Hero Tidak Didendang

Anjing adalah salah satu haiwan peliharaan yang menjadi kegemaran ramai, terutamanya di kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Kadangkala, keagresifan mereka menjadikan haiwan ini antara yang sering digeruni ramai.

Seperti haiwan lain seperti kucing, anjing juga mempunyai sifat manja dan mahukan kasih sayang daripada manusia.  Namun, masih terdapat sebahagian daripada masyarakat di Malaysia khususnya, bersikap tidak berperikemanusiaan terhadap anjing-anjing ini dengan melakukan penderaan fizikal terhadap mereka.

Prejudis manusia terhadap anjing

Tidak disangkal lagi, acap kali isu anjing mahupun haiwan-haiwan lain, pasti akan dikaitkan dengan hukum-hakam Islam. Menurut mazhab Syafie yang diguna pakai di Malaysia, anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah, iaitu najis berat, yang mana ianya haram bagi seseorang Muslim itu memegangnya tanpa sebab, kecuali dalam keadaan terdesak dan dalam cubaan untuk menyelamatkannya.

Pun begitu, ianya tidak menjadi masalah untuk umat manusia memberi belas ihsan terhadap makhluk ciptaan Tuhan ini. Walaupun sudah diberi pencerahan berulang kali mengenai isu anjing ini, namun segelintir masyarakat masih tetap dengan pemikiran mereka tersendiri.

Masih ada yang melakukan penderaan terhadap anjing, terutamanya anjing jalanan hanya kerana mereka kotor, tidak terurus dan berkelakuan agresif terhadap manusia. Malah, paling mengejutkan adalah anjing peliharaan juga menjadi mangsa penderaan.

Sebagai contoh, pada tahun 2018, seorang perempuan berbangsa Cina telah dihadapkan ke mahkamah atas sabit kesalahan mendera dua anjing peliharaannya di Hang Tuah Jaya, Melaka yang mana pasukan pegawai dari Jabatan Pegawai Veterinar (JPV) Negeri Melaka menerima aduan mengenai pengabaian binatang.

Pasukan terbabit mendapati kedua-dua anjing berkenaan berada dalam keadaan yang tidak terurus, lemah dan tidak bermaya selain terdapat penyakit dan kecederaan lain.

Punya banyak guna

Sungguhpun segelintir masyarakat menganggap anjing dilihat tidak membawa sebarang erti dan fungsi dalam kehidupan manusia, namun hakikatnya jasa haiwan ini membawa seribu makna pada yang mengendalikannya jika dilatih dengan betul.

Anjing bukan sahaja untuk dipelihara, malah ada juga yang menggunakan khidmat anjing dalam perburuan, misi mencari dan menyelamat (SAR), pengembalaan, penjagaan kebun dan ladang dan banyak lagi.

Baru-baru ini, anjing pengesan di bawah kelolaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), atau lebih dikenali sebagai anjing K9 mencuri tumpuan media apabila mereka turut serta bersama anggota polis dalam misi SAR tanah runtuh di Batang Kali.

Salah satu anjing K9 yang terlibat ialah Blake, anjing baka English springer spaniel yang penuh dengan lecak dan lumpur kelihatan penat setelah bekerja tanpa henti selama dua hari berturut-turut.

Anjing K9 lain seperti Lao Wu, anjing baka German Shepherd pernah membantu polis pada tahu 2019 dalam mengesan suspek mencuri kenderaan yang melarikan diri sejauh lebih 4 kilometer di sebuah ladang kelapa sawit di Jerantut, Pahang.

Atas jasa Lao Wu itu, ia mencipta sejarah sebagai anjing pertama yang menerima pingat “Jasamu Dikenang” bagi Kontinjen Polis Pahang.

Penghargaan buat mereka

PDRM sangat menghargai jasa anjing K9 dalam membantu pihak polis dalam menjayakan kes-kes berprofil tinggi.

Selain Lao Wu, anjing-anjing K9 yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa korban tanah runtuh di Batang Kali  seperti Pop, Denti, Frankie, Lady dan Grouse diberi penghargaan atas penat lelah mereka setelah bertungkus-lumus “berkerja”. Tidak lupa juga Leo dan Reed yang juga membantu dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh berkenaan.

Anjing-anjing K9 lain juga diberi penghargaan yang selayaknya atas jasa mereka sepanjang menyelesaikan kes bersama anggota polis. Antaranya adalah dua anjing jenis German Shepherd, iaitu Mailo dan Barny diberi pingat dan sijil penghargaan atas kejayaan mereka dalam mengesan mayat sehingga dapat menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi.

Anjing K9, Chulio diberi pingat “Jasamu Dikenang” pada majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah atas kejayaannya dalam mengesan mayat dalam operasi mencari dan menyelamat orang hilang di Tronoh pada Mei 2021.

Ciri anjing K9

Untuk melatih anjing K9 bukannya mudah, namun pemilihan anjing bukanlah begitu sukar kerana setiap baka mempunyai keistimewaannya sendiri.

Antara baka anjing yang menjadi pilihan dalam skuad K9 adalah baka German Shepherd, Belgian Shepherd dan Labrador. Anjing-anjing ini dibeli daripada pelbagai negara seperti Jerman, Republik Czech, China dan United Kingdom (UK). Harga setiap ekor anjing mampu mencecah RM33, 000 yang dibeli secara tender terbuka.

Fungsi anjing K9 terbahagi kepada empat, iaitu cadaver, pelbagai guna (multipurpose), pengesan narkotik (dadah) dan bahan letupan serta senjata api. Setiap anjing ini akan dilatih mengikut kepakaran yang telah dispesifikasikan mengikut habitat semula jadinya.

Melatih anjing K9 bukan semudah ABC, yang mana ianya memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Sama seperti haiwan lain, anjing juga sukar untuk menerima arahan pada awalnya, namun dengan kesabaran dan komitmen yang tidak putus-putus daripada pelatih, anjing K9 mampu mengikut arahan, malah berkerja lebih hebat daripada manusia itu sendiri.

Want More Story From Us?