Gelombang Ketiga Wabak telah Tiba

Setelah sekian lama berada di dalam rumah, rakyat Malaysia sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, namun ketidakpastian wabak COVID-19 ini telah mengundang gelombang ketiga pandemik.

Penurunan angka penularan wabak pandemik yang pernah dialami oleh negara seperti memberi sinar kepada rakyat untuk akhirnya bebas daripada virus merbahaya ini. Walaubagaimanapun, sinar tersebut semakin malap dan hilang daripada pandangan apabila angka kes COVID-19 meningkat mendadak sejak awal Oktober tahun ini.

Melihat pola peningkat kes pandemik ini, menerusi akaun Facebook rasmi Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa negara kini telah memasuki gelombang ketiga COVID-19 pada 8 Oktober 2020.

Tiga angka

Kemunculan gelombang ketiga ini bukanlah satu perkara yang tidak terjangka berikutan pelonjakan angka kes yang telah mencecah ke tiga angka pada 1 Oktober 2020 iaitu sebanyak 260 kes berbanding pada 30 September 2020 yang hanya mempunyai 89 kes.

Peningkatan kes kepada tiga angka itu telah dianggap sebagai peringkat awal gelombang ketiga dan perkara ini telah memberi kebimbangan kepada rakyat.

Kluster baru

Permulaan gelombang ketiga ini diperkatakan oleh rakyat adalah dari Sabah selepas berlakunya peningkatan kes secara mendadak sehingga negeri tersebut diklasifikasikan sebagai zon merah.

Jumlah kluster di Sabah juga meningkat dan amat memimbangkan kerana sehingga rekod catatan pada 11 Oktober 2020, jumlah kluster aktif yang terdapat di negara adalah 21 dan 11 daripadanya adalah dari Sabah.

Walaubagaimanapun, Semananjung Malaysia juga telah mengalami peningkatan jumlah kluster berikutan angka kes COVID-19 makin bertambah hari demi hari dalam negara.

Penutupan semula sekolah

Peningkatan kes yang berlaku pada setiap hari telah mengakibatkan kawasan yang dahulu adalah zon hijau, berubah ke zon merah.

Berikutan dengan peningkatan kawasan zon merah, pada 11 Oktober 2020, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengumumkan sebanyak 298 buah sekolah di daerah Petaling, Selangor ditutup bermula dari 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020 berikutan peningkatan kes yang membimbangkan di daerah itu.

Menerusi temuduga yang telah dilakukan oleh Malaysiakini kepada beberapa ibu bapa pelajar, masing-masing telah pun mengambil tindakan awal untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah apabila bilangan kes COVID-19 bertambah.

Lebih mencabar, lebih bersedia

Tidak seperti gelombang-gelombang yang sebelumnya, gelombang ketiga pandemik ini dikatakan lebih mencabar oleh Dr Noor Hisham.

Hal ini adalah kerana beberapa kluster di Kedah dan Sabah telah disahkan mempunyai Mutasi D614G, yang mana lebih mudah merebak dan mempunyai tahap kebolehjangkitan yang tinggi.

Walaubagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan itu memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) lebih bersedia untuk menghadapi gelombang kali ini, dengan mempunyai 60 makmal dan keupayaan maksimum lebih 41 000 ujian harian, yang mana jumlah kapasiti itu bertambah berbanding 23 makmal dan keupayaan 1 000 ujian harian dijalankan pada awal penularan kes COVID-19.

Pengalaman yang lalu juga membuatkan pihak KKM untuk lebih bersedia dari segi fasiliti kesihatan dan perubatan.

Kemunculan gelombang ketiga ini jelas menunjukan bahawa negara masih belum menang lagi dan masih berusaha untuk memerangi virus COVID-19 ini.

Diharapkan semua rakyat dapat melakukan tugas masing-masing untuk sama-sama mempraktikkan panduan (SOP) yang telah ditetapkan untuk menghentikan penularan pandemik ini.

Want More Story From Us?