Virus polio muncul lagi di Malaysia selepas 27 tahun, dan tragedi ini seharusnya memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya vaksin.
Tiba masanya kata keramat ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ dipandang serius, kerana virus poliomyelitis yang dulu pernah dibasmi sepenuhnya di seluruh Malaysia kini muncul semula. Kes pertama direkodkan setelah 27 tahun negara bebas polio ialah melalui seorang bayi lelaki berumur 3 bulan di Tuaran, Sabah yang mana simptomnya bermula dengan demam dan lemah anggota badan.
November lalu, satu kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) sudah pun direkodkan di Filipina, malah kajian di Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan bahawa virus circulating vaccine-derived polio (cVDPV) type 1 yang dikesan pada bayi berkenaan mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio dalam AFP di Filipina.
Punca terjadinya pengaktifan semula virus polio ini cuma satu, iaitu ketiadaan atau kurangnya imunisasi.
Mitos ‘kejahatan’ vaksin
Percaya atau tidak, terdapat sesetengah rakyat Malaysia yang yakin bahawa vaksin bukan pencegah penyakit, sebaliknya pembawa. Lebih memburukkan keadaan, gerakan anti-vaksin (1% populasi bersamaan 300,000 penduduk) pada hari ini menjadi semakin agresif dalam menyebarkan berita-berita palsu berkenaan vaksin sehingga menakut-nakutkan lagi para ibu bapa yang masih menimbang-tara keputusan yang terbaik buat bayi mereka.
Buktinya, kadar inokulasi untuk measles-mumps-rubella (MMR) telah menurun dari 95% ke 89%.
Vaksin menyebabkan autisme?
Antara alasan utama yang digunakan gerakan anti-vaksin adalah suntikan vaksin boleh menyebabkan autisme. Spekulasi ini sebenarnya dimulakan oleh Andrew Wakefield, seorang doktor British yang telah diragui kelayakannya (discredit) setelah kertas kajiannya yang menghubungkan vaksin dan austisme mempengaruhi orang ramai dan menjadi permulaan kepada gerakan anti-vaksin sedunia. Beliau juga menjadi peneraju dokumentari Amazon “Vaxxed: From Cover-Up to Catastrophe”.
Walaupun kertas kajian itu telah ditarik balik dan mitos perkaitan vaksin MMR dan autisme telah dibantah oleh banyak kajian lain, salah faham itu tetap juga tersebar jauh. Terbaru, kajian terbesar di Denmark yang melibatkan 657,461 kanak-kanak sekali lagi membuktikan bahawa tiada perkaitan antara vaksin dan autisme. Pun begitu, masih juga ada ibu bapa yang percaya, seterusnya menafikan hak suntikan vaksin ke atas anak-anak mereka.
Kandungan vaksin selamat dan halal
Di samping itu, faktor agama turut memainkan peranan dalam gerakan anti-vaksin. Kandungan suntikan vaksin dipercayai meragukan dan tidak halal, lantas ada yang memilih untuk tidak melakukannya.
Pada tahun 1989, satu fatwa membenarkan Muslim menerima suntikan vaksin telah dikeluarkan, namun ia masih tidak mampu meyakinkan para anti-vaksin untuk memberi inokulasi kepada anak-anak mereka sehingga ke hari ini.
Peranan vaksin yang sebenarnya
Secara ringkasnya, apabila bakteria atau virus menyerang sistem imunisasi manusia, akan terhasil mekanisme pertahanan dalam badan untuk melawan bakteria tersebut. Namun, sesetengah bakteria (antigens) lebih kuat daripada yang lain-lainnya, dan ada waktunya badan manusia mengambil masa yang lebih lama untuk menghasilkan antibodies demi melawan penyakit.
Oleh itu, vaksin diperlukan untuk membantu menghasilkan lebih banyak antibodies untuk melawan bakteria sebelum ia merebak lebih jauh dan membawa penyakit.
Sayangnya, berita-berita palsu dan tidak terbukti sainsnya yang banyak tersebar menutup mata ramai orang tentang pentingnya vaksin. Perasaan takut yang tercipta membuatkan mereka menolak fakta dan berpegang teguh kepada kepercayaan karut sebagai justifikasi untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin untuk anak-anak mereka.
Tanpa vaksin, kesihatan global akan terancam
WHO menyenaraikan vaccine hesitancy (keraguan vaksin) sebagai satu antara sepuluh ancaman kesihatan global 2019, meski pun ia telah terbukti sebagai cara yang paling efektif untuk menghindari penyakit. Dengan gerakan anti-vaksin yang semakin aktif, ia ditakuti bakal meletakkan kesihatan orang awam pada risiko yang tinggi.
Contoh terdekat boleh dilihat dengan tercetusnya wabak polio di Filipina dan Sabah. Virus cVDPV yang telah dilemahkan berasal dari vaksin Oral Polio Vaccine (OPV) dan ia dikumuhkan melalui najis. Apabila terdedah dalam persekitaran yang tidak bersih, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti untuk melawan polio dan ada kemungkinan akan terus tersebar dalam komuniti yang mempunyai liputan imunisasi polio kurang dari 95%.
Pendek kata, vaksinlah pencegah terbaik virus membunuh ini. Jika ini juga tidak mampu menyedarkan ramai pihak tentang pentingnya vaksin, kes polio pertama selepas 27 tahun ini hanyalah permulaan kepada bencana yang lebih besar.
“You can have the best vaccines for a woman or her child, but if you can’t get her to come and get them, then they won’t work.” – Melinda Gates, American Philanthropist