Gojek bukan keutamaan

Mengapa Gojek terus diperjuangkan walhal ada pengusaha tempatan yang lebih layak diberikan sokongan?

Dari satu sudut, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abd Rahman melihat pelaksanaan Gojek – sebuah perkhidmatan teksi bermotosikal dari Indonesia, sebagai satu cara untuk membantu para belia yang masih tidak mempunyai pekerjaan. Manakala dari sudut yang lainnya pula, isu berkenaan keselamatan dan agama menjadi titik penghalang untuk kerajaan meluluskan operasi Gojek di Malaysia.

Tetapi ramai yang mungkin lupa tentang kewujudan sebuah lagi perkhidmatan teksi bermotosikal milik tempatan yang mula beroperasi di Johor pada tahun 2016 sebelum ia diharamkan oleh undang-undang mantan kerajaan atas faktor-faktor keselamatan, iaitu Dego Ride.

Cadangan Syed Saddiq untuk memperkenalkan Gojek di Malaysia mendapat reaksi yang berbeza-beza, namun tidak dinafikan rakyat Malaysia lebih memberi tumpuan kepada GoJek yang datang dari luar, berbanding Dego Ride yang diusahakan oleh rakyat mereka sendiri.

Apa istimewanya Gojek jika dibandingkan dengan Dego Ride?

Beri peluang kepada pengusaha tempatan

Selepas pengharaman Dego Ride pada Januari 2017, perkhidmatan teksi bermotosikal tersebut beroperasi semula selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan sebelum sekali lagi disekat oleh Kementerian Pengangkutan pada Semptember 2018.

Walau bagaimana pun, peluang untuk Dego Ride beroperasi sepenuhnya masih ada asalkan semua syarat yang diberikan kementerian mampu dituruti.

Sama seperti Gojek yang masih belum diberikan lampu hijau, ramai yang bimbang akan keselamatan para penumpang di jalan raya Malaysia, yang sering terpalit dengan kes-kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal.

Risiko kedua-duanya serupa, namun andai usaha untuk mempertahankan perkhidmatan Gojek di Malaysia mampu diteruskan pada skala yang tinggi dan konsisten, usaha yang sama juga seharusnya ditumpukan untuk membantu membaikpulih perkhidmatan Dego Ride yang sememangnya sudah pun mempunyai tempat tersendiri di Malaysia, dan secara tidak langsung mengembangkan perkhidmatannya ke seluruh negara.

Dalam masa yang sama, pengasas Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj juga berharap supaya kerajaan memberi peluang kepada Dego Ride untuk membina nama sebagai sasaran utama dalam pasaran teksi bermotosikal (niche market) dan bukannya sekadar pesaing kecil kepada Gojek.

Menyelesaikan isu agama

Selain itu, antara sebab Gojek dikatakan tidak sesuai untuk beroperasi di Malaysia ialah kerana faktor agama.

Menurut Islam, haram bagi lelaki dan wanita yang bukan mahram (mempunyai pertalian darah atau hubungan perkahwinan) bersentuhan. Perlaksanaan Gojek bakal mencabar undang-undang syariah ini kerana ia akan melibatkan persentuhan antara penunggang dan penumpang di jalan raya walaupun secara tidak sengaja.

Lain pula situasinya dengan Dego Ride yang sememangnya sudah pun menubuhkan peraturan yang hanya membenarkan penunggang menerima tempahan perjalanan dari penumpang dengan jantina yang sama.

Isu yang didebatkan dalam usaha memperkenalkan Gojek sudah pun ditangani Dego Ride, malah ia  juga sedang dalam usaha untuk memperbaik perkhidmatan yang ada seperti menjadi alternatif kepada penggunaan pendek LRT dan MRT serta menetapkan jarak perjalanan minimum kepada 3km untuk keselamatan.

Perkhidmatan yang lebih kurang sama

Gojek bukan hanya menyediakan perkhidmatan teksi bermotosikal seperti yang ramai sangkakan.

Mengikut aplikasi Gojek, bermacam-macam perkhidmatan lain turut ditawarkan, antaranya GoFood (penghantaran makanan), GoSend (penghantaran barangan), dan GoCar (tempahan pekhidmatan kereta).

Di Malaysia, selain FoodPanda, GrabFood, dan HonestBee, ada juga BungkusIt, GetRunner, dan Matdespatch untuk penghantaran makanan, barangan runcit, dan barangan untuk pengeposan.

Bahkan, Dego Ride turut menyediakan perkhidmatan yang sama walau selepas perkhidmatan teksi bermotosikalnya diharamkan dua tahun lalu.

Berbanding semua nama ini, Gojek merupakan ‘jerung’ besar, yang ditakuti mampu merampas tempat pengusaha-pengusaha tempatan yang sudah pun sengit bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang dijangka akan semakin membesar.

Source

Benar, ada usaha untuk memperkenalkan semula Dego Ride kepada pengguna, malah Syed Saddiq sendiri telah menemui Nabil Faisal untuk membincangkan isu tersebut dan memberi jaminan bahawa Gojek tidak akan memonopoli pasaran, namun Gojek terus menjadi bualan orang ramai.

Satu yang mereka perlu sedar, Gojek bukanlah satu keutamaan apabila terdapat banyak pengusaha tempatan yang berpotensi untuk terus maju sekiranya mereka lebih diberikan sokongan dan perhatian.

Want More Story From Us?