Media sosial menghubungkan rakyat ketika COVID-19

Keadaan kes COVID-19 yang kelihatannya meningkat hari demi hari ini memberikan ruang untuk masyarakat menggunakan internet dan media sosial sepenuhnya.

Sudah menjadi sifat manusia yang memerlukan interaksi antara satu sama lain. Jadi, apabila arahan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan, kebanyakan rakyat menggunakan media sosial dan internet sebagai platform mereka untuk berhubung.

Jarak bukan lagi satu masalah

Kehidupan masyarakat kini mudah apabila semuanya ada di hujung jari. Dalam era yang penuh teknologi ini, jarak bukan lagi salah satu masalah untuk mengekalkan hubungan.

Jika sebelum ini rakyat menggunakan aplikasi seperti Whatsapp untuk berkomunikasi melalui mesej, kini orang ramai menggunakan aplikasi tersebut untuk mengadakan panggilan video.

Alam maya menjadi medium kehidupan harian

Terdapat peningkatan dua kali ganda dalam penggunaan panggilan suara dan video di Whatsapp dalam keadaan pandemik ini. Kemungkinan rakyat membuat panggilan video untuk melihat wajah-wajah orang yang mereka rindui demi bertanya khabar dan berbual kosong bagi mengisi masa lapang.

Bukan itu sahaja, institut pengajian juga menggunakan aplikasi panggilan video seperti Zoom dan Skype untuk mengadakan kelas alam maya. Cara ini akan memastikan pelajar-pelajar dapat menimba ilmu walaupun sedang dikuarantin. Aplikasi panggilan video tersebut turut digunakan oleh pekerja-pekerja untuk melakukan perbincangan atau mesyuarat di rumah masing-masing. Dengan ini, kerja-kerja tidak akan tergendala dan masih dapat dijalankan dengan adanya aplikasi tersebut.

Bermain permainan, menonton filem bersama 

Media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook adalah tiga aplikasi popular untuk hiburan rakyat di samping untuk mendapatkan info terkini.

Rakyat menjadi kreatif dalam keadaan pandemik ini apabila mereka telah mengadakan permainan menggunakan algoritma aplikasi tersebut seperti melukis di Story Instagram dan bertanya soalan di Twitter. Permainan tersebut bukan sahaja menghiburkan malah mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.

Imej dari: Getty Images

Tambahan pula, mereka menggunakan aplikasi seperti Netflix Party untuk menonton filem bersama rakan-rakan mereka. Di aplikasi tersebut, mereka dapat menyaksikan filem yang sama pada waktu yang sama di samping memberi pendapat masing-masing melalui kotak perbualan.. Situasi ini membuat mereka seolah-olah berada di panggung wayang dan berseronok dengan rakan-rakan.

Berkongsi resepi, idea

Bagi mengisi waktu terluang sepanjang tempoh PKP ini, rata-rata masyarakat telah berkongsi beberapa resepi mudah di media sosial.

Baru-baru ini, dalgona coffee telah menjadi satu trend hangat di kalangan pengguna media sosial, bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia. Ini kerana resepinya yang mudah dan rupanya yang kelihatan mewah. Masing-masing tidak ingin melepaskan peluang untuk berkongsi dengan orang ramai hasil yang mereka telah lakukan. Ada juga yang berkongsi resepi dalgona milo bagi mereka yang tidak boleh minum kopi.

Tidak lupa juga, ada segelintir rakyat berkongsi idea tentang aktiviti yang boleh dilakukan dalam tempoh kuarantin ini. Cadangan yang diberikan boleh membantu rakyat untuk menghilangkan rasa bosan ketika di rumah.

Walau terpisah, media sosial merapatkan hubungan

Walaupun berada dalam tempoh PKP, ini tidak bermakna tiada interaksi langsung antara satu sama lain. Bahkan hubungan antara manusia ini amat penting untuk kesejahteraan mental.

Dengan adanya media sosial ini, rakyat boleh berhubung dengan sesiapa sahaja yang mereka mahukan, tidak kira waktu, tempat dan jarak. Arahan PKP ini bukanlah untuk meregangkan hubungan antara satu sama lain, sebaliknya inginkan rakyat selamat agar mereka boleh bersemuka kelak.

Want More Story From Us?