Dark dibawa dari German, Elite dari Sepanyol, dan My First First Love dari Korea. Bagaimana pula dengan Malaysia?
Netflix tiba di Malaysia pada tahun 2016. Sejak itu, beberapa drama rantaian terpilih seperti Tundukkan Playboy Itu, Cinta si Wedding Planner, dan Hati Perempuan serta filem-filem tempatan seperti Pulang, Paskal, dan One Two Jaga sudah pun ditayangkan dan meraih penonton-penonton dari luar negara.
Walau bagaimana pun, dengan peningkatan kandungan Netflix yang merentas sempadan negara Amerika Syarikat misalnya Sepanyol, German, dan Perancis serta beberapa negara Asia, seperti ada yang terkurang bagi pelanggan-pelanggan tempatan.
Kenapa tiada kandungan asli (original contents) dari negara Malaysia sendiri?
Kandungan tempatan lebih diutamakan di iflix
Netflix merupakan platform penstriman terbesar di dunia, tetapi di rantau Asia atau lebih tepat lagi Asia Tenggara, isi kandungan yang dihasilkan penggiat seni tempatan lebih banyak dimuatkan di iflix, iaitu pesaing terdekat Netflix di Malaysia.
Jika terdapat filem-filem atau drama TV yang ingin diketengahkan sebagai bahan penstriman, iflix yang biasanya menjadi pilihan utama sebelum Netflix. Benar bahawa penonton-penonton di Malaysia lebih ramai yang memilih Netflix berbanding iflix, tetapi andai dilihat daripada sudut kandungan terbitan negara-negara Asia, iflix jauh lebih mendapat tempat di hati para penonton.
Bayaran bulanan yang lebih murah berbanding Netflix juga menjadi faktor segelintir rakyat Malaysia memilih iflix, terutama sekali bagi mereka yang gemarkan kandungan tempatan. Menurut Mark Britt, pengasas dan CEO iflix, 80% daripada 700,000 pelanggan iflix melanggan kerana mereka mahu menonton filem dan drama yang dihasilkan produksi tempatan.
Apatah lagi dengan kemunculan platform penstriman terbaru Aflix yang bakal dilancarkan, kandungan-kandungan seni tempatan akan terus sukar untuk mendapat tempat di Netflix.
Di samping itu, kebanyakan mereka yang memilih Netflix adalah kerana katalog kandungan Baratnya, jadi selagi mereka terus kekal bersama Netflix untuk menonton Stranger Things, You, dan Orange is the New Black, mereka tidak lagi perlukan karya asli tempatan.
Oleh itu, permintaan untuknya tidak akan ada atau kian susut.
Kandungan tempatan haruslah mempunyai daya tarikan antarabangsa
Baru-baru ini, Netflix mengumumkan pelan untuk memperluas kandungan asli ke rantau Asia Tenggara sebagai usaha untuk menarik perhatian ramai lagi penonton dari negara-negara ini.
Sebagai langkah pertama, satu rancangan baru sahaja disiarkan manakala satu lagi kini dalam proses penggambaran, iaitu The Stranded dari Thailand dan The Ghost Bride siri adaptasi dari novel terlaris yang disenaraikan New York Times tulisan penulis berasal dari Malaysia Yangsze Choo.
The Ghost Bride berlatarbelakangkan negara Malaysia sekitar tahun 1890-an, dan meski pun ia diarah dan dilakonkan oleh bakat-bakat tempatan, sentuhan antarabangsa tetap juga diterapkan melalui campur tangan penulis skrip Amerika-Taiwan yang pernah menyumbang kepada kejayaan siri Hannibal dan The Flash.
Elemen antarabangsa yang disuntik bersama inilah yang bakal menjadi daya penarik pengguna-pengguna Netflix serata dunia untuk ikut sama menonton kerana mereka dapat mengaitkan isi kandungan yang ada (relatable contents) dengan kehidupan mereka sendiri.
Secara umumnya, penghasilan filem di Asia Tenggara masih tidak setanding dengan produk-produk Hollywood, tetapi dari semasa ke semasa, negara-negara Asia Tenggara ada mengeluarkan filem-filem yang berkualiti dan berhak mencapai jumlah penonton yang lebih besar, terutamanya di luar rantau Asia.
Bagi pengkarya-pengkarya yang sukar mencari tempat di mana hasil kerja mereka diterima (tanpa tapisan atau sekatan) pula, Netflix boleh menjadi medium terbaik untuk mereka mula menempa nama.
The Ghost Bride adalah karya asli pertama dari Malaysia, jadi tidak mustahil untuk banyak lagi yang akan dihasilkan pada masa hadapan asalkan ia mampu menarik minat penonton-penonton dari luar untuk sama-sama menikmati.
Permintaan terhadap kandungan asli tempatan untuk dimuatkan di Netflix mungkin kurang, tetapi tidak bermakna ia tiada. Malah, ramai yang sebenarnya berharap akan ada karya-karya bermutu yang boleh diketengahkan kerana ia merupakan petanda bahawa industri hiburan tanah air semakin membaik dan sedang berada di landasan yang betul.