Dinding barisan hadapan negara teguh memerangi COVID-19

Tiap hari, tiap waktu, berita tentang virus pandemik COVID-19 ini tidak pernah gagal menerjah laman sosial – dan semestinya, berita yang diterima jarang sekali adalah berita baik.

Walaupun begitu, petugas barisan hadapan (fronliners) negara tetap lakukan yang terbaik untuk membendung virus ini dari tersebar dengan lebih meluas.

Hanya inginkan rakyat sihat, selamat

Petugas barisan hadapan negara telah membanting diri siang dan malam saat hari pertama virus pandemik ini jejak di Malaysia. Menjadi petugas barisan hadapan negara merupakan satu tugas yang penting untuk memastikan rakyat dan negara selamat.

Melalui pengalaman seorang doktor barisan hadapan di Johor, Sean Thum, beliau mengatakan bahawa posisi ini membuat beliau berasakan seperti Yue Fei ketika menerima Arahan Empayar dari Maharaja untuk menjalankan misi.

Menyelami kesusahan para petugas barisan hadapan

Walaupun teruja, kelelahan yang dihadapinya tidak dapat dielak. Beliau menceritakan bahawa sut hazmat yang perlu dipakai ketika bertugas amatlah rumit dan melemaskan. Ini kerana terdapat banyak lapisan yang perlu dipakai mengikut turutan yang betul. Tambahan pula, sut yang ketat membuatkan pergerakannya terhad dan topeng N95 yang muat-muat dan juga ketat pada kawasan rahang menambahkan kelemasan.

Beliau mula bertugas dari pukul 8 malam dan dengan hanya tempoh dua jam, beliau telah basah kuyup dengan peluh sendiri. Belum lagi dibayangkan tentang rakan sekerja beliau yang perlu bertugas pada siang hari.

Meski pun begitu, petugas barisan hadapan tetap menjalankan tugas mereka tanpa keluhan kerana apa yang mereka inginkan adalah Malaysia sejahtera.

Pengorbanan yang tidak dapat diganti

Memang tidak dapat dinafikan bahawa petugas barisan hadapan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Bagi seorang muslim, solat pada waktunya adalah salah satu nikmat yang diberikan olehNya. Namun, sebagai seorang jururawat barisan hadapan, nikmat tersebut tidak dapat lagi dirasai oleh beliau. Beliau dan rakan petugas yang lain juga tidak dapat menunaikan solat pada waktunya bahkan terpaksa solat jamak. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak sempat makan dan bagi kaum perempuan, untuk menukar tuala wanita pun tidak mempunyai masa sehingga tidak sedar akan aliran yang sudah melebihi had.

Seorang doktor barisan hadapan yang juga merupakan seorang ibu yang masih menyusukan anak, mandi berkali-kali dalam sehari sebelum menyimpan susu ibu perahan kerana risau jika berlaku sebarang jangkitan selepas merawat pesakit. Disebabkan oleh itu, beliau sanggup memotong pendek rambutnya sendiri kerana tidak berkesempatan untuk mengeringkan rambutnya.

Masih ramai lagi petugas barisan hadapan di luar sana yang berkorban masa dan tenaga agar virus pandemik ini berkurangan di negara.

Barisan hadapan negara masih teguh

Sehingga kini (23 Mac 2020), virus COVID-19 telah membawa kematian kepada seorang doktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala 19 petugas KKM dan lima petugas swasta disahkan positif COVID-19.

Dengan jumlah kes yang kini telah melonjak melebihi 1000, kebanyakan rakyat bimbang jika petugas barisan hadapan negara masih mempunyai bekalan seperti alat bantuan pernafasan dan topeng muka yang mencukupi untuk memerangi virus ini. Tambahan pula, dengan kekurangan petugas kesihatan, dinding barisan hadapan negara sepertinya kian rapuh.

Walaubagaimanapun, kerajaan telah berusaha untuk memastikan bekalan seperti topeng muka dan alat bantuan pernafasan mencukupi apabila diumumkan bahawa satu juta topeng muka dan 350 alat bantuan pernafasan akan diimport masuk ke negara.

Imej dari: Twitter/KKMPutrajaya
Bantu ringankan beban mereka dengan duduk di rumah

Dinding barisan hadapan negara masih lagi mampu bertahan jika setiap rakyat Malaysia menjalani tanggungjawab masing-masing dengan kekal di rumah dan patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Restriction Movement Order (RMO).

Ingatlah bahawa mereka yang berada di barisan hadapan ini juga mempunyai keluarga yang menunggu kepulangan mereka. Rakyat haruslah bersatu padu untuk memastikan dinding barisan hadapan negara ini kekal teguh.

Setiap rakyat memainkan peranan penting bagi memerangi virus COVID-19 ini, supaya Malaysia mampu sembuh seperti sedia kala.

Want More Story From Us?