Setiap tahun pada 1 Mei adalah cuti umum buat negara bagi menyambut Hari Pekerja. Hari tersebut bukan sahaja di sambut di Malaysia tetapi di seluruh dunia juga.
Tetapi kenapa sambutan Hari Pekerja ini pada 1 Mei? Dan sebab apa Hari Pekerja ini diadakan?
Dipaksa Bekerja 12 Hingga 16 Jam Sehari
Kisah disebalik Hari Pekerja ini bermula pada tahun 1880-an di Amerika Syarikat. Pada waktu itu, Amerika Syarikat berada dalam zaman Gilded Age (1865-1900) yang merupakan satu zaman yang terkenal dengan pengamalan sistem ekonomi laissez faire, iaitu kerajaan tidak masuk campur urusan ekonomi. Amalan itu telah menjadikan Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar di dunia
Kelemahan kerajaan pusat ketika itu telah membolehkan golongan kapitalis (pemilik kilang) untuk menguasai ekonomi. Bagi menjana keuntungan yang maksimum, pekerja kilang telah dipaksa untuk bekerja 12 hingga 14 jam, bahkan ada juga yang dipaksa bekerja untuk 16 jam sehari.
Pekerja kilang juga tidak dibenarkan bercuti malahan pengambilan kanak-kanak sebagai pekerja kilang adalah perkara biasa ketika itu. Hal ini adalah kerana pada waktu itu, tiada undang-undang yang mengatakan kanak-kanak wajib bersekolah.
Para pekerja kilang mula memperjuangkan idea mereka untuk bekerja lapan jam sehari. Oleh itu, mereka akan mogok dan berarak di jalan tetapi kebiasaannya, mereka akan dipukul dan ditembak oleh polis yang diupah kapitalis.
Peristiwa Haymarket Kemuncak Konflik
Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang berlaku pada 3-4 Mei 1886 merupakan kemuncak konflik antara golongan kapitalis dan pekerja.
Perarakan pekerja di Haymarket Square yang hanya untuk menuntut tempoh bekerja lapan jam sehari menjadi gelap apabila golongan anarkis, ekstremis yang ingin menjatuhkan kerajaan, meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis dan orang awam. Ramai pemimpin kesatuan pekerja telah ditangkap dan dihukum bunuh ketika itu.
Dua tahun selepas itu (1888), Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labor) telah menjadikan 1 Mei sebagai tarikh peringatan Peristiwa Haymarket. Pada tarikh tersebut, para pekerja kilang bekerja lapan jam sahaja sebagai tanda protes.
Tindakan tersebut disambut oleh Second International iaitu gabungan sosialis sedunia. Dengan itu, pada tahun seterusnya, 1 Mei telah ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa.
Imej dari: orangkata.my
Nasib Pekerja Buruh Dibela
Kemunculan Teddy Roosevelt sebagai presiden (1901-1909) telah mengubah nasib buruh di Amerika Syarikat. Roosevelt dengan beraninya menguatkuasakan tempoh bekerja lapan jam sehari untuk buruh wanita, mengharamkan pekerja kanak-kanak dan mengenakan kawalan undang-undang kepada syarikat-syarikat besar.
Tindakan Roosevelt itu adalah kerana dipengaruhi oleh pemikiran progresif New Liberalism yang dibawa oleh pemikir seperti Herbert Croly. Berbeza dengan Old Liberalism atau Classical Liberalism yang melarang campur tangan kerajaan dalam ekonomi, pendukung New Liberalism melihat peranan kerajaan dalam menegakkan keadilan antara kapitalis dan pekerja.
1 Mei Diisytihar Cuti Umum Negara
Sambutan Hari Pekerja di Malaysia dikatakan ada kaitan juga dengan peralihan dalam pemikiran pemimpin. Pada asalnya, Hari Pekerja tidak diiktiraf di Malaysia sehingga 20 Mei 1972 apabila Tun Dr. Ismail mengisytiharkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan juga sebagai cuti umum.
Sebelum pengisytiharaan itu dilakukan, idea menyambut Hari Pekerja ini ditentang kerana kerajaan mengamalkan ekonomi laissez faire dan ditakuti 1 Mei akan dijadi tunggangan oleh golongan kiri iaitu golongan sosialis dan komunis.
Pengumuman Tun Dr. Ismail itu dilakukan kerana pemikiran Tun Abdul Razak, yang merupakan perdana menteri waktu itu, berbeza dengan elit lama pada zaman Tunku Abdul Rahman.
Penyertaan Tun Abdul Razak dalam Persatuan Fabian (Fabian Society) dan juga Parti Buruh (Labour Party) sewaktu beliau belajar di London telah sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada beliau tentang idea-idea sosialisme.
Meskipun Tun Abdul Razak bukan seorang sosialis tetapi idea sosialisme tentang keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah tersemat dalam diri beliau sehingga mempengaruhi hala tuju pemerintahannya.
Perjuangan golongan buruh pada zaman dulu untuk membela nasib mereka telah meringankan beban pekerja zaman kini. Disebabkan merekalah, pekerja mempunyai pelbagai hak dan bukan sebagai hamba kapitalis semata.