Kerenah rakyat Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan

Rakyat Malaysia yang berpeluang untuk duduk di rumah mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti bagi membunuh masa.

Akibat COVID-19, kebanyakkan negara telah mengisytiharkan PKP iaitu perintah kawalan pergerakan dan juga total lockdown iaitu perintah berkurung sepenuhnya supaya wabak ini tidak menular dengan pantas dan mampu dicegah di peringkat awal.

Walaupun harus berada di kediaman sendiri setiap masa dan tidak dibenarkan keluar kecuali mempunyai alasan yang kukuh seperti membeli barangan dapur dan harus bekerja, rakyat Malaysia tetap melakukan aktiviti yang berfaedah.

Terdapat beberapa aktiviti yang dilakukan dan telah tular di media sosial sejak negara dikenakan perintah kawalan pergerakan. Jelas rakyat Malaysia pandai menghiburkan diri ketika berada dalam waktu yang mencemaskan ini.

Ramai mula menjadi ‘barista’

Jika anda sering menggunakan media sosial seperti Instagram dan Twitter, ada kemungkinan besar anda telah melihat siaran yang berkaitan dengan Dalgona Coffee. Makin hari makin ramai yang mencuba resipi ini dan memuat naik video mereka ke laman sosial Instagram dan Twitter.

Imej dari: LATimes

Minuman yang tular ini berasal dari Korea Selatan, dan sudah pasti rakyat Malaysia yang amat meminati budaya dan makanan mereka ingin mencuba sesuatu yang baru. Tambahan pula, hanya tiga bahan diperlukan untuk menghasilkan kopi Dalgona ini.

Seseorang yang ingin mencuba resipi ini hanya memerlukan Nescafe, gula dan air panas supaya minuman ini menjadi. Campurkan dua sudu besar bagi setiap bahan tersebut, kacau hingga menjadi busa dan tuangkan ke dalam secawan susu segar.

Amat senang untuk menghasilkan minuman kopi yang sedap ini, dan jika mempunyai anak kecil yang tidak gemar dengan rasa kopi, ramai yang menukar resipi dan menggantikan kopi dengan Milo untuk rasa yang lebih manis.

Pelbagai variasi tekan tubi baru

Rakyat Malaysia juga tidak boleh dipisahkan dengan senaman dan sukan. Walaupun berada di rumah, ramai netizen memuat naik video senaman yang mereka lakukan semasa tempoh PKP. Ini merupakan tanda yang baik kerana majoriti netizen masih mementingkan kesihatan.

Imej dari: World of Buzz

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq juga tidak ketinggalan memuat naik video di mana beliau melalukan senaman tekan tubi versi tersendiri beliau yang dinamakan ‘#stayathomechallenge’ yang tular di Twitter. Video tersebut menerima pelbagai jenis maklum balas berbentuk video yang lucu.

Ramai netizen merekod diri sendiri melakukan tekan tubi untuk menyertai #stayathomechallenge tersebut dan makin hari cabaran itu makin menular. Ada yang melakukan cabaran itu dengan serius manakala ada pula yang membuat video untuk bahan jenaka.

Masa dipenuhi dengan perkara positif

Buat masa sekarang, apa-apa aktiviti yang dilakukan dalam rumah amat bagus kerana sekurang-kurangnya rakyat dan netizen kekal berada dalam kediaman sendiri dan tidak keluar. Hal ini boleh menyumbang dalam usaha pihak berkuasa ingin menyekat wabak COVID-19.

Akhir kata, netizen juga dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta dan sama-sama melakukan aktiviti seperti membuat kopi Dalgona dan juga menyahut cabaran #stayathomechallenge. Ayuhlah semua berganding bahu, duduk di rumah dan membantu dalam pencegahan wabak berbahaya ini.

Want More Story From Us?