Garisan nipis antara agama dan bencana

Agama dan isu-isu kritikal sering menjadi topik perbualan hangat dalam masyarakat, terutama sekali bagi mereka yang menganggap setiap musibah yang berlaku itu merupakan hukuman daripada Tuhan.

Semua penganut agama di dunia mempunyai kepercayaan dan pegangan tersendiri, dan setiap daripada mereka ini pastinya cenderung untuk mengaitkan sesuatu musibah yang berlaku dengan agama mereka.

Di Malaysia, yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam, ramai yang percaya bahawa segala krisis yang melanda negara adalah kiriman Allah swt. Hairannya, mereka ini juga lebih mudah untuk percaya bahawa setiap musibah itu adalah hukuman dari Tuhan dan bukan sekadar ujian.

COVID-19 hukuman ke atas penduduk China?

Contoh terbaharu dapat dilihat melalui bencana wabak penyakit virus korona atau COVID-19 yang kini menggemparkan seluruh dunia. Sementara jumlah jangkitan dan kematian terus meningkat, seorang guru agama dari Singapura menyatakan di Facebook bahawa wabak COVID-19 ini adalah hukuman dari Allah swt kerana penduduk di China telah menindas orang Islam Uighur di kem tahanan.

Dalam kes yang lain pula, mengimbas kembali ke tahun 2004, mereka yang beragama Kristian ada menyatakan bahawa bencana tsunami yang melanda Aceh berpunca daripada orang Islam yang tidak menghormati mereka yang beragama Kristian.

Musibah melanda manusia tanpa mengira agama

Tidak kira setebal mana pun iman atau kepercayaan seseorang terhadap agama mereka, ia bukan jaminan bahawa musibah tidak akan menimpa mereka.

Dalam konteks agama, ia mungkin dianggap ujian atau hukuman, tetapi dari segi logik pula, COVID-19 yang pada asalnya melanda China berpunca daripada haiwan yang disimpan dalam keadaan yang sangat tidak berperikemanusiaan. Malah, satu juta umat Islam Uighur yang ditempatkan di kem tahanan Xinjiang lebih berisiko untuk dijangkiti virus COVID-19 kerana kem tahanan mereka berada dalam keadaaan yang boleh membahayakan kesihatan.

Sementara itu, tsunami yang melanda Aceh terjadi akibat gempa bumi yang berlaku di pinggir lautan Hindi yang telah menghasilkan gelombang yang sangat kuat hingga terjadinya ombak besar. Beribu-ribu nyawa telah diragut dan pelbagai infrastruktur dimusnahkan walaupun penduduk yang menetap di situ terdiri daripada pelbagai agama.

Manusia menggunakan agama sebagai cara untuk melalui kesusahan

Tidak dinafikan, agama memainkan peranan penting dalam memenuhi hidup seseorang secara rohaniah. Memang benar bahawa setiap masalah yang berlaku, sama ada wabak penyakit atau bencana alam, mempunyai penjelasan saintifik yang dibuat berdasarkan kajian dan eksperimen, tetapi apabila sains gagal memberikan jawapan, manusia memilih agama untuk membantu mereka menghadapi sebarang kesusahan.

Bagi mereka yang rajin beramal dengan agama, lebih teguh kepercayaan mereka kepada Tuhan, lebih kuat semangat mereka untuk melalui apa sahaja kesukaran yang ada dalam hidup mereka. Begitu juga kepercayaan mereka bahawa hari-hari yang mendatang akan menjadi lebih baik.

Misalnya, jika COVID-19 diturunkan oleh Tuhan sebagai hukuman atau ujian, maka Tuhan juga akan memberikan jalan untuk mengatasinya. Dan jika bencana tsunami itu merupakan ujian daripada-Nya, tentu akan ada hikmah (silver lining) yang menanti di sebalik setiap kesukaran. Itulah yang dilihat di Aceh yang kini lebih maju dan mempunyai kestabilan ekonomi.

Lumrah manusia akan menjadi lebih taat kepada agama selepas melalui sesuatu musibah

Satu kajian tentang agama dan bencana alam mendapati bahawa manusia beragama akan menjadi lebih taat kepada agama dan Tuhan mereka selepas melalui sesuatu musibah dalam hidup. Berdasarkan kajian tersebut, sepanjang tahun 1991 hingga 2009, sifat keagamaan mereka yang tinggal di kawasan yang ditimpa gempa bumi lebih meningkat berbanding mereka yang tinggal di tempat yang selamat daripada gempa bumi.

Tambahan pula, bagi mereka yang lebih mentaati agama, mereka percaya bahawa setiap bencana yang diturunkan Tuhan boleh dikawal oleh-Nya dan ini sekali gus menawarkan harapan bahawa setiap yang berlaku pasti akan membawa kebaikan di pengakhirannya.

Jangan tinggalkan fakta dan kajian saintifik di belakang

Ketidakpastian dalam menunggu hari esok akan kurang terbeban dengan adanya kepercayaan bahawa masa hadapan berada dalam kawalan Tuhan, tetapi menuding jari terhadap agama masing-masing dan menghabiskan masa menterjemah sesuatu kejadian sebagai hukuman atau ujian bukanlah cara yang betul dalam menyelesaikan sesuatu krisis.

Perlu disedari bahawa terdapat banyak faktor yang mendorong kepada isu-isu kritikal, sama ada penyakit, bencana alam, atau pergolakan pemerintahan. Walaupun agama ada peranannya, penjelasan saintifik berdasarkan fakta dan kajian seharusnya lebih diketengahkan supaya manusia sejagat sama-sama dapat memahaminya.

Want More Story From Us?