MH17: 7 Tahun Dalam Kenangan

Malaysia tetap teguh dalam kedudukannya untuk melihat semua bukti berkaitan pesawat MH17 didedahkan kepada awam dan proses kehakiman dijalankan secara adil dan tidak terjejas oleh sebarang tekanan politik demi menegakkan keadilan.

Tahun 2014 sudah semestinya menjadi tahun yang sedih dan tragis buat industri penerbangan Malaysia. Selepas tragedi kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

Genap tujuh tahun

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 yang dijadualkan dalam perjalanan ke Amsterdam daripada Kuala Lumpur berlepas pada jam 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) jam 6.10 pagi.

Namun, pada jam 10.15 malam pihak Malaysia Airlines (MAS) telah menerima pemberitahuan daripada Air Traffic Control (ATC) Ukraine bahawa mereka terputus hubungan dengan pesawat MH17 sebelum bangkai pesawat dijumpai kira – kira 50km dari sempadan Rusia – Ukraine.

Tragedi yang dashyat itu berlaku dua minggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan telah mengorbankan seramai 289 individu yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. Daripada jumlah itu, 43 orang daripadanya adalah warganegara Malaysia.

Antara kisah sedih yang diingati rakyat Malaysia daripada peristiwa ini ialah video yang memaparkan seorang kanak – kanak lelaki bernama Muhriz Marzaidi yang menangis teresak – esak di sisi keranda ibunya. Dia merupakan anak tunggal kepada Mastura Mustafa iaitu salah seorang pramugari MH17.

Masjid tanda ingatan

Pada 2019, lima tahun selepas tragedi MH17, ahli keluarga salah seorang penumpang iaitu Ariza Ghazalee bersepakat untuk membina sebuah masjid menggunakan sebahagian daripada wang pampasan atas kematian Ariza serta anak – anaknya.

Masjid Al Ghazali yang bernilai RM3.5 juta yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya, Kuching kini menjadi tanda ingatan terhadap mangsa MH17. Masjid itu juga dibangunkan dengan menggunakan wang daripada orang awam yang berinfak dan mewakafkan serta terdapat juga sumbangan daripada kerajaan Sarawak.

Masih segar di ingatan

Menerusi laporan The Star, penolong ketua jurugambar, Kamarul Ariffin mengimbau kembali pengalamannya semasa bertugas membuat liputan tragedi MH17. Kamarul berkata pelbagai emosi yang dirasainya ketika itu.

Dia menghabiskan masa dua minggu di bandar Donetsk, merakam pelbagai gambar ngeri pesawat MH17. Bagi Kamarul, tugasnya di Donestsk adalah satu tugas yang amat berat sejak awal lagi.

Kamarul bersama rakan sekerja dari The Star pergi ke lokasi kejadian sebanyak empat kali. Tiap kali menjejakkan kaki di lokasi kejadian, setiap kali itulah perasaan sedih menyelebungi dirinya.

Pernah sekali, ketika dia ingin merakam gambar sepasang kasut kanak – kanak,dia terdengar tangisan seorang gadis kecil. Apabila melihat kawasan sekeliling, dia tidak melihat apa – apa. Kemudian, dia turut memeriksa rakaman video yang diambilnya, namun tiada sebarang tangisan yang didengarinya.

Apa yang lebih menyedihkan ialah, dia melihat barang – barang peribadi seperti pakaian seragam pramugari MAS dan kad hari raya bertebaran di atas tanah.  

Terus komited

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada 17 Julai yang lalu sempena memperingati ulang tahun ketujuh tragedi MH17, ia berkata Malaysia sentiasa komited memberi sokongan penuh untuk membawa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan.

Malaysia turut menuntut semua bukti berkaitan tragedi pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK dipercayai dimiliki Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat tentera Russia yang berpangkalan di Kursk, terletak berhampiran sempadan Ukraine.

Tegasnya, Malaysia yakin dan berharap pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini tidak menjadi penghalang kepada usaha menegakkan keadilan bagi membela mangsa-mangsa tragedi penerbangan MH17.

Menerusi kenyataan itu juga, MOT berharap agar keluarga dan rakan – rakan mangsa mempunyai kekuatan dan ketahanan, sementara mereka kekal komited dalam usaha menegakkan keadilan dan mengingatkan bahawa ingatan dan doa sentiasa bersama mangsa dan orang tersayang.

Want More Story From Us?