Ramai graduan perubatan yang dihasilkan universiti setiap tahun, tetapi sayangnya, ramai juga yang tidak mampu dijanjikan masa depan yang cerah.
Antara dua kareer yang sering dilihat sebagai pilihan kerjaya terbaik dalam kalangan ibu bapa di Asia ialah jurutera dan doktor. Oleh sebab ‘obsesi’ inilah, ramai yang menggalakkan anak-anak mereka meneruskan pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan atau perubatan.
Dengan lambakan institusi yang menawarkan kursus perubatan dengan kelayakan yang lebih rendah berbanding sedekad yang lalu, lebih ramai mahasiswa yang mendaftar setiap tahun, sehinggakan jumlah graduan perubatan juga meningkat dari tahun ke tahun. Menurut Malaysian Medics International (MMI), jumlah graduan perubatan yang dihasilkan Malaysia setiap tahun ialah 6,000 orang, separuh daripadanya dari 33 institusi perubatan dalam negara, manakala separuh lagi pulang dari pengajian di luar negara.
Tetapi sayangnya, bukan semua daripada 6,000 orang graduan ini ditawarkan kerja sebaik sahaja mereka tamat pengajian.
Tiada tempat untuk menampung doktor pelatih
Graduan-graduan perubatan tidak dibenarkan bekerja sebagai doktor di mana-mana hospital tanpa lesen, dan untuk mendapatkan lesen, mereka perlu menjalani latihan (housemanship) di mana-mana hospital yang dipilih oleh Medical Qualifying Board dalam tempoh maksimum tiga tahun. Sebaik tamat latihan, barulah graduan-graduan ini, atau dikenali sebagai house officers (HOs) dibenarkan untuk mempraktik perubatan sebagai doktor atau medical officers (MOs).
Namun krisis pada hari ini ialah tempat untuk doktor pelatih semakin berkurang dek kerana jumlah graduan yang terlalu ramai. Bahkan, ada yang terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya sebelum mereka dipanggil untuk menjalani latihan, itu pun di bawah pengawasan seorang doktor pakar (specialist) yang terpaksa menguruskan 20 orang doktor pelatih dalam satu masa.
Masalah ini menjadi semakin rumit kerana doktor-doktor pelatih tidak dibenarkan menjalani latihan mereka di hospital-hospital swasta. Apabila kesemua mereka dimuatkan dalam hospital-hospital kerajaan (tidak semua menyediakan tempat untuk doktor pelatih), maka berlakulah jumlah doktor yang berlebihan.
Selepas tamat latihan, para doktor perlu berkhidmat di hospital kerajaan sekurang-kurangnya selama dua tahun. Tetapi Kementerian Kesihatan tidak mampu menyerap semuanya kerana kekurangan jawatan kosong di hospital-hospital.
Sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini, kaedah doktor lantikan kontrak diperkenal pada 2016. Setakat ini, seramai 6,307 orang doktor sudah ditawarkan kontrak, sementara 1,152 masih berada dalam senarai menunggu. Dalam pada itu, timbul pula isu tentang bayaran antara MO dan doktor kontrak, bilamana MO mendapat bayaran mengikut gred UD43 sementara doktor kontrak kekal di UD41 (gred untuk doktor pelatih).
Ramai doktor, tetapi tidak ramai doktor pakar
Apabila tiada pekerjaan tetap, doktor-doktor kontrak ini tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana, sekali gus menyekat peluang mereka untuk meraih gelaran doktor pakar. Inilah antara sebab kenapa Malaysia kekurangan doktor pakar, tetapi akar umbi kepada permasalahan ini sebenarnya merebak lebih dalam lagi.
Terdapat lima bidang utama untuk doktor pakar di Malaysia, iaitu perubatan (medicine), pembedahan (surgery), obstetrik dan ginekologi (O&G), anestesiologi (anaesthesiology), dan pediatrik (paediatrics).
Jika dilihat secara kasar, jumlah doktor pakar di hospital kerajaanlah yang paling tinggi, tetapi jumlah di hospital swasta kian meningkat dari tahun ke tahun. Ini kerana semakin ramai doktor pakar di hospital kerajaan berpaling tadah ke swasta kerana bayaran yang lebih tinggi dan keseimbangan kerja dan kehidupan.
Antara sebab lain ialah tempoh masa yang terlalu lama untuk menjadi seorang doktor pakar yang melibatkan pengajian, kajian, dan latihan.
Dengan susutnya jumlah doktor pakar, kerajaan bertindak meluluskan pembangunan lebih banyak institusi pengajian yang menawarkan kursus perubatan dengan harapan akan lahir lebih ramai doktor yang kompeten. Tetapi malangnya, semakin ramai graduan perubatan yang dihasilkan tahun demi tahun tanpa jaminan pekerjaan tetap dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mendapat status doktor pakar.
Akibatnya, pesakit-pesakit yang datang ke hospital terpaksa menunggu berjam-jam lamanya kerana kekurangan doktor pakar untuk merawat mereka.
Isu ini diibaratkan seperti satu kitaran yang bagai tiada penghujungnya. Bukan bererti tiada usaha untuk memperbaiknya, seperti Kementerian Kesihatan meluluskan permohonan untuk menaikkan gred doktor kontrak kepada UD43 selepas keluhan para doktor memenuhi media sosial, tetapi ia tetap tidak memberi penyelesaian kepada masalah yang ada.
Tidak hairanlah ramai doktor yang telah menceburi bidang lain apabila memasuki alam pekerjaan, kerana gelaran doktor yang suatu masa dahulu dipuji dan dipandang tinggi tidak lagi menjanjikan masa depan yang cerah.