Hak yang tidak diiktiraf

Sejak mereka tiba, masyarakat orang asli sudah pun mendiami sesuatu tempat yang kini menjadi sebahagian tradisi kaum mereka sendiri. Namun tiada undang-undang yang mengesahkannya.

Orang asli adalah kumpulan etnik yang paling lama mendiami Malaysia. Sejak mereka tiba di semenanjung sekitar 2500 sehingga 1500 sebelum Masihi, mereka sudah mula membina peradaban sendiri jauh dari dunia luar.

Kebanyakan mereka bergantung hidup dengan hasil-hasil hutan. Mereka membina rumah kayu, memburu haiwan, dan mempraktikkan adat tradisi yang kaya dengan keunikan setiap etnik masing-masing.

Ada juga yang menceburkan diri dalam pertanian, di mana mereka mula bercucuk tanam buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai sumber pendapatan.

Tanah yang mereka diami dianggap sebagai tanah adat milik mereka kerana ia sudah dihuni sejak beratus-ratus tahun lamanya. Namun, realitinya, ia tidak pernah tertulis secara sahih dalam mana-mana undang-undang negara.

Hak tanah adat yang tidak diperakui

Berdekad-dekad lamanya masyarakat orang asli berdepan dengan satu isu sama yang bagai tiada jalan penyelesaiannya, iaitu native customary rights (NCR) atau hak tanah adat orang asli.

Orang asli menganggap bahawa tanah yang mereka diami sejak berkurun lamanya adalah tanah milik mereka, namun dakwaan lisan bagaikan tiada nilainya di muka pengadilan. Bahkan, ia juga tidak termaktub dalam Akta Orang Asli 1954, menyukarkan lagi proses tuntutan tanah.

Walau bagaimana pun, akta tersebut ada menyebut tentang peruntukan tanah orang asli dan tanah rizab orang asli yang boleh diisytiharkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Pun begitu, sebagaimana ia boleh diperuntukkan oleh PBN, ia juga boleh dibatalkan, seperti yang tertulis dalam seksyen 6(3) Akta Orang Asli 1954.

Dalam erti kata lainnya, orang asli tidak mempunyai hak berkanun ke atas tanah mereka sendiri.

Dahulu, orang asli mempunyai hak yang mutlak ke atas tanah pusaka mereka. Penduduk lain tidak mempersoalkan hak mereka kerana tanah yang mereka diami jauh dan tidak diperlukan. Namun, keadaan berubah sejak kemunculan Raja-Raja Melayu yang mendakwa mereka berhak ke atas semua tanah di bawah naungan mereka.

Malang bagi orang asli kerana tidak kiralah berapa lama pun puak mereka mendiami sesebuah tanah, tidak pernah ada undang-undang yang nyata yang mengesahkan bahawa tanah itu adalah tanah milik mereka.

Justeru, apabila pihak kerajaan atau mana-mana syarikat pemaju datang membawa rancangan untuk projek pembangunan, tiada apa yang mampu menghalang mereka untuk mengambil alih tanah tersebut. Akibatnya, orang asli terpaksa meninggalkan tanah yang sudah menjadi tempat tinggal mereka sejak turun-temurun dan mencari tempat lain untuk mereka diami.

Salah satu usaha pembangunan yang memberi impak yang besar kepada puak orang asli ialah pembinaan empangan air, empangan janakuasa elektrik, dan pembinaan lebuhraya.

Sebagai contoh, telah dilaporkan bahawa Sarawak merancang untuk membina 12 empangan air di seluruh negeri, dan projek itu dijangka bakal mengambil tempat tinggal 20,000 orang asli, dan secara tidak langsung memaksa mereka untuk berpindah ke tempat yang lain. Malah, pembinaan empangan air Bakun di Sarawak telah pun merampas tempat tinggal 1,500 orang asli berketurunan Penan yang dulunya tinggal berdekatan lokasi empangan tersebut dibina.

Orang asli adalah penduduk peribumi, namun mereka sering dilayan seperti masyarakat kelas kedua. Tidak cukup dengan pembinaan empangan dan pembinaan lebuhraya, tanah adat mereka juga dicabul untuk aktiviti pembalakan, penanaman kelapa sawit, dan permodenan.

Lebih menyedihkan, orang asli juga dituduh sebagai menceroboh tanah kerajaan walaupun mereka sudah menetap di kawasan itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Orang asli tidak sedar akan hak mereka sendiri

Diskriminasi ke atas tanah adat orang asli berlaku bukan cuma kerana kelonggaran undang-undang negara, tetapi juga kerana kurangnya pengetahuan dalam kalangan orang asli tentang hak-hak mereka sendiri.

Masyarakat orang asli sering dilihat sebagai masyarakat yang mundur kerana mereka hidup di pinggir hutan dan masih memelihara tradisi mereka yang sudah berusia beratus-ratus tahun lamanya. Selain itu, ramai juga yang tidak memahami selok-belok undang-undang negara dan apa tindakan yang boleh diambil sekiranya mereka teraniaya.

Namun jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, orang asli kini mempunyai peluang yang lebih cerah dalam pendidikan. Golongan muda inilah yang perlu dididik dan diberikan pendedahan yang mendalam tentang hak-hak asasi masyarakat mereka sendiri supaya mereka dapat mempertahankan hak-hak tersebut pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, malah pihak berkuasa juga perlu mendalami isu hak tanah adat orang asli, supaya pindaan terhadap akta sedia ada boleh dilakukan secara adil.

Tanah adat diperlukan bukan sekadar untuk mengekalkan tempat tinggal orang asli tanpa gangguan kaum yang lain, tetapi juga untuk memelihara budaya dan adat resam masyarakat orang asli yang berputik dan hidup subur di tanah yang sama sejak berkurun lamanya.

Sama seperti kaum etnik lain yang mahukan adat resam mereka diteruskan untuk generasi akan datang, tidak salah untuk masyarakat orang asli impikan perkara yang sama kerana mereka juga berhak.

Want More Story From Us?