Halang penularan COVID-19 dengan kebersihan

Sejak wabak COVID-19 berleluasa, masyarakat sungguh risau akan kebersihan diri terutama sekali tangan yang sering kali bersentuhan dengan permukaan atau objek yang tidak bersih. Namun sejauh manakah rakyat Malaysia mengamalkan teknik kebersihan diri yang betul?

Malaysia kini adalah antara negara Asia yang merekodkan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi dengan jumlah yang telah mencecah lebih 700 kes (setakat 19 Mac 2020). Hal ini nyata membimbangkan sehingga rakyat terus-menerus dinasihati untuk menjaga kebersihan sekeliling.

COVID-19 dan kebersihan sekeliling

Virus COVID-19 pada mulanya merebak di negara China. Ia dipercayai bermula dari sebuah pasar basah di bandar Wuhan yang menjual makanan laut. Pasar tersebut terkenal dengan jual beli haiwan liar seperti ular, kelawar, dan musang.

Sejak kes kematian pertama direkodkan di China, COVID-19 telah pun disahkan sebagai penyakit berjangkit melalui titisan cecair (droplet), terutamanya batuk dan bersin. Sejenis penyakit pneumonia atau kesukaran bernafas ini merebak dengan sangat pantas sehingga bilangan kes jangkitan di setiap negara bertambah setiap hari.

Walau bagaimanapun, jangkitan ini boleh dihalang, asalkan masyarakat tahu menjaga jarak di antara satu sama lain dan juga kebersihan sekeliling.

Kebersihan tangan diutamakan

Ekoran itu, masyarakat ditegaskan untuk kerap mencuci tangan. Namun, mengekalkan kebersihan tangan bukanlah suatu praktis yang baru, sebaliknya ia sepatutnya diamalkan bukan sahaja pada musim wabak COVID-19.

Pencucian tangan tidak hanya dipraktik untuk kebersihan sahaja. Perkara ini juga sebenarnya diamalkan dalam aktiviti keagamaan dan budaya. Sebagai contoh, orang yang beragama islam diwajibkan untuk mencuci kedua-dua tangan apabila berwudhuk. Seterusnya, agama Islam juga mengajar Muslim untuk sentiasa membasuh tangan selepas melakukan sesuatu aktiviti.

Selain itu, penganut yahudi juga diharuskan untuk membersihkan tangan mereka selepas tidur dan selepas makan terutamanya jika “garam sadom” digunakan. Sehubungan dengan itu, dalam ajaran Hindhuisme dan Judaisme, mencuci tangan tanpa menggunakan sabun adalah antara ritual mereka.

Malaysia antara negara yang mengamalkan sanitasi asas

Pada tahun 2017, Malaysia pernah berada di tangga yang ke-30 dari 194 buah negara yang mengamalkan perkhidmatan sanitasi asas. Contoh sanitasi asas ialah masyarakat menggunakan perkhidmatan sanitasi dengan terurus dan selamat. Perkara ini menyumbang  ke arah kebersihan negara.

Oleh itu, jika difikirkan logik, Malaysia masih berada di tahap negara yang dapat mengawal penularan wabak COVID-19 ini. Tetapi yang menyedihkan, sebaliknya pula yang berlaku dengan peningkatan kes yang direkodkan setiap hari.

Selain itu, New Zealand dicatat sebagai negara yang menggunakan sanitasi asas sepenuhnya. Negara tersebut kini mempunyai kes COVID-19 berjumlah 28 sahaja tanpa sebarang kematian.  Antara negara lain yang direkodkan menggunakan sanitasi asas ialah Chile, yang juga berada dalam keadaan yang terkawal dengan jumlah kes 238 tanpa kematian.

Perkara ini telah membuktikan bahawa sanitasi asas adalah praktis penting yang dapat membendung negara daripada wabak seperti COVID-19.

Cuti tangan dengan betul, bukan hanya dengan cecair pembersih tangan

Adat mencuci tangan ini bukan cuma diterapkan dalam ilmu agama. Hal ini juga dipandang sebagai sesuatu yang penting di seluruh dunia. Dengan itu, wujudnya hari mencuci tangan sedunia (global handwashing day) yang disambut pada 15 Oktober dengan lebih kurang di 100 buah negara.

Tanggapan mencuci tangan ini masih dipandang remeh dan dianggap sebagai rutin biasa oleh segelintir masyarakat. Melihat senario pembelian panik yang berlaku sejak wabak COVID-19 menular, masyarakat hanya mencari cecair pembersih tangan selepas keadaan menjadi semakin memburuk. Inilah antara bukti bahawa kebanyakan mereka hanya peduli tentang kebersihan tangan apabila wujudnya COVID-19.

Justeru, kempen ini diwujudkan dengan harapan ia boleh mendidik masyarakat dengan cara mencuci tangan dengan betul terutama sekali bagi kanak-kanak.

Imej dari: Legeneering

Di samping itu, mereka juga perlu sedar bahawa kebersihan tangan tidak seharusnya bergantung kepada cecair pembersih tangan sahaja kerana mencuci tangan dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 20 saat adalah lebih efektik.

Want More Story From Us?