Ada juga segelintir masyarakat yang tidak menerima sebarang bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan, majoriti rakyat tidak dibenarkan untuk keluar dan berkerja bagi mengelak risiko dijangkiti wabak COVID-19 yang juga akan membantu dalam mengurangkan kadar kes aktif.
Akan tetapi, mereka yang tidak dapat berkerja sudah tentu menghadapi masa yang sukar untuk meneruskan hidup akibat kekurangan wang dan juga makanan. Bagi membantu rakyat yang sedang dalam kesempitan hidup, kerajaan telah menyalurkan bantuan dalam bentuk barangan dan juga wang.
Ini merupakan langkah yang sangat bagus dalam membantu masyarakat, tetapi mereka yang tinggal di pedalaman dan diluar bandar yang jelas lebih terjejas dengan pelaksanaan (PKP) seperti Orang Asli masih tidak menerima sebarang bantuan walaupun sudah sebulan (PKP) dilaksanakan.
Apa yang dijanjikan?
Sejak PKP dilaksanakan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berganding bahu dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk melaksanakan pengagihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat orang asli tetapi masih ada yang tidak menerima bantuan tersebut.
Setiap bakul yang diagihkan kepada ketua rumah diisikan dengan barangan yang bernilai sebanyak RM100. Selain itu, barangan keperluan lain seperti penutup hidung dan mulut, antiseptik, sabun anti-bakteria, dan susu tepung juga disertakan sekali.
Bantuan Bakul Makanan ini disalurkan sebanyak dua kali mengikut fasa sepanjang pelaksanaan (PKP). Bantuan fasa kedua dilakukan dengan lebih terperinci kerana ramai telah berpindah-randah dan agar tidak ada golongan Orang Asli yang terlepas dari menerima bantuan khas ini.
Ramai yang buta IT
Banyak bantuan daripada kerajaan yang disalurkan dalam bentuk wang melalui dalam talian, termasuklah pendaftaran dan pengesahan. Contoh bantuan yang paling penting sudah pasti merupakan Bantuan Prihatin Nasional di mana kerajaan menyalurkan wang RM500 hingga RM1,600 kepada mereka yang layak menerima.
Ramai Orang Asli menghadapi kesusahan untuk berdaftar bagi menerima (BPN), ini kerana mereka kekurangan dari segi teknologi dan juga pendidikan, atau mungkin tidak tahu akan sebarang maklumat tentang pendaftaran BPN tersebut.
Tambahan pula, kawasan mereka tinggal juga susah untuk mendapat akses internet kerana berada jauh di pedalaman. Mereka yang ingin keluar untuk mencari lokasi yang lengkap dengan rangkaian internet juga terhalang kerana pelaksanaan PKP.
Harus diberi kelonggaran
Suhakam telah mengesyorkan supaya pihak berkuasa mendaftarkan Orang Asli sebagai penerima BPN secara automatik supaya mereka tidak perlu bersusah-payah untuk mendaftar dalam talian. Orang asli juga harus diberi pilihan untuk menerima bantuan secara tunai.
Bagi pembelajaran pula, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama guru dan Jabatan Kemajuan Orang Asli pula disyorkan untuk menyediakan bahan keperluan untuk pembelajaran jarak jauh. Hal ini kerana majoriti pembelajaran murid dan pelajar Orang ASli terjejas dengan teruk akibat wabak ini.
Kerajaan pula harus berusaha sebaik mungkin untuk menyalurkan bantuan seperti Bantuan Bakul Makanan kepada semua ketua rumah agar tidak ada perut yang berlapar sepanjang (PKP) dilaksanakan. Walaupun ini merupakan masa yang susah untuk semua, jika orang awam dan pihak berkuasa bersama dalam menyalurkan bantuan, pasti tidak akan ada golongan yang dipinggirkan.