka yang membuat panggilan dan juga mengambil tindakan terhadap mereka yang dilaporkan melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
Masa depan kanak-kanak boleh terjejas akibat penderaan jadi setiap orang haruslah berganding bahu dalam menyelasaikan isu ini agar kanak-kanak di Malaysia hidup dengan aman dan membesar dengan sejahtera.