Kemunculan semula PPSMI

Sebelum ini hanya Sarawak yang bersetuju untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium utama pembelajaran Matematik dan Sains. Tetapi hari ini, debat PPSMI berterusan dalam menentukan nasib pelajar di seluruh Malaysia.

Bahasa sudah menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia. Ramai antara mereka yang berbangga dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan mahukan keamanan budaya dan keharmonian kaum terus dikekalkan.

Tetapi sebagaimana yang telah dibuktikan sejarah lalu, sekiranya dipaksa untuk menerima sesuatu yang jelas bukan berasal daripada sebahagian daripada identiti mereka, sudah tentu akan ada yang menolak.

Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sebelum kemerdekaan

Penjajahan British sekitar 19o0-an menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, tetapi ia biasanya digunakan untuk mendidik anak-anak muda di kawasan bandar. Manakala di sekolah-sekolah di kawasan-kawasan luar bandar pula, kanak-kanak masih menggunakan bahasa ibunda mereka.

Sebelum kemerdekaan, tiada penubuhan yang menguruskan sistem pendidikan negara, oleh itu Bahasa Inggeris, Melayu, Cina, dan Tamil digunakan sebagai medium di sekolah masing-masing. Pun begitu, sekolah menengah hanya menggunakan dua medium, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Selepas kemerdekaan, Bahasa Melayu tidak terus dijadikan bahasa kebangsaan. Jawatankuasa yang bertanggungjawab mengendalikan sistem pendidikan secara beransur-ansur menyeragamkan kurikulum untuk seluruh negara, tetapi pada ketika ini Bahasa Inggeris masih digunakan sebagai medium utama untuk menggalakkan pelajar-pelajar Cina dan Tamil menerima pendidikan yang telah diseragamkan.

Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diperkenalkan

Apabila jumlah pelajar kian meningkat, kaum Melayu mula menyuarakan ketidakpuasan hati mereka tentang kekangan bahasa (language barrier) yang wujud. Oleh itu, jawatankuasa pendidikan berkompromi dengan menggunakan dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai medium, sementara Bahasa Cina dan Bahasa Tamil diajar secara berasingan.

Tetapi prestasi sekolah-sekolah bukan Melayu semakin meningkat dalam pendidikan dan bidang pekerjaan. Oleh yang demikian, parti persekutuan UMNO menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 untuk mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus mengangkat status kaum Melayu.

Peristiwa 13 Mei 1969 semakin mempercepat proses dalam memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua lapisan pendidikan.

PPSMI mengubah polisi pendidikan

Dekad-dekad yang berlalu menyaksikan kerajaan Malaysia memperkasa polisi pendidikan untuk menaikkan taraf Bahasa Melayu. Sehinggalah pada tahun 2002, kerajaan mengumumkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains bertujuan bukan hanya untuk memperbaik penguasaan bahasa Inggeris tetapi juga untuk mempersiap bangsa dengan perkembangan globalisasi dan kelayakan bekerja.

Langkah ini dipanggil Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan ia sekelip mata mengubah sejarah penggunaan Bahasa Melayu sebagai medium utama pendidikan.

Prestasi pelajaran yang merosot kerana PPSMI

Walaupun PPSMI memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang bukan Melayu, laporan pendidikan kebangsaan mengesan pencapaian dalam Matematik dan Sains yang merosot sejak pengenalan PPSMI. Kemerosotan ini kebanyakannya disumbang oleh pelajar-pelajar di kawasan luar bandar.

Penambahan jumlah guru dan kelas Bahasa Inggeris masih tidak cukup untuk memperbaik prestasi pencapaian mereka.

Situasi ini juga mendapat kritikan daripada ahli linguistik Melayu dan protes daripada kaum Melayu di luar bandar yang berpunca daripada kebimbangan Bahasa Melayu bakal dilupakan daripada kurikulum pendidikan.

Pada tahun 2012, kerajaan akhirnya mengumumkan bahawa mata pelajaran Matematik dan Sains tidak akan lagi menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium.

Keghairahan Tun M mengembalikan Bahasa Inggeris

Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghidupkan semula harapan untuk Bahasa Inggeris dijadikan medium dalam pengajaran Matematik dan Sains, tetapi kerajaan baharu tetap mengekalkan sistem Program Dwibahasa (Dual Language Program).

DLP mula diperkenal oleh BN pada 2016, iaitu sistem pengajaran yang menggunakan kedua-dua bahasa bergantung kepada pilihan pihak sekolah sendiri. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik DLP dengan mengatakan bahawa program tersebut bersifat berat sebelah kepada mereka yang mempelajari bahasa Inggeris.

Menurut Tun Mahathir, mereka yang mempelajari Bahasa Inggeris mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapat pekerjaan di masa depan berbanding mereka yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Ini kerana kekurangan kemahiran dalam berbahasa Inggeris amat membimbangkan, oleh itu Tun Mahathir mencari jalan untuk menyeragamkan penggunaan bahasa tersebut di seluruh Malaysia.

Sarawak memilih Bahasa Inggeris

Bermula tahun ini, Sarawak bakal menjadi satu-satunya negeri yang mengangkat Bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran Matematik dan Sains dari tahun satu. Keputusan itu disuarakan oleh kerajaan Sarawak dan nyata diterima baik oleh penduduk-penduduk negeri itu.

Namun jika kata-kata Tun Mahathir itu benar bahawa mereka yang mempelajari Bahasa Inggeris mempunyai masa depan yang lebih cerah dari segi kerjaya, nasib pasti akan menyebelahi generasi muda Sarawak kelak.

PPSMI bakal kembali semula?

Debat tentang sama ada PPSMI bakal diaktifkan semula telah pun reda ketika bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan ia tidak akan dikembalikan. Tetapi sejak Dr Maszlee meninggalkan jawatan tersebut, desas-desus tentang PPSMI mula muncul semula.

Sementara Tun Mahathir bertegas untuk membawa semula PPSMI dalam sistem pendidikan negara, ramai yang menolak. Menurut kajian Majlis Profesor Negara (MPN), sebanyak 57% bersamaan 300 orang profesor menolak PPSMI dikembalikan, sebaliknya berharap supaya kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris dipertingkat menerusi mata pelajaran bahasa itu sendiri.

Sebelum sebarang keputusan dibuat, semua aspek haruslah dipertimbang, terutama sekali mereka yang bakal menerima kesannya iaitu para pelajar di sekolah. Dengan pencapaian yang ada sekarang, mampukah mereka dibebankan dengan satu lagi perubahan yang belum tentu lagi menjanjikan masa depan yang cerah?

Want More Story From Us?