Di kala negara masih sibuk memerangi virus COVID-19, kes mengenai isu pelarian pula kembali menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat.
Isu tentang pelarian di Malaysia ini sudah lama diperkatakan tetapi kejadian yang telah berlaku baru-baru ini membuka semula perbincangan yang masih lagi tiada penyelesaian.
Status pelarian tidak diiktiraf
Malaysia adalah di antara negara yang tidak terikat dengan Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967. Disebabkan itu, status pelarian tidak mendapat pengiktirafan di negara ini.
Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang telah memulakan operasi sejak tahun 1975, adalah satu-satunya agensi yang melakukan proses penentuan status pelarian (RSD) dan membantu dalam urusan penempatan semula ke negara ketiga serta penghantaran semula secara suka rela.
Di Malaysia, tiada sebarang undang-undang yang dapat mengiktiraf status pelarian. Sehingga kini, pelarian-pelarian itu diklasifikasikan sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dibawah Akta Immigresen 1959/1963.
Walaupun begitu, Malaysia masih bertimbang rasa dan memberi kebenaran kepada mereka untuk tinggal sementara di negara sebelum ditempatkan ke negara ketiga oleh UNHCR. Sehingga Mac 2020, jumlah pemegang kad UNHCR yang tinggal sementara di Malaysia adalah seramai 179 521 dan daripada jumlah tersebut, 101, 584 adalah daripada etnik Rohingya.
Pengusiran membangkitan perdebatan
Pada 16 April yang lalu, Malaysia telah mengusir sebuah bot yang membawa lebih 400 pelarian daripada perairan negara. Perkara ini telah membangkitkan perdebatan dalam kalangan rakyat dan juga pihak luar terhadap tindakan yang telah dilakukan oleh negara.
Tindakan ini perlu dilakukan untuk menghalang pembawaan virus COVID-19 ke dalam negara. Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Malaysia melarang pendatang luar daripada memasuki negara.
Tetapi lain pula pada pandangan pihak luar, yang mengatakan bahawa tindakan Malaysia ini membahayakan nyawa ramai manusia dan pandemik ini bukanlah alasan untuk menggadai nyawa ratusan manusia.
Namun, pihak Malaysia sempat memberi bekalan makanan kepada pelarian-pelarian itu sebelum menghantar mereka kembali ke lautan.
Ingin hak sama rata
Bukan itu sahaja, satu lagi isu yang menjadi perdebatan di kalangan rakyat dalam tempoh beberapa hari setelah isu pengusiran tersebut ialah apabila Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) didakwa telah menghantar memorandum untuk menuntut hak sama rata seperti rakyat Malaysia.
Perkara itu telah membangkitkan rasa tidak puas hati segelintir rakyat kerana merasakan etnik tersebut diibaratkan seperti diberi betis, hendak paha. Terdapat juga serangan xenofobia yang dilakukan oleh rakyat kepada etnik Rohingya di pelbagai platform media sosial.
Namun, dakwaan itu telah dinafikan oleh presiden MERHROM, Zafar Ahmad Abdul Ghani dan menyatakan agar penafian terbuka dan permohonan maaf daripadanya dan seluruh pelarian Rohingya di Malaysia dapat menyelesaikan segala salah faham yang terjadi dengan baik.
Perlu diselesaikan segera
Isu pelarian ini sudah bertahun-tahun membina tapak di Malaysia tetapi masih lagi tiada penyelesaiannya. Ini kerana pelarian, terutama sekali pelarian Rohingya, bukanlah di bawah tanggungjawab negara sahaja tetapi tanggungjawab dan masalah antarabangsa.
Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF) mengatakan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu membuat langkah drastik unuk menguruskan penempatan semula etnik Rohingya di tempat yang telah disediakan kepada mereka.
Malaysia juga telah mendesak PBB sejak tahun 2019 untuk campur tangan isu ini agar dapat diselesaikan dengan segera. Jika berlarutan, ini akan menganiyaya etnik Rohingya dan kemungkinan banyak nyawa akan terkorban kerana terus menjadi pelarian dan dalam ancaman sama ada di darat atau di lautan.
Pelarian juga adalah manusia yang inginkan kehidupan yang selesa. Semoga satu hari nanti isu pelarian-pelarian ini dapat diselesaikan dan mereka boleh pulang ke negara asal.