Mageran – Perlu atau Tidak?

Penubuhan MAGERAN telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Pasti ramai anak – anak muda yang tertanya apakah itu MAGERAN susulan bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan cadangan penubuhannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Namun, bagi generasi golongan yang lebih berusia, ia mengimbau kembali sejarah hitam yang berlaku semasa penubuhan MAGERAN.

Apa itu MAGERAN?

MAGERAN adalah singkatan bagi Majlis Gerakan Negara. Ia dibentuk pada 15 Mei 1969 selepas perisytiharan darurat dan perintah berkurung dikenakan susulan kejadian rusuhan kaum 13 Mei yang tercetus selepas pilihan raya umum pada tahun itu.

Menurut aktivis sosial Chandra Muzaffar melalui temubual bersama FMT berkata, Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman mahu MAGERAN dipengerusikan oleh seseorang yang boleh memberikan perhatian penuh. Oleh itu, beliau melantik Tun Abdul Razak yang merupakan timbalan Perdana Menteri.

Dengan negara yang baharu sahaja mengadakan pilihan raya, maka belum ada Jemaah Menteri yang dilantik. Oleh itu beberapa ahli Jemaah Menteri Tunku sebelum ini dilantik untuk berada dalam MAGERAN.

Ahli – ahli yang menganggotai MAGERAN termasuk Dr Ismail Abdul Rahman, VT Sambanthan, Tan Siew Sin dan Muhammad Ghazali Shafie. Ketua Angkatan Tentera Tengku Osman Jiwa dan Ketua Polis Negara Mohamed Salleh Ismael juga menjadi ahli majlis.

Dr Ismail Abdul Rahman yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri atas faktor kesihatan sebelum pilihan raya, terus bersetuju untuk berkhidmat dalam majlis tersebut apabila ditawarkan oleh Razak.

MAGERAN adalah sama seperti Jemaah Menteri dengan ahli majlis itu bertugas mengikut portfolio mereka.

Fungsi MAGERAN

Pada dasarnya, fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, memastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

MAGERAN juga berperanan dalam menentukan hala tuju sosial dan ekonomi negara dengan menubuhkan badan seperti Majlis Perundingan Negara (NCC) dan Majlis Muhibah.

NCC, yang dipengerusikan oleh Razak, terdiri daripada wakil pelbagai komuniti, parti politik, badan profesional, kesatuan sekerja, kumpulan perniagaan dan lain-lain.

Antara tugas utamanya adalah mengusahakan dasar ekonomi yang bertujuan mengurangkan kemiskinan, mengagihkan semula kekayaan ekonomi dan memberi sokongan kepada golongan Bumiputera.

Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Peristiwa ini juga membawa kepada terciptanya Rukun Negara yang diilhamkan Pengerusi MAGERAN sebagai asas prinsip kenegaraan Malaysia berdasarkan Pancasila di Indonesia.

Perlukah MAGERAN ditubuhkan semula?

Menurut Chandra, ia tidak perlu kerana keadaan sekarang berbeza walaupun terdapat perisytiharan baharu darurat.

“Sebab utama MAGERAN sangat diperlukan ketika itu adalah untuk menangani rusuhan yang tercetus,” katanya. “Kita memerlukan sebuah badan yang boleh menangani situasi keselamatan, keganasan, pembunuhan dan sebagainya.

“Dalam keadaan darurat yang diisytiharkan Januari lalu, ia jelas adalah darurat kesihatan.”

Selain itu katanya, tiada Kabinet yang berfungsi selama rusuhan kerana pilihan raya umum baharu saja selesai. Ini mendesak agar badan pemerintahan khas segera dibentuk pada tahun 1969 itu.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berpendapat bahawa MAGERAN pada 1969 membuahkan hasil kerana ketokohan Tun Abdul Razak serta mempunyai sokongan kuat daripada semua pihak ketika itu.

Mujibu turut menambah sekiranya MAGERAN mahu ditubuhkan semula, maka siapakah pemimpin berjiwa besar seperti Tun Abdul Razak yang sanggup tidak menjadi ‘diktator’ menyalahgunakan kuasa darurat dan melupakan selera mahu berkuasa kerana mahu fokus membetulkan keadaan demi rakyat dan negara? Kalau tiada pemimpin seperti itu, maka cadangan ini patut dilupakan.

Secara keseluruhannya, pendapat beberapa pakar mengatakan pelaksanaan MAGERAN tidak diperlukan buat masa kini apabila tujuan utama ia ditubuhkan pada tahun 1969 adalah kerana tiada Kabinet yang berfungsi.

Walau apa pun, dalam keadaan negara yang masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19 ini, diharapkan ada sinar pada satu hari nanti yang akan memulihkan keadaan negara kini.  

Want More Story From Us?