Khilaf program realiti TV

Ramai yang suka menonton program realiti TV kerana hiburan segera yang disajikan, tetapi senario pada hari ini telah banyak mengubah persepsi masyarakat terhadap rancangan sebegini.

Selain drama-drama rantaian dan filem-filem yang ditayangkan sesekali apabila musim perayaan tiba, siaran TV juga banyak dihidangkan dengan rancangan hiburan realiti.

Rancangan realiti TV didefinisikan sebagai program yang mempersembah situasi dramatik atau lawak jenaka yang tidak berskrip. Ia berdasarkan babak sebenar di dunia nyata dengan menampilkan orang biasanya dan bukannya pelakon professional.

Program-program sebegini biasanya mendapat jumlah penonton yang tinggi, oleh sebab itulah semakin tahun beranjak semakin banyak rancangan yang dihasilkan. Dari nyanyian (eg Akademi Fantasia) dan kuiz (eg Who Wants to be a Millionaire), ke personaliti TV/ penyiaran (eg Gadis Melayu) sehinggalah Islamik (eg Imam Muda), ia mampu menarik audiens dari setiap lapisan masyarakat untuk menonton dan menghantar undian kepada peserta kegemaran.

Tetapi sejauh manakah program-program hiburan sebegini mampu pergi? Malah, adakah pemenang atau peserta program mampu kekal membawa imej yang disukai ramai?

Kesan negatif melebihi kesan positif?

Suatu masa dahulu, Roda Impian menjadi program kesukaan ramai, sebelum Who Wants to be a Millionaire membawa pementasan kuiz yang lebih serius. Terus ke 2016, Clever Girl Malaysia mengisi kaca TV, tetapi pada masa itu beberapa isu mula timbul mempersoal kredibiliti para peserta. Ini kerana di sebalik hiburan yang disogok untuk sajian ahli keluarga, ada banyak kesan negatif yang tersirat.

Akademi Fantasia musim kedua (2004) mengaut keuntungan RM7.5 juta melalui 15 juta undian SMS yang dihantar peminat kepada peserta pilihan mereka. Ini adalah antara contoh kesan negatif yang dibawa program realiti TV kerana yang mengundi biasanya datang dari mereka yang masih bersekolah. Bukan sahaja mereka menjadi terlalu taksub dan hanyut dalam fantasi peserta kegemaran, duit juga banyak dihabiskan.

Namun, zaman berubah, dan banyak program realiti TV kini menggunakan sistem pemarkahan juri untuk mencari pemenang seperti Maharaja Lawak Mega, I Can See Your Voice Malaysia, dan Dewi Remaja. Namun sasaran (dan sesetengahnya juga peserta) program-program hiburan sebegini masih sama iaitu anak-anak muda yang baru belajar mengenal dunia.

Contoh terdekat boleh dilihat melalui kontroversi yang melanda juara Dewi Remaja 2018/19 Haneesya Hanee, yang gelaran juaranya ditarik semula dek kerana video pesta arak yang tersebar di Internet. Ia menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet: sekiranya ikon remaja yang sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada yang lain gagal berbuat demikian, apa perlunya program sebegitu masih diteruskan?

Ramai pemenang Dewi Remaja dan Hero Remaja yang berjaya mencipta nama dalam dunia hiburan sebagai pelakon, antaranya Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Zed Zaidi, Kamal Adli, Rita Rudaini, Scha Alyahya, dan Neelofa. Walau bagaimana pun, hanya kerana satu kesilapan, imej baik yang dibawa program-program sebegini tidak lagi sehebat dahulu.

Program realiti Islamik antara yang paling teruk dikritik

Program realiti Islamik terawal disiarkan Astro Oasis pada 2010 iaitu Imam Muda untuk mencari pemimpin Islam terbaik dalam kalangan peserta. Kejayaan yang diraih program tersebut menjadi titik tolak kepada banyak lagi program yang lain seperti Ustazah Pilihan (2011), Da’i (2013), dan Pencetus Ummah (2013).

Menurut satu kajian, Pencetus Ummah diangkat sebagai program realiti Islamik paling popular, diikuti Imam Muda dan Akademi al-Quran. Sayangnya, Pencetus Ummah jugalah yang mula-mula sekali merosakkan nama baik dan juga imej program realiti berkonsepkan agama Islam.

Ia bermula dengan kisah Pencetus Ummah (PU) Abu yang beberapa bulan lalu hangat mengisi ruang media sosial. PU Abu dikritik hebat kerana menduakan isterinya demi seorang wanita lain yang juga merupakan seorang pengasas produk kecantikan tempatan. Situasi bertambah tegang apabila beliau menceraikan isterinya yang sarat mengandung melalui pesanan ringkas di WhatsApp dan menikahi isteri kedua tanpa persetujuan.

Sejak itu, PU Abu dilabel ‘penunggang agama’ (mereka yang menggunakan agama sebagai justifikasi untuk semua perbuatan yang dilakukan) oleh warganet.

Ia tidak terhenti di situ apabila Da’i Wan turut dikaitkan dalam kes itu kerana keengganan beliau untuk menegur PU Abu seperti yang dilakukan untuk pelakon wanita yang memilih untuk membuka hijab mereka (Uqasha & Emma Maembong). Sebaliknya, Da’i Wan memilih untuk membahaskan isu kesahihan perceraian melalui sistem pesanan ringkas yang hanya menambahkan minyak ke dalam api yang sedang marak.

Terbaru, seorang lagi ‘ustaz selebriti’ meraih kecaman daripada warganet ekoran kisah yang hampir serupa, iaitu Da’i Farhan. Berikutan kontroversi yang melanda, ramai warganet memaksa penarikan semula gelaran PU, Da’i dan termasuklah ustaz kerana mereka ini tidak layak membawa imej suci Islam.

Kutukan dan sindiran seolah-olah tidak berkesudahan, sekali gus memburukkan lagi imej program realiti yang bertemakan elemen Islamik.

Sepertinya, program-program realiti yang diwujudkan pada era pemodenan ini tidak lagi menarik minat audiens untuk menonton, sebaliknya menjadi bahan kritikan para warganet. Daripada menghasilkan rancangan yang dikatakan tidak berfaedah, ada baiknya untuk program sebegini mengetengahkan konsep yang lebih memberi jaminan masa depan seperti perniagaan, kepemimpinan, dan kreativiti seni.

Apabila penonton sudah mula muak dengan isi rancangan yang ditayangkan, mereka bertindak mencari kesalahan yang ada. Lantas kandungannya tidak akan lagi menghiburkan.

Want More Story From Us?